Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Monday

Mensyukuri Nikmat-Mu


Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al-Quran Surah Al A'araaf : Ayat 179 )
Membacakan firman Allah tersebut, benar-benar aku malu!. Malu dengan dosa, kesilapan serta kekhilafan diri. Malu pada Allah akan perbuatanku yang jelik, perkataanku yang jahil, mindaku yang sempit, perilakuku yang da’if, serta imanku yang nipis.

Diuji ujian sedih, mudah terasa pedih.
Diuji ujian susah, mudah putus asa.
Diuji ujian marah, mudah sangat melatah.
Diuji ujian nikmat, mudah perasan hebat.
Astaqhfirullahal ’azhiim.

Hari minggu lalu, banyak masa aku habiskan berdua dengan kakak tersayang. Suami masing-masing ada hal. So, kesempatan itu kami gunakan untuk berbual dan berbual dan berbual. Pelbagai cerita yang dibualkan. Sejak masing-masing berumahtangga, banyak rupanya kisah kehidupan yang "disimpan" sendiri. Tidak seperti zaman bujang dahulu, ketika tidur satu katil, dalam satu bilik, hatta dimarahi emak pun akan bercerita / mengadu sebelum tidur!. hehehehe...

Kakak: Kalau orang yang kenai perangai hang dulu, mesti tak sangka hang buleh hadapi semua masalah tu dengan tenang macam tu.

Aku: TENANG?!.. hmm.. tak jugak kak oii... banyak ayaq mata yang tumpah.. makan tak lalu, tak tidoq, mengeluh, ada ketika meratap, ada masa rasa tak betah nak jenguk dunia...

Kakak: Tapi, kiranya hang buleh jugakla hadapi sorang-sorang. Kuat jugakla hang kan. Memang kakak tak sangka adik kakak yang cepat melenting ni boleh hadapinya tanpa 'bising'.

Ayat terakhir kakak buat aku tergelak, lalu mengangguk mengiyakan. Lantas segera aku terfikir dan perlahan mengakui kebesaran dan kebenaran ayat Allah.

Firman Allah:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Quran Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 286)

Mengenangkan ujian-ujian derita dan payah (kononnya) yang lepas, tidak sedikit penyesalan demi penyesalan menerpa minda dan jiwa. Betapa kerdilnya aku yang ada ketika terlupa bersyukur melebihi sabar ketika berhadapan dengan ujian Allah.
Firman Allah:
"Dan, sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Quran Surah Al-Baqarah 2: Ayat 155)
Malunya aku tika aku mengeluh mengenangkan ujian-ujian Allah yang sedikit itu. Sedangkan Rasulullah, kekasih kesayangan Allah juga berhadapan dengan ujian yang amat berat, lebih berat daripada ujian yang aku hadapi... Makanya, siapa aku untuk layak menerima semua kesenangan dunia tanpa ujian getir?!!.
Firman Allah:
"Dan, (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu, sedang mereka mengetahui." (Al-Quran Surah Ali 'Imran 3: Ayat 135)
Aku memohon keampunan dari-Nya. Aku mohon agar tidak goyah lagi ketika Allah datangkan ujian demi ujian yang pastinya untuk manfaat diriku.

Aku akui, sebagai hamba-Nya, dosa aku banyak!. Andai ujian-ujian susah yang diturunkan itu sebagai kifarah di atas dosa-dosaku yang lalu.. ALHAMDULILLAH.. semoga Allah tidak bawa dosaku mengadap-Nya di akhirat kelak. Dan aku yakin dan amat pasti setulus jiwa raga, setiap ujian-Nya mengandungi hikmah dan pengajaran yang banyak serta nikmat yang akan diketahui sesudah melaluinya dengan redha. Sungguh aku bersyukur dengan ujian-ujian Allah. Semoga segala ujian ini buatkan aku lebih hampir kepada-Nya untuk mendapat redha Allah dan diakui Rasulullah sebagai umat Baginda.

Nikmat kehidupan, nikmat rezeki, nikmat anggota badan, pancaindera, nikmat udara, makanan, persekitaran, nikmat kasih sayang dan berjuta laksaan nikmat yang tidak mampu ditintakan kesemuanya. SANGAT BANYAK!. Terlalu banyak nikmat kebahagiaan yang diberikan dalam hidupku berbanding ujian kesulitan, kesakitan dan penderitaan hati. Justeru, apabila berhadapan dengan bebanan, terasa malu untuk memohon pelepasan dan ehsan dari Allah. Namun, janji Allah menjadi penguat semangat dan keyakinanku.
Firman Allah:
"Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah Aku, akan masuk neraka jahannam dengan terhina." (Al-Quran Surah Al-Ghaafir 40: Ayat 60)
Juga sabda Rasulullahi Sallallahu ’Alaihi Wassalam ku jadikan pedoman:
"Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya." (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Aku yakin itu!.

Aku tidak mahu mengutip semalam dan juga tidak mahu mengangankan esok.
Aku mahu menikmati hari ini.. dengan bahagia.. dengan syukur dan dengan redha.
Firman Allah:
"..........Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung." (Al-Quran Surah At-Taubah 9: ayat 129)

Terima Kasih Allah.


Aku mohon redha-Mu Allah. Redhai aku.. Ameen.





.

Friday

Kerana Sayang..


Dalam perjalanan ke tempat kerja, pasang CD ceramah seorang Ustaz ni. Ada la masuk bab hukum.

Ustaz tu cakap: 'Sebagai umat Islam kita tidak boleh pertikaikan hukum. Segala yang termaktub di dalam Al-Quran adalah ketetapan Allah dan tidak boleh sesekali dipertikaikan. HARAM untuk dipertikaikan. Mesti ikut!. Berdosa besar jika menolak hukum Allah.'

Aku: SETUJU.

'Ini termasuklah hukum syariat. Hukum hudud. Hukum poligami. Kalau Allah dah kata poligami tu boleh, jangan la nak membantah. HARAM membantah. Ini tidak, asal sebut poligami, siap sepanduk, siap debat, siap Memorandum'. sambung CD ceramah Ustaz tu.. (tapi tajuk ceramah tu bukan pasal Poligami, saja Ustaz tu buat lawak sikit).

Bab ni aku dah gelak ngekek-ngekek dah.. Pastu aku cakap kat abang.

Aku: Hah.. kan betul. Poligami tu hukumnya HARAM.

(HAH!!!... jangan fitnah melulu ya... itu mukadimah dialognya sahaja.. ada kupasan isinya DI SINI... dan ianya hanya sembang-bual santai seorang isteri dan suaminya... tiada niat untuk mempertikaikan hukum atau agama... mohon dijauhkan daripada niat sedemikian rupa.. nauzubilahi mindzaalik... kekalau korang tak baca pon tak pe, sebab takut ada plak yang pening kepala dengan hujah putar belit aku.. laki aku je yang tahan, paham dan 'mangli' dengan hujan aku nih.. hahaha...)

...................................................................

(Poligami oh poligami... memang takkan berjumpa titik noktahnya.. selagi manusia dipenuhi 'KESERAKAHAN JIWA'.. baik lelaki juga wanita.. wallahu 'alam)

Aku bercerita daripada kacamata seorang cucu yang mempunyai dua Datuk dengan dua kehidupan berbeza.

Arwah Wan (datuk dari sebelah Ibu - ayah kepada ibu aku) dan arwah Tok Ayah (datuk dari sebelah ayah -ayah kepada ayah aku) , merupakan perbandingan yang ketara untuk aku jadikan teladan dan sempadan.

Arwah Wan bermonogami. Setia bersama arwah tok (perempuan) sehingga ke akhir hayat kedua-duanya. Di Bukit Mertajam itu merekalah pasangan merpati dua sejoli yang setia berpimpin tangan sehingga ke usia emas, sehingga Allah memisahkan mereka ke dalam perut bumi. Ibu aku anak ke-4 daripada 10 adik-beradik dan sehingga kini anak menantu cucu cicit arwah Hashim-Chik masih utuh ukhwahnya. Jangankan Al-Fatihah yang setiap hari didoakan, bacaan Yaa Siiin, doa selamat, tahlil, tak pernah putus untuk arwah kedua-duanya. Aku sangat mengasihi dan menyayangi mereka. Sangat-sangat. Banyak kenangan aku bersama mereka. Dan kasih aku kekal hingga kini kepada arwah kedua-duanya. Al-Fatihan untuk arwah Haji Hashim bin Che Mat dan Hajjah Chik Binti Zakaria. Aku sangat mengagumi kesetiaan mereka.. yang kini diwarisi oleh ibu dan ayahku.. masih setia bersama, berdua dan bahagia... sayang mak dan ayah... muahss..

Arwah Tok Ayah berpoligami. Ayah aku anak sulung dari isteri pertama. Dan mendengarkan kisah zaman kecilnya, perkembangan pelajaran serta jeritan emosinya, cukup membuatkan hati aku sarat dengan simpati kepada ayah. Sejarah beribu-tiri itulah yang membuatkan ayah BULAT TEKAD untuk tidak memberi madu kepada isterinya dan tidak akan memberi ibu tiri untuk anak-anaknya. Itu janji ayah kepada dirinya dan kepada Allah pada hari akad nikahnya dengan mak. Dan lagi, sehingga kini, sungguh, aku tidak pernah tahu di mana kubur arwah tok ayah dan sungguh, aku tidak pernah membaca Al-Fatihah apatah lagi Yaa Siiin untuk arwah Tok Ayah, sebab dia ’tiada’ dalam memori aku apatah lagi di jiwa aku (Astaghfirullahal ’azhiim).


Menolak Poligami bererti menolak Sunnah Rasulullah, menidakkan hukum Allah!

Maafkan aku.

Bukan begitu hujah yang aku ingin nyatakan... Hukum tetap hukum.

Cumanya, hujah aku di sini adalah dari sudut sisi pandangan aku sebagai seorang isteri dan ibu... sekadar meluahkan kepada para suami.. bukan tidak boleh berpoligami, bukan sangat menentang untuk dimadukan....

Jika benarlah, menjadikan Rasulullah sebagai ikutan, kenapa tidak BERMONOGAMI sehingga wafatnya isteri pertama?. Rasulullah bersama Saidatina Khatijah selama 25 tahun tanpa POLIGAMI. Dan hanya berpoligami 3 tahun selepas kematian Saidatina Khatijah (dan tahun-tahun itu dikatakan tahun Baginda berduka).

Dan ada Hadis yang menyatakan Rasulullah murka dan melarang keras ketika ada Ketua Suku kaum yang ingin meminta Saidina Ali meminang puteri mereka kerana Rasulullah tidak mahu anaknya Fatimah dimadukan (wallahu ’alam).

Tolong fahami hati kami, dan kasihani kami wahai kaum suami. Kaum isteri ini punyanya 1 akal dan mengendong 9 nafsu.. untuk melenyapkan rasa cemburu, mengubati rasa sakit hati, menelan rasa benci, memadam rasa amarah, menghakis rasa terkilan, membuang rasa prasangka, mengenepikan rasa perbandingan, dan menghakis segala rasa tidak enak dalam perasaan ADALAH TIDAK MUDAH, BERAT DAN PAYAH!.. dan hawa nafsu yang 9 inilah yang dengan mudah syaitan melancarkan misi hasutannya dan kaum isteri ini amat mudah terjebak di dalamnya.... kerana.... kami ini WANITA!. Maka itulah kalian, wahai kaum suami, dilantik menjadi Nakhoda untuk mengemudi bahtera rumahtangga yang dibina, dengan amanah, dengan tanggungjawab, untuk mencari redha Allah.

Wahai kaum suami, janganlah membuka ruang kepada kami untuk menjadi ahli neraka yang bahan bakarnya adalah tulang-temulang manusia dan batu-batan kerana kelemahan 9 nafsu kami itu!.. Bimbing kami, untuk menyelusur denai kehidupan, menuju Jannah Allah.

Kepada kaum isteri yang terpaksa menerima hakikat bahawa suaminya berpoligami dan takdirnya untuk hidup bermadu... hmmm..... apa yang mampu aku nyatakan pada kalian wahai penghuni syurga?.. Redhalah.. kerana redha-Mu itu kerana Allah.

Allah Berfirman: " ....................... dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Dan hendaklah engkau berteguh hati (bersabar); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan." (Al-Quran Surah An-Nahl 16 : Ayat 126-127).

Suami, anak, tubuh badan, harta kekayaan.. BUKAN HAK MILIK HAKIKI. Hanya pinjaman sementara sahaja. Semuanya milik Allah. DIA bebas beri kepada siapa yang DIA hendak pinjamkan. Selagi ada hayat ini, berbaktilah untuk mendapatkan redha Illahi.

Allah Berfirman: "Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 284).

Kenapa Allah uji sedemikian? Kerana sayang. DIA memberikan ujian kepada hamba-NYA yang DIA tahu MAMPU melaluinya. Ganjaran akhirat telah tersedia. Lepaskan segala rasa kembali kepada Allah dan redhalah dengan ujian ini.

Allah Berfirman: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 155-156).


(note: alaaah kak, lantak dia ler, dia nk nikah lagi satu ke due ke.. lagipulak, tak lamanye poon, tak dia mati dulu, akak yang mati dulu, tak pun si madu tu yang pergi dulu.. paling tidak, kiamat sampai dulu... tak boleh jadi hak milik kekal sesape pon.... esok-esok kang, kat akhirat sana sok, akak mintak masuk syurga dulu pasai dia aniaye akak.. kekalau dia nak langkah masuk syurga, akak tarik je kaki dia.... biar dia terpelanting kat belakang dok hitung dose.. akak tengok je la dia kene humban dlm neraka... Mase tu kot nanti, dia jerit mintak tolong kat akak.. akak buat deerkkkk je.. tu le, mase kt dunie nak seghonok sangat, hambik ko kat akhirat esok, sengsara!.. dia ingat senang nak pikul amanah dengan pakai hukum Allah?... huh!.).. hihihihi...

Boleh pakai ke nasihat last aku tuh??...
(tiba-tiba terdengar ada yang jerit.. "ko cakap senang le, sebab ko tak kena"...)..

Betul!!!.. sapa kata cakap tu susah?. Cakap memang senang.. sebab tu kita bercakap.. kalau cakap tu susah.. tak de sapa le yang nak cakap...!! ye tak?...

Oh ya!.. Berbalik kepada pernyataan aku menyatakan Poligami itu hukumnya haram (bagi sesiapa yang malas baca sembang-sumbang meleret aku DI SANA).

Maksud aku, hukum itu menjadi haram adalah apabila terdapat ketidakadilan dan penganiayaan yang berlaku di dalam hubungan poligami tersebut.
Betul tak wahai para da’ie, ustaz, ustazah, tok imam, bilal, mufti, ulama’ sekalian?...


Ya Allah.. ampuni kekhilafan hamba-Mu ini dalam menutur kata...

Hamba mohon redha-Mu Allah.. redhai aku. Ameen.
.

Thursday

Menolak takdir?…


Sambil menandatangani Certified True Copy sijil-sijil aku serta memberi ulasan kepada borang sokongan ‘Referee’ untuk permohonan aku, Boss mengemukakan pertanyaan..

Boss : Tiny, don’t you want to look for another job?
Aku: NO!. (dengan nada confident, seperti selalu.. hahaha).

Boss: If I would like to recommend you to another company, what say you?
Aku : Don’t waaaaaaaannnnttttt.. (sedikit menjerit.. opsss… ampun Boss)

Boss: How if I promote you as a Head of Department XX?.
Aku: No, until you are no longer here. As long as you are here, then I am here. Full Stop. (hihihi)

Dialog ini akan sentiasa terakam kemas di minda dan kini aku tintakan menjadi catatan ingatan kelak.

Sebenarnya, sudah beberapa kali dialog sedemikian terucap. Terutamanya dialog ke-3 itu. Sudah dua kali appraisal, dialog ke-3 itu ku dengar. Dan kini, kedengaran lagi. Dan jawapan aku tetap begitu!.

TIDAAAK MAHHUUUU!!!...

MUKTAMAT!.

Pelik?. Bingung?. Mengarut?. Rugi?. Bodoh?. Perasan bagus?. Takut cabaran?. Menolak tuah?.

Jika itu yang disebut kepadaku, silakan. Aku akur, aku redha dan aku terima semuanya. Sungguh. Sekelumit pun aku tidak marah jika ada yang memikirkan sedemikian.

Aku punya alasanku sendiri.

Dan, ini yang kunyatakan kepada diri dan aku catatkan di sini sebagai ingatan, sekiranya persoalan yang sama berulang lagi!.

Mengapa aku menolak anjakan paradigma dalam kerjaya yang akan menempatkan aku di tangga ’Atasan’ dengan gaji RM 5 angka serta faedah-faedah yang lumayan?..

Mudah. Kerana nawaitu aku keluar bekerja adalah untuk mencari redha Allah, dengan membantu ekonomi keluarga serta ini perjalanan ibadah aku sebagai hamba-Nya dalam memanfaatkan hayat di dunia yang sementara ini. Pada masa yang sama aku tidak mahu tanggungjawabku di luar rumah melebihi tanggungjawab dan amanahku kepada dunia hakikiku sebagai isteri dan ibu.

Jika pangkat yang aku kejar. Jika jawatan yang aku pandang. Jika nilai wang menjadi taruhan. Jika kerjaya yang aku pilih untuk mengemudi dunia ini, pasti aku tidak akan sia-siakan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang aku perolehi 10 tahun yang lalu. Pasti sekarang aku telah berjaya melayakkan diriku menjadi Advocates & Solicitor!.

Tetapi, itu bukan matlamat jihadku!.

Ketika bersetuju untuk menjadi suri dan mengikat akad dengan suamiku, telah ku buang segala khayalan dan anganan untuk bergelar 'Peguam'!.

AKU TAHU DIRI AKU. Aku tahu kelemahan dan kelebihan aku!. Aku tidak mahu bergelar isteri hanya pada 3 bulan atau paling tidak 3 tahun pertama perkahwinan!. (Nauzubillahi mindzaalik!!).

Aku akur, kelemahan aku yang mudah untuk terlalu ’khusyuk’ dan tekun kepada sesuatu perkara, menghalang aku melakukan banyak perkara. Aku takut aku terlalu khusyuk dengan kerjaya sehingga mengabaikan rumahtangga!. (Aku tidak seperti kalian wahai kaum2 wanita yang hebat, yang mampu menyeimbangkan kerjaya dan rumahtangga. IT IS NOT IN ME!).

Bagi aku, hidup ini adatnya ada menang dan ada kalah. Adakalanya, ada perkara yang perlu ’dilepaskan’ untuk ’memperolehi’ sesuatu yang lebih bermanfaat.

Aku bimbang, aku tidak kuat untuk menahan gejolak nafsu yang menginginkan KEJAYAAN demi KEJAYAAN untuk mendaki tangga NAMA, PANGKAT dan KEKAYAAN!.

"Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa." (Al-Quran Surah Al-Isra' 17 : Ayat 83).

Maka itu, aku tidak mahu meletakkan diriku di mana-mana kerusi ’Pihak Atasan’ atau yang sewaktu dengannya!. Aku takut tidak tergalas tanggungjawab itu dengan baik malah tercicir pula amanah hakiki aku yakni sebagai isteri dan ibu!. (Juga aku sedar kelemahan diri. Kerapkali aku tidak bijak mengawal emosi yang cepat marah, terlalu mudah memberi ehsan, mudah melenting, mudah terasa, segalanya mudahlah, sehingga mudah untuk syaitan memasukkan jarum hasutannya kepadaku.. Contoh mudah: aku bimbang andai 'tersalah' beri pada 'appraisal', yang layak aku bagi tak layak.. yang tak layak aku bagi layak hanya kerana 'mudah terpengaruh dan dipengaruhi'.. Allahu Akhbar!.. jenuh aku menjawab tentang 'keadilan, amanah dan tanggungjawab' di akhirat kelak ketika Allah memanggil untuk mengadili aku!.. Ngeri bila mengenangkan para malaikat menjerit menyatakan 'PENIPU, PENIPU" apabila aku memberi alasan di atas kesalahan aku! huhuhu... astaghfirullahal’ azhim).

Maka itu, ku nyatakan berkali-kali kepada Boss.. aku selesa di sini.

Bukan aku menolak takdir, aku hanya ingin meneruskan takdir yang telah disediakan oleh-Nya untukku di sini.. (kita tidak akan mampu menolak takdir.. jika sudah tersurat ’Kun Fa Ya Kun’, maka jadilah.. masa akan menentukan segalanya, dan perancangan Allah itu Maha Sempurna!).

"Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (Al-Quran Surah Yunus 10 : ayat 107)


Dan aku bahagia serta mampu memberi bahagia dengan berada di sini. Di kerusi ini, dan jawatan ini, aku sungguh bahagia. Cukup membuatkan aku sentiasa ingat untuk mensyukuri nikmat Illahi dan menginsafi kekerdilan diri. ALHAMDULILLAH.

Tidak bercita-cita?. Biarlah!. Jika nilai ribuan yang menjadi pertikaian, aku ada jawapan untuk menepisnya.

Bukan aku tidak mahu mencabar diri. Aku gali potensi diri ke arah yang lain.
Bidang akademik, penulisan dan motivasi. Minatku terarah di sini. Semoga ianya berjalan seiring dengan kerjaya serta tanggungjawab hakiki.

Aku senang begini. Bersederhana. Kerja yang senang dan tenang. Dengan izin suami dan mendapat kepercayaan Majikan. Semoga ku perolehi redha Allah jua.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Al-Quran Surah Ar-Rahman 55: Ayat 13)
Nikmat yang Allah telah anugerahkan ini terlalu banyak berbanding syukurku, sujudku dan ibadahku kepada-Nya.. Allahu Akhbar.

Pada saat ini, jihadku tertumpu pada apa yang ku galas kini.
Tujuanku satu... REDHA ILLAHI... demi mengejar yang abadi – di akhirat nanti.

Ya Allah... aku mohon redha-Mu... Redhai aku. Ameen.
.

Tepuk dada, tanya…?


Menonton Halaqah (TV9) – Wasiat Terakhir pada malam selasa tempohari yang di sampaikan oleh YBhg Dato' Haji Noh Haji Gadut, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, membuatkan tidak sedikit air mata kami laki bini yang mengalir… pentas sidang yang dibuat umpama berada di khemah di kota Mekah dengan berkain ihram serta bahasa panggilan “SAUDARAKU”, sangat meruntun hati..

Tiada pangkat, tiada darjah kebesaran, tiada penghormatan kepada nama.. tetapi yang ada hanyalah keinsafan dan sanjungan tertinggi untuk Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam.. Allahu Akhbar.

Banyak.. banyak.. banyak... maklumat yang dinyatakan, ilmu yang disampaikan, pesanan dan amanat yang disebarkan. Semuanya adalah melalui "Wasiat Terakhir" Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam... Subhanallah.

Dalam banyaknya maklumat dan ilmu yang disampaikan, ada satu yang ingin aku kongsikan sebagai peringatan kepada diri sendiri, kepada anak-anakku dan kepada semua yang membaca..

Pepatah menyatakan, Tepuk Dada, Tanya Selera...

Tetapi, ada pula si 'bijak pandai' yang menyatakan, 'Tepuk Dada, Tanya Iman'.. (ya, aku pernah tergolong dalam orang yang suka-suka hati membuat perumpamaan sebegitu!!).

Apa maksud Tepuk Dada, Tanya Selera?.
Dari istilah bahasa, maksudnya: "Renungkan dan fikirkan dengan mendalam akan sesuatu perkara sebelum kita putuskan atau lakukan pekerjaan atau perbuatan tersebut."

Seperti perbincangan Halaqah semalam.. panel menyatakan, tiada istilah tepuk dada tanya iman... yang ada adalah Tepuk Dada Tanya SELERA..

YA!. Aku setuju, (walaupun tiada ulasan panjang mengenainya dalam rancangan itu), tapi, aku amat BERSETUJU!..

Kenapa kita perlu "MENEPUK DADA" apabila kita hendak melakukan sesuatu seperti kata pepatah tersebut?. Bila kata pepatah tersebut 'SESUAI' untuk digunapakai?.

"Apabila yang kita bertanya itu adalah persoalan yang melibatkan KEHENDAK"... dan mengapa kita bertanya kepada 'SELERA'?"
KERANA, YANG "BERKEHENDAK" ITU ADALAH "NAFSU" KITA!!!...


Contoh:
Sempena cuti sambutan Maulidur Rasul, Ayah anda mahukan seluruh keluarga berkumpul bersama-sama dan turut mengimarahkan Masjid dengan sambutan Maulidul-Rasul dan aktiviti keluarga. Tetapi anda telah merancang untuk menonton wayang dan bersantai bersama-sama teman anda. Apakah perasaan anda ketika ini?
i- berbelah bahagi samada ingin mengikut ayah anda atau mengikut rakan anda?
ii- terasa ingin mencari alasan untuk tidak menyertai ayah anda?

Jika anda berhadapan dengan situasi sebegini dan perasan anda ketika ini merasakan "perlu memilih", inilah yang dikatakan 'TEPUK DADA, TANYA SELERA'.. apa kata NAFSU anda ketika ini?.

JIKA ANDA BERTANYAKAN IMAN.. ANDA TIDAK PERLU 'TEPUK DADA'!. TIDAK PERLU BERSOAL JAWAB, KERANA JAWAPANNYA SUDAH TERSEDIA..

Apabila ayah anda memberi saranan sedemikian, makanya, ianya merupakan perkara baik yang dirancangkan oleh ayah anda untuk anda sekeluarga. Maka, keputusan yang tepat adalah MENGIKUT CADANGAN "KETUA KELUARGA" ANDA!.

MUDAHKAN??...
Siapa yang lebih anda utamakan? Keluarga anda atau teman anda?.
Iman anda tentunya memilih keluarga – kebahagiaan keluarga adalah kebahagiaan anda! (jika anda kecewa dengan pilihan anda, itu bukan kerana IMAN.. tetapi itu sebenarnya NAFSU yang bermaharajalela di hati anda!!!).

YA!. Sesuatu perkara itu adakalanya di dengar mudah, tetapi, seringkali ia berhadapan dengan situasi sukar dan payah sehingga ada sendu yang memutik, ada getar yang berdetik, ada jiwa yang berdarah, ada rasa yang meruntun parah. Bukankah begitu???... Kenapa?. Kerana syaitan itu tahu, bila jarumnya bisa menusuk terus ke jantung hati kita!!..

Firman Allah:
"Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah), maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
(Surah al-A’raf 7: 200-201).

Justeru itu, ingatlah wahai diriku:
LETAKKAN AKAL DI HADAPAN PERASAAN!
HALAKAN IMAN MEMINTAS NAFSU!.
BUKAN SEBALIKNYA!.

Benarlah sabda Rasulullah dalam wasiatnya yang terakhir:
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah AL-QURAN dan SUNNAHKU."

Firman Allah:
"Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; Wahyu yang diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi"
(Al-Quran Surah Taha : Ayat 2-4)


Nota: saban waktu kita 'terperangkap' dengan 'pilihan' yang adakalanya kita tidak tahu yang mana KEPERLUAN, yang mana KEHENDAK - kerana NAFSU sentiasa cuba berlari pantas memintas IMAN.. (dan aduhaiiii... kita membenarkannya!!!), lantas "terkeliru" dan bercelaru untuk 'membuat keputusan'!... dan aku, adalah antara insan yang mudah 'terkeliru' itu!. "Ya Allah, berikan kekuatan kepadaku untuk menepis godaan syaitan dan melawan godaan nafsu hatiku sendiri!. Berikan petunjuk-Mu kepada hambamu ini. Tunjukkan aku jalan yang benar yakni jalan yang Engkau redhai. Ameen. "


Ya Allah, aku mohon redha-Mu.. redhai aku. Ameen.


.

Tuesday

Selawat untuk Rasul Junjungan

"Ya Rasulullah.. Hari ini Ulangtahun kelahiranmu... ingin sekali aku mengenalimu.. mengasihimu.. menyayangimu... merinduimu.. "

Sabda Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam,
"Tidak sempurna iman seseorang hatta sehinggalah aku ini lebih dicintainya daripada cinta kepada anaknya, daripada cinta emak ayahnya dan daripada mencintai seluruh manusia.".(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)...

Dari hari ke hari.. waktu ke waktu.. saban masa.. aku cuba membina rasa itu..

"Ya Allah.. temukan aku dengan rasa itu.. serta rasa cinta abadi hanya kepada-Mu Ya Rabb.."



Wahai Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.. zikir selawat ini ku alun sebagai salam penghormatan untukmu.. hanya untukmu wahai kekasih Allah.. wahai junjungan umat.. wahai insan mulia.. WAHAI RASUL KECINTAANKU..

Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan." (Al-Quran Surah Al-Ahzab 33 : Ayat 56).

Aku mengingatkan diriku dan anak-anakku.. agar sentiasa menyelak lembaran ini dan ambil peringatan ini: Berselawat adalah sumber kepada syafaat. Syafaat Nabi di akhirat nanti terdapat 5 jenis:

• syafaat untuk membebaskan umat manusia daripada dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar.
• syafaat untuk memasukkan suatu kaum ke dalam syurga tanpa sebarang hisab atau perhitungan.

• syafaat kepada kaum setelah dihisab dan diputuskan untuk menerima hukuman setimpal, supaya hukuman itu kemudian ditarikbalik.
• Syafaat mengeluarkan mereka yang berdosa dari azab neraka.
• Syafaat untuk menaiki ke tingkat yang lebih tinggi di syurga.


"Ya Allah.. aku sedar aku tak layak, tingkat takwaku masih samar, imanku masih pudar, namun aku berusaha memperbaiki diri dari masa ke semasa.. dan aku takkan pernah putus harap memohon dan berdoa pada-Mu.. agar Kau berikan izin-Mu untuk aku menemui Rasulku di tepian telaga khautsar.. mendapatkan syafaat Baginda dan bersamanya memberi dan menjawab salam-Mu di Syurga.. hanya kau yang Maha Mendengar dan memakbulkan segala permintaan... Makbulkan doaku Allah... Ameen ameen Ya Rabbul 'Alamin.. Allahu.."


Aku memohon redha-Mu Allah.. redhai aku.. redhai aku.. redhai aku... ameen.



.

Monday

Khutbah Terakhir

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah

Tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia. Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.



- Sumber dipetik dari laman web ILUVISLAM.

- mari bersama menghayati, memahami dan melaksanakannya!. Demi Allah.. dengan izin Allah dan untuk mendapatkan redha Allah.

-----------------------------------------------------------------------------------



- credit to kumpulan Hijjaz -

... Wahai Rasul Junjunganku..
telah ku terima risalah amanatmu..


“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim.)


Ya Allah.. berikan kekuatan kepadaku untuk melaksanakan amanat Baginda Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam..

Wahai Tuhanku.. sampaikan salam rindu dan kasihku kepada kekasihmu, Nabi Muhammad Sallallahu Alahi Wassalam..

Wahai Rasulullah.. ku mohon syafaatmu kelak..


Ya Allah.. aku mohon redha-Mu.. Redhai aku..

Tuesday

Februari ini.

Februari ini.. di 2011..

Tanggal 15 Februari 2011, adalah Ulangtahun Hari Keputeraan Junjungan besar umat Islam.. Ulangtahun Hari Kelahiran manusia mulia... Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Bulan ini aku raikan dengan penuh keinsafan.. bulan ini aku ingin mencambahkan rasa kasih dan sayangku yang jitu untuk insan ulung yang terbilang... Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Bulan ini dan seterusnya aku ingin menitipkan rasa rinduku pada Rasulku melalui bait alunan selawat serta salam dan segala pujian buat Rasul Junjunganku.. Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Bulan ini dan seterusnya aku ingin cambahkan rasa kasih rindu yang tidak berbelah bahagi kepada insan teragung dalam sejarah peradaban manusia... insan yang membawa rahmat ke seluruh alam.. insan maksum yang tidak pernah lenyap ditelan zaman dan akan kekal namanya menjadi sebutan sejagat maya sehingga ke akhirat kelak. Insan ini adalah seorang insan sempurna...

Insan yang aku rindui di dunia ini dan akan ku cari di akhirat nanti...
Insan yang aku dambakan syafaatnya kelak..
Insan yang aku ingin bersamanya mengucap dan menyambut salam sang kekasihnya, Allah Rabbul ’alamiin.
Insan yang aku mohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala di setiap doaku agar disampaikan selawat dan salamku kepadanya dan ahli keluarga Baginda.
Insan yang aku ingin Beliau gembira kerana umatnya berkembang, bercambah dengan Islam yang disebarkannya dan menjadi hamba Allah yang beriman seperti yang diwasiatkannya.


.. wahai teman, rakan, adik, kakak, abang, saudara, sabahat dan diriku sendiri..

FEBUARI ini, kita akan di datangi dengan 14 dan 15 Februari.. tarikh manakah yang lebih kalian muliakan?. Tarikh manakah yang lebih kalian ingin memenuhinya dengan pengisian?.


Firman Allah:
"Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus." (Al-Quran Surah Al-Hajj 22 : Ayat 67)


14 Febuari yang dikatakan bulan kasih sayang (Valentine) oleh penganut agama yang bertentangan dengan Islam. Agama yang sentiasa mencari ruang dan peluang merosakkan akidah umat Islam.

Firman Allah:
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar!" dan kalau engkau menurut kemahuan mereka, sesudah engkau mempunyai pengetahuan kepada hal itu, tentulah Allah tidak akan lagi menjadi pelindung dan Penolong bagimu." (Al-Quran Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 120)


Maka itu, wahai semua dan diriku sendiri...
Jijikkan dirimu dengan makna kisah sejarah pada catatan 14 Februari itu.. ia adalah hari biasa yang tidak perlu sesiapa pun di kalangan umat Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam untuk meraikannya bahkan untuk memikirkan kehadirannya. Biarkan hari itu berlalu tanpa ada ucapan, tanpa sambutan meskipun dengan niat sekadar "SUKA-SUKA", kerana janji syaitan laknatullah untuk menyesatkan umat Muhammad tidak dibuat dengan "SUKA-SUKA" ketika Iblis bersumpah dihadapan Allah untuk memesongkan anak cucu Adam Alaihis Salam dan mengheret bersamanya ke dalam Neraka Jahannam di akhirat kelak!!!.


Firman Allah:
"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka pun bersujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)? Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (keturunan Adam yakni manusia), kecuali sedikit (di antaranya). Allah berfirman (kepada iblis): Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup." (Al-Quran Surah Al-Isra’ 17 : Ayat 61-63).


Janji syaitan kepada Allah itu benar, dan dia memang berpegang kepada dendamnya untuk menyesatkan sekalian manusia!.

Adakalanya kita tidak sedar, perlakuan kita yang seakan-akan "SPORTING" meraikan segala hari sambutan dengan sekadar untuk berhibur sebenarnya mengundang bala ke atas diri sendiri serta meninggalkan kesan dalam akidah dan iman (ingatkan aku yg sering juga tersasar dan terkeliru dengan perbuatan sendiri!!!...).

Maka itu.. aku berpesan kepada diriku, anak-anakku, suamiku, adik-beradikku, saudara-maraku, sahabat-handaiku, jiran tetanggaku, dan sekalian kaum sedarah sedagingku wahai umat manusia, agar ambil peringatan Allah sebagai pegangan dan panduan.

Aku menasihati diriku dan diri kita semua dengan kalam Allah ini.


Firman Allah:
"Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman. Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: 'Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya'. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?" (Al-Quran Surah Al-’Araf 7 : Ayat 27-28).



Semoga Allah ampuni dosa-dosaku dan dosa kita semua yang jahil, hina, bodoh serta yang sering menzalimi diri sendiri dan yang masih teraba-raba dan menggapai-gapai dalam mencari cahaya keimanan dan ketakwaan ini.. Allahu Akhbar.


------------------------------------------------------------------------------

Lupakan detik 14 Februari...


Tahun ini, mari kita bersama meraikan 15 Februari 2011, bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1432, meyambut ulangtahun kelahiran junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah, Rasullullahi Sallallahu Alaihi Wassalam, dengan bacaan selawat dan salam ke atas Nabi terakhir umat Islam..





Ya Rasulullah.. selawat dan salam serta sekalian pujian kutitipkan untukmu.
Aku merinduimu.

Ya Allah, aku mohon izin-MU... berikan ruang dan peluang untuk aku bertemu dengan Rasulku..


Ya Allah, aku mohon redha-Mu Allah.. redhai aku.
Amiin.



.

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.