Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Monday

Peringatan dari pemergian!.


Firman Allah:
Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula didahulukannya. (Al-Quran Surah Al-A’raaf 7 : Ayat 34)


Berlaku lagi satu kematian di dalam kelompok kekeluargaan aku.
PAK ADAM ~ Bapa kepada abang ipar aku @ bapa mertua kakakku.

Ahad, 23 Oktober 2011 ~ Jam 5.32 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada kakakku – disusuli pula panggilan daripada Ibu. Menyampaikan berita bahawa Pak Adam telah meninggal dunia. Innalillahi Wainnailaihi Raji’un.

Usai solat subuh, terus aku dan cik abang bergegas ke rumah Mertua Kakak ~ yang tidak jauh dari kawasan rumahku.

Aku sampai seawal jam 6.30pagi. Rumah mertua kakak penuh dengan anak menantu cucu cicit Pak Adam. Selepas menghadiahkan bacaan Yaasin, mataku agak liar memerhati gelagat sekeliling. Dihati terbit kata-kata:

“Untungnya Pak Adam mempunyai anak menantu cucu cicit yang ramai”.

Ini kerana, belumpun penuh dengan jiran tetangga sanak saudara, rumahnya telah terlebih dahulu dilimpahi dengan anak-anak menantu-menantu cucu-cucu cicit-cicit yang ramai.

9 orang anak (hasil perkongsian hidup dengan Mak Melah - satu-satunya isteri yang dikahwini berpuluh tahun yang lalu) – 5 lelaki, 4 perempuan anak-anaknya dengan 5 menantu perempuan dan 3 menantu lelaki bersambut pula dengan cucu-cucu yang sudah besar panjang serta cucu menantu yang sangat prihatin, mereka semua lincah melaksanakan segala persiapan – TANPA ARAHAN ATAU PAKSAAN – masing2 seakan tahu tugasan masing-masing.. tahu apa yang perlu dilakukan!.

Masa aku sampai, jenazah telahpun kemas diletakkan di atas tilam di ruang tamu.

Yang anak menantu serta cucu2 lelaki sibuk memacak khemah, mengambil cadar untuk dibuat penghadang, menyediakan kawasan untuk mandikan jenazah, menyusun kerusi di laman…
Yang anak menantu serta cucu2 perempuan pula sibuk menyediakan bekas air, kain itu ini, potong daun pandan, sedia peralatan untuk memandikan jenazah….
Pengesahan doktor juga sangat cepat (kerana salah seorang daripada anak perempuan Pak Adam adalah Doktor!!).
Pengesahan polis juga sangat mudah..
Orang masjid, orang yang hendak mandikan jenazah, van jenazah.. semua SIAP!.

"Itu untungnya anak ramai kan!!".. (di sini hatiku berbicara lagi.. sambil mengkagumi anugerah Allah kepada keluarga Pak Adam + Mak Melah).

Dalam anak menantu cucu sibuk tugasan di dapur dan di luar rumah.. yang mengelilingi arwah Pak Adam juga tidak kurang ramainya.. bacaan Yaasin tidak putus dari seorang ke seorang.. Subhanallah.

SANGAT CEKAP!!!.

Jam 8.30am – aku mengambil anak-anak kakak yang kecil (Nur Dini, Qistina dan Aleesha) dari rumah Pak Adam untuk dibawa ke rumahku (kakak sibuk menguruskan peralatan mandi untuk jenazah, maka aku ringankan sikit bebanan kakak dengan membawa anak-anak kecilnya pulang ke rumahku – agar kakak tidak perlu bimbang masa mandi dan makan mereka – itu sahaja yang terdaya aku lakukan untuk memberi bantuan semampuku..)

Kira-kira Jam 9.30pagi – siap Pak Adam dimandikan dan disolatkan. (Solat jenazah dilakukan sebanyak 2 kali kerana terlalu ramai yang ingin menyembahyangkan jenazah – penuh ruang tamu rumah Pak Adam dengan jemaah lelaki).

Kira-kira Jam 10.00pagi – dibawa ke tanah perkuburan.. (telah siap lubang kubur digali dan mudahnya jenazah di usung ke tanah perkuburan).

Kira-kira Jam 11.15pagi – siap segala talkin doa dibacakan.

Sungguh cepat urusan pengebumian Pak Adam. LANCAR!.

Cuaca juga sangat baik, tidak terlalu panas, tidak mendung dan tidak juga hujan. Subhanallah – Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Melancarkan urusan hamba-hambaNya.

Kawasan perkuburan Islam Jalan Cheras dikerumuni dengan ramaaaaaiii orang.. penuh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cucu-cucu menantu, sanak saudara jiran tetangga serta sahabat dan kenalan yang menghantar serta mengaminkan doa untuk jenazah Pak Adam.

Tiba di rumah pula sekitar jam 12.00tengahari:
Sudah siap tersedia makan tengahari untuk sekalian yang hadir. Bungkusan Nasi Ayam tersedia – malah ada pula Nasi Putih yang masih panas serta lauk Asam Pedas ikan kembung, sayur kobis goreng, ikan masin, ulam-ulam dan sambal belacan sedia kemas terhidang di bawah khemah di depan laman. Ada juga tersedia 2 periuk mee goreng sebagai pilihan!. Tidak putus air demi air, berkotak mineral water, teh o panas dan air oren serta sirap ais, pinggan dan cawan berganti tanpa menyusahkan tetamu melilau mencari meminta. Tuan Rumah menjamu makan tengahari. Allahu Akhbar (sempat juga mereka menyediakannya!! sedangkan ia tidak menjadi kewajipan kepada mereka!!!...).


AKU TERHARU DENGAN SUASANA ITU!. SUNGGUH!.

Ketika dalam perjalanan pulang dari Tanah Perkuburan, aku dan cik abang bersoal sesama sendiri.
~ Jika kita mati nanti, di manakah kita hendak ditanamkan? Bawa balik kampungkah? Tanam di tanah perkuburan kawasan rumah kitakah?
~ Jika berlaku kematian dalam keluarga kita, siapa yang kita hendak hubungi?. Ada simpan tak nombor telefon doktor, polis, van jenazah, imam dan sebagainya?
~ Khairat kematian sudah dijelaskan belum?. Tahukah siapa pihak yang boleh membantu untuk menguruskan jenazah?.
~ Jika Emak dan ayah dikampung (kulim) ~ InsyaAllah, aku tahu siapa yang perlu dihubungi kerana ayah ada senarai semuanya.
~ Teringat pula mertua di kampung (muar), yang baru pindah di kejiranan baru, kenalkah kita siapayang harus dihubungi jika berlaku kematian kepada salah seorangnya?

Ketika kematian Najmiyah, aku mengambil iktibar bahawa umur bukan jaminan!.
"BERSEDIALAH – KERANA DATANGNYA PADA BILA-BILA MASA!!.." (bagi kita yang masih hidup ini yang akan turut menemui kematian itu sendiri!!).

Kematian Pak Adam pula memberi pengajaran yang sedikit berbeza.
Kali ini pengajaran yang aku dan cik abang perolehi adalah :-
“PERSIAPAN SEMASA KEMATIAN ITU PERLU DIKETAHUI!" (bagi kita yang masih hidup yang akan meguruskan mayat orang yang meninggal!!).

Ya Allah...

Sekali lagi, komen ckLah menerpa otak fikirku:
“Kematian seseorang, untuk yang hidup mengingati mati...”

Maka, sungguhlah...

"KEMATIAN ITU SATU PENGAJARAN – BAGI YANG MAHU DAN TAHU DAN MAMPU MENGAMBIL IKTIBAR".
Firman Allah:
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (akan ditanya tentang apa yang dilakukannya)." (Al-Quran Surah Al-Israa’ 17 : Ayat 36)

"Ya Allah.. Sesungguhnya Kau Maha Pelindung.. maka, cukuplah Allah bagiku.
Ya Allah.. Sesungguhnya Kau jadikan Rasulullah itu sebaik-baik teladan.. maka cukuplah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai idolaku.
Ya Allah.. Sesungguhnya kau jadikan Al-Quran itu sebaik-baik rujukan.. maka cukuplah Al-Quran itu pedomanku..
Ya Allah.. Kau jadikan kematian itu sebagai peringatan.. maka, cukuplah kematian sebagai pengajaran kepadaku!!!.
Ya Allah.. Kau jadikan syurga itu sebagai balasan kepada hamba-Mu yang beriman.. maka cukuplah syurga itu nikmat yang aku dambakan.
Ya Allah.. Kau jadikan neraka itu seburuk-buruk tempat menerima azab... maka cukuplah neraka itu untuk aku jauhi.
Ya Allah.. Jika semua itu masih tidak cukup bagiku untuk menginsafi diri ini, maka gantikanlah hatiku yang keras, dangkal, dungu dan jahil ini dengan hati yang baru.. yang bersih.. yang Kau redhai, yang Kau rahmati... yang Kau salurkan iman dan takwa di dalamnya.. agar solatku, ibadahku, seluruh kehidupanku dan kematianku HANYA UNTUKMU – untuk mencari redha-Mu Ya Rabb.. Wahai Khaliq yang Agung!. Ameen."
Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Perbanyakkanlah mengingati perkara yang membinasakan kelazatan (iaitulah MAUT)" (Hadith Hasan riwayat al-Tirmidhi)

Ya Allah. Redhailah kami semua.. Ameen.






Thursday

Orang Tua-Tua..


Seronok berbaik dengan orang tua-tua.. @ orang yang lebih tua dari kita.. (setakat tua 2-3 tahun, tu macam geng..) tapi ni tua yang 10 tahun ke atas.. nak pulak yang melebihi 20 tahun ke atas dari umur kita.. huish.. mmg satu anugerah yang sangat EMAS!.. (teringat tokma – jiranku sayang.. lamanya tak lepak berbual dengan tokma.. huhuhu).

Banyak perkara yang menarik untuk diperbualkan.. banyak pengalaman yang dapat dikongsi.. ilmu yang dapat diraih.. petua-petua yang boleh diambil pakai serta celoteh-celoteh yang sangat halus di halwa telinga.. merdu..

Aku suka bersama orang orang yang berusia.. nak pulak berusia emas.. sungguh bahagia dan tenang bersama mereka.

Terkini, yang sangat aku rapat adalah dengan Bonda Boss aku.. Melihat raut wajahnya mengingatkanku kepada arwah nenek aku.. (ibu kepada arwah tok). Kedut-kedut di wajah putih mulusnya.. owh.. sangat aku rindui..

Aku panggil Bonda Boss dengan panggilan OPAH. Ye, opah orang perak. Ipoh kampung lamannya. Suke bebenor ngajak aku pegi ke ghomahnye. Baung masak tempoyok campur toge beso.. huish.. bertambah nasik 3 penggaaan!!.. hahaha.. (tetiba slanga aku ke laut.... tak kena langsung gaya rhope lenggok perok nyer.. burhok bebenor care nulihnye!!... huhuhu.. ampuuunn... hehehe).

Bila aku jumpa Opah, aku paling suka pegang kedua-dua pipinya dan mencium pipi dan dahinya.. lembut, sejuk dan wangi (bau bedak sejuk sungguh harum kan..).

Paling mutakhir aku jumpa dan bersembang dengan Opah adalah pada hari minggu awal bulan ini, JEMPUTAN RAYA katanya.. hihihi... Lauk istimewa adalah Siakap masak tempoyak sama taugeh besar (ada orang panggil taugeh kasar – sebenarnya aku tak lalu taugeh kasar ni, tapi Opah masak membuatkan aku kutip taugeh2 ni sampai licin.. kuikuikui.. dasar makan tak pandang org mak buyung ni tau!!)..

(ada gak gambar ala-ala masakan opah... jumpa dalam google.. hihihi)

Mula kisah masak tempoyak tu, aku gurau je cakap kat Opah masa raya kat umah Boss bulan lepas. Aku kata, "Mengidamla nak makan masak tempoyak Opah nih!.. hihihi" – tapi Opah tak perasan yang aku mengandung, sampai la Kak Lily (adik Boss) tanya, "KAMU NGANDUNG KE?".. Bila aku mengiyakan baru Opah kata.. "La... patut kamu sebut ngidam, rhopenye ada isi!".. hahaha..

Terus-terus hari minggu tu Opah telefon suruh datang makan malam kat umah dia. Katanya ada 'Siakap Masak Tempoyak'!. ADUUUHHH!!!... Berdesup aku gegar cik abang ajak pegi.. terbayang-bayang dah weih!!.

Tengok je masak tempoyak opah, terus perut yang kenyang dek tengahari tadi, jadi lapar balik!... hihihi.. sedar tak sedar aku tambah nasi sampai 3 kali!!.. (tu pon cik abang yg tolong kirakan ’jumlah’nya sebab dia yang menghulur pinggan nasi.. hihihi)

Pastu pulak, masa kat rumah Opah, dijamu juga pecal (gado-gado). Yang ni pon 'speciality' Opah jugak. Kuah kacang pecal itu memang resepi turun-temurun.. Walaupun kenyang makan nasi yang bertambah-tambah tu, sempat jugak aku mencedok sepinggan pecal Opah.. (tak makan nanti, teringat termimpi terliur pulak.. hehehe.. ALASAN!! Dh dasar kaki makan!!)..

Memang sedap.. sangat sedap. Dalam kenyang pun boleh makan lagi ni. Kuah kacang Opah memang special lah..

Sesekali teringat jugakla sambal pecal Opah tu. Rupa-rupanya Opah ada ’instinc’ agaknya. Semalam, dikirim 2 paket sambal pecal tu ke driver Boss suh bagi kat aku.. aduhaiiii Opah..

(gambar sambal pecal yang dikirim dek Opah).

...........................

Tapi, berita yang ku dengar hari ini tidak enak di jiwaku!. Baru semalam Opah kirim sambal pecal, hari ini, driver Boss bagitau yang Opah masuk hospital (rebah tak sedarkan diri). Allahu Akhbar!.

Opah rebah tatkala usai solat subuh.. ketika hendak berwirid, katanya terlupa apa yang hendak dibaca... matanya kabur.. sempat telefon salah seorang anaknya.. dan kemudian, ambulance datang membawa Opah ke wad emergency.

Di wad, sudah lebih jam 2 petang usai pemeriksaan doktor, kata Opah, beliau belum solat zohor.. tapi doktor tidak membenarkan kerana ubat bius masih di badannya... Subhanallah.

Ya Allah.. berikan kesihatan kepada Opah agar beliau dapat menambahkan lebih ibadahnya kepada-Mu Ya Rabb.

Firman Allah:
"....Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -" (Al-Quran Surah Maryam 19 : Ayat 60).


Tetiba airmata menitis laju.. Alangkah bahagianya masih punya Opah.. masih punya Tok.. masih punya Nenek.. aku sekadar menumpang kasih nenek orang..



Ni, gambar Opah yang diambil daripada fb cucunya.. (kata mereka Opah suruh upload gambar ni dalam facebook.. sporting kan Opah.. hihihi... gambar beliau tengah layan lobster).


... Jauh di sudut hati, aku sangat merindui arwah tok dan wan (Hajjah Chik dan Haji Hashim).. terutamanya apabila pulang ke kampung.. tambahan lagi apabila Gathering Raya (setiap 2 tahun sekali) yang akan dipenuhi kesemua susur galur HCFC.... huhuhuhu..



Walaubagaimanapun, aku bersyukur masih punya Emak.. punya Ayah.. punya mertua, adik beradik ipar duai dan sedara mara.. juga jiran tetangga dan sahabat handai serta ada juga orang orang luar yang sudi menghulurkan silaturahim sesama saudara Islam denganku... persaudaraan yang tulus, dengan Nawaitu – kerana Allah.. SUBHANALLAH... SYUKUR YA ALLAH..




Ya Rabb.. redhai hamba-hamba-Mu ini. Ameen.


Friday

Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor


Seminggu berlalu..

Seminggu yang lepas (Jumaat : 30 September 2011 bersamaan 2 Dzulkaedah 1432) - Pemergian abadi seorang yang bernama Najmiyah Binti Norma!..
(nama yang ditalkinkan..)

Airmata tak dapat ku tahan. Panas terik mentari yang baru mula merangkak hendak berdiri tegak di atas kepala ku abaikan. Melihat tanah yang masih basah dan dua pokok kemboja yang ditanam sebagai tanda itu adalah kubur arwah, membuatkan hatiku sangat pilu.. (Namun, jauh di sudut hati aku, serasa bagai ada satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.. mungkinkah arwah selesa di situ?.. Wallahu ’alam)..

Firman Allah:
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-Quran Surah Al-Mulk 67 : Ayat 1-2)

Najmiyah Binti Mohd Nor.

Orangnya manis. Tuturnya lembut. Satu masa dulu, semasa zaman persekolahan, aku dan sepupu-sepupu perempuan lain pernah ’mengumpat’ pasal Miyah – kata kami :- ”Malu pulak kalau nak bersembang depan Miyah. Dia cakap perlahan, kita cakap berdegar-degar. Budi bahasa miyah lembut, kita ni ’kasaq kedegaq’, tak padan ngan pompuan – anak dara mulut bising!! Kalau cakap ngan Miyah, automatik volume turun dari 5.0 ke 1.2”.

Ya. Kalau dibandingkan KESEMUA sepupu-sepupu perempuan aku dalam keluarga adik-beradik ayah aku, memang takkan mampu terlawan dengan kelembutan dan kesopanan budi bahasa Najmiyah dan Nazirah (anak-anak perempuan Pak Su + Mak Su). Sangat lembut, sangat sopan, sangat berbudi bahasa. Kami akur dengan didikan dan asuhan Maksu Norma kepada anak-anaknya.. Sesopan dan selembut maksu Norma.. (tidak pernah hayat aku dengar maksu menjerit melaung memanggil anak-anaknya, hatta ketika menyuruh anak-anaknya buatkan air kepada kami yang datang berkunjung.. panggilnya seakan berbisik.. tiba-tiba air dan makanan sampai.. KAGUM!)

Dan, aku pasti, semua saudara-mara mengakuinya.

Najmiyah!. Pernah sepupu-sepupu yang lelaki dalam family ayah aku ’nak tackle’ Miyah. Tapi, ayah aku kata :- "HANGPA BOLEH JADI WALI DIA!!.".. hehehe.

Tapi, aku agak sedih kerana jodohnya sangat berat, sedangkan adiknya Nazirah telahpun melangsungkan perkahwinan sebelum dirinya.. (Aku pernah terlibat dalam satu kemalangan bersama miyah ketika kami dalam perjalanan balik ke kampung – meskipun kemalangan sangat dasyat jika dilihat keadaan keretanya, namun syukur kami semua terselamat - 2003).

Antara kenangan aku dgn miyah... selain kami adalah sepupu.. dia merupakan pengapit aku masa kenduri di Muar.. dan dia juga pernah bekerja satu syarikat dengan aku masa dia mula habis belajar dulu.. maka itu, kawan2 kerja lama dia merupakan kawan-kawan aku jugak.. pemergiannya mengejutkan mereka semua.. PASTINYA!.


Cerita Mak Su, Pak Su dan Nazirah (adik Miyah).

Sejurus selepas selesai membaca Yaa Siin di kubur, kami ingin segera ke rumah paksu. Tetapi terserempak pula dengan Mak Su Norma (mak miyah). Ucapan salam diiringi pelukan yang tidak mampu aku leraikan. Begitu kuat dan lama maksu memelukku. Ya.. akur. Maksu sangat sedih. SIAPA TIDAK???.. Anak perempuan yang sering menjadi tempat mencurah isi cerita.. yang sering membantu dikala susah.. yang menghiburkan di saat derita.. dialah orangnya.. Najmiyah Binti Mohd Nor. Maksu sempat bercerita hal-hal PELIK miyah dalam sebulan dua ini.


Cerita Maksu :

Miyah banyak meninggalkan 'kenangan' di saat-saat akhir hayatnya.

Miyahlah yang bertungkus lumus menyediakan segala persediaan untuk maksu dan paksu berangkat menunaikan Ibadah Haji pada 15 Oktober ini. Dia orang yang paling tak sabar nak packing beg baju utk ayah ibunya!. Dan dia ada berniat, katanya, tahun depan dia nak pergi umrah dengan maksu!.

Semasa raya Aidilfitri yang lalu, Miyah hendak sangat beli barang rumah. Nak tukar sofa. Nak belikan perabot kayu jati yang berharga ribuan ringgit. Tetapi maksu melarangnya. Maksu suruh Miyah simpan untuk kegunaan sendiri. Tetapi arwah nak juga beli. Dia order satu set sofa – tetapi warna yang maksu berkenan tak ada stok pada hari raya, selepas raya baru ada. Tetap miyah beli juga meskipun sampainya selepas raya!..
(aku merasa duduk di sofa yang baru dibelinya).

Miyah juga sempat beli almari dan katil baru. Maksu mulanya tak bagi. Kata maksu, yang lama pun elok lagi. Miyah kata, katil lama tu boleh jual kepada orang yang datang tolak barang tu. Masa kami pergi melawat maksu, memang birai katil tu terletak elok dihujung pintu, menanti masa nak ’let go’ pada lori yang tolak barang tu!.

Segala buku-buku, barang-barangnya, habis dikemas dan disimpan ke dalam kotak. Katanya tak payah nak susah-susah berkemas ’nanti’. Dan memang!. Maksu tak perlu susun lagi barang2 lamanya kerana dia DAH SUSUN DAN SIMPAN SENDIRI!.


Cerita Nazirah:

Nazirah (adik bongsu @ satu-satunya adik perempuan Miyah) tidak dapat menahan sebak sepanjang bercerita kepada kami ’kelainan’ sikap kakaknya.

Kata Nazirah, Miyah kerap lesu dan letih. Pernah sekali miyah sebut sakit sangat dadanya, berat seakan ditindih. Nazirah meyuruhnya bangun untuk solat tetapi miyah kata nak rehat sekejap, sebab sangat tak larat. Miyah adalah seorang yang tidak pernah culas dalam solatnya. Di situ Nazirah menjadi tidak sedap hati. Dipaksa jugak kakaknya menggagahkan diri untuk solat!.

Pada satu hari minggu, Miyah beriya-iya hendak buatkan kek untuk Hakim (anak Nazirah), dipesannya Nazirah bawa pulang Oven (tetapi Nazirah terlupa bawa bersama Mixer). Najmiyah bangun seawal pagi untuk buatkan kek untuk Hakim. Tanpa mixer, dikacaunya adunan dengan tangan. Kanan berganti kiri sehingga selesai kek harilahir untuk Hakim. Bersungguh miyah ingin menghadiahkan KEK TERAKHIR hasil air tangan MAKNGAH Hakim!. Allahu.

Pada hari raya tempohari, beriya Miyah ajak Nazirah beli baju raya corak dan warna yang sama (seperti masa bujang2 dahulu). Dibeli 3 pasang baju yang sama tetapi kata Nazirah :"Macam mana cheq nak pakai, cheq mengandung 8 bulan ni, tak muat". Sudahnya baju bergantung kemas di dalam almari – menunggu sehingga Nazirah selamat melahirkan untuk dipakai bersama-sama.. tetapi.. ALANGKAH!!!.......!.


Cerita Paksu :

Menurut Paksu, Miyah sakit dah lama. Tetapi sakitnya sangat misteri. Pernah Miyah terlantar sebulan di hospital, tetapi tidak diketahui punca penyakit!. Ada juga pak su cuba pergi berubat secara tradisional, kata ustaz yang mengubatinya itu, Miyah 'TERKENA BUATAN ORANG' – ada orang yang berniat jahat untuk 'mengenakannya' sehingga menemui ajal! (nauzubillah)!.. Wallahu ’alam bisawab. Aku sendiri tidak tahu sejauhmana kebenaran kisah tersebut. Sekadar menyampaikan yang disampaikan oleh Pak Su.

Menurut Pak Su lagi, tiga orang menyatakan perkara yang sama. Dan mereka pernah berpakat untuk 'menghantarnya' semula, tetapi belum berbuat demikian.

Ketika ini ayah menyampuk cerita Pak Su. Kata ayah :- "Jangan dibalas apa-apapun, Miyah dahpun pergi dengan selamat, andai perginya dianiaya sedemikian, Alhamdulillah, moga segala dosa miyah dikendong dek orang yang menganiaya dia. Jangan kita yang hidup ni pulak yang menambah dosa kita dan jadi seburuk sikap mereka." Dan Pak Su akur dengan nasihat abang sulungnya itu.

Firman Allah:
"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (Al-Quran Surah Al-An’am 6 : Ayat 59).

Dan lagi, perkataan ayah yang membuatkan kami seisi rumah sebak dan menangis adalah apabila ayah kata kepada Pak su dan Mak su agar halalkan segalanya. Ampunkan salah silap arwah dan hiduplah dalam keadaan yang harmoni seperti yang arwah inginkan.

Paksu menangis sambil berkata :- "Tak.. tak.. takdak dosa dia dengan kami. Dia baik. Dia anak yang baik. Kalau adapun salah silap dia, kami dah ampunkan. Kami dah halalkan".

... dan tangisan bersahutan!.

Allahu Akhbar. Wahai Dzat yang Maha Agung.. Sungguh Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Untungnya Najmiyah – dihalalkan segala perihal dan diampunkan segala dosa oleh ibu dan ayahnya. Kita ni.. MAMPUKAH PEROLEHINYA?????..


Cerita di hari-hari terakhirnya.

Hari Rabu 28.09.2011
– Miyah mengadu sakit dada. Selepas muntah, dia terasa penat sangat. Miyah meminta untuk dihantar ke klinik. Oleh kerana miyah pernah ada rekod di GH Penang, maka terus doktor rujuk ke GH Penang. Melihat rekod lamanya, doktor kemudian menahan miyah ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut.

Hari Khamis 29.09.2011 – Tiba-tiba bacaan jantung miyah turun mendadak. Doktor memasukkannya ke dalam ICU. Petangnya masa mak pergi melawat miyah, nampak sangat keletihan di wajahnya. Menurut mak, Miyah tidak seceria selalu, tiada lagi senyuman seperti selalu. Miyah mengenakan oksigen utk pernafasannya. Dia sempat membuka corong oksigen dan bercakap pada ayah ‘Miyah penat” kemudian menutupnya kembali.

Pada tengah malamnya, reader jantung miyah dan lain-lainnya dalam keadaan yang tidak normal, doktor menelefon paksu dan menyuruh seluruh ahli keluarga datang untuk membaca YaaSiin.

Maksu memang sentiasa di hospital. Paksu dan Nazihah bergegas ke hospital. Najib juga. Cuma Nafis yg tidak sempat. Nazihah tidak putus memberi semangat kepada Miyah untuk “LAWAN” kesakitan itu. Sesekali bacaan jantungnya kembali normal, tetapi lain masanya jatuh naik tak menentu.

Sehingga pada pagi Hari Jumaat 30.09.2011 – Jam 9.00pagi, Doktor menyatakan Miyah KRITIKAL DAN SUDAH NAZAK!. Maksu memangku kepala Miyah di lengannya, sambil mengucapkan kalimah syahadah di telinga miyah. Manakala Paksu dan Nazihah tidak berhenti membaca surah Yaa Siin. Ketika itu bacaan jantungnya jatuh dan terus jatuh!. Maksu tidak putus2 mengalunkan kalimah tauhid ditelinga Miyah. Dada miyah berombak biasa, seakan tengah tidur. Sehingga jururawat memberitahu maksu bahawa "DIA DAH TAKDAK"!.

ALLAHU!. Jantungku pula berdegup laju di sini.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan." (Al-Quran Surah Al-Qamar 54 : Ayat 49)
Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor.

Bagiku, kematian Najmiyah sesuatu yang begitu bertuah untuk dirinya.

ANDAI!. Andainya benar seperti yang dikhabarkan – yakni Miyah meninggal kerana 'perbuatan orang' (wallahu ’alam), pastinya ini adalah rezeki yang sangat bernilai – darjatnya di angkat Allah ke tempat orang-orang yang salihin (ameen).

Ibu dan ayah serta adik beradiknya memberi restu, memberi maaf, mengampunkan segala dosa dan menghalalkan segala makan minumnya. Owh. Bertuahnya.. (mampukah kita mendapat keistimewaan sedemikian, bila kali terakhir mohon maaf dengan mak ayah adik beradik???.. selepas raya hari tu, ada tak terkecil hati atau termarah mak ayah adik beradik?)

Miyah belum berkahwin, justeru, tiada dosanya dengan suami, mertua, ipar duai dan sanak saudara sebelah suami.. jadi, tiada tercalit dosa padanya dalam hal ’perkahwinan’!. (kita ini?.. yang saban hari mengumpat mengeji mengata bercerita perihal mertua ipar duai, saudara mara-sahabat handai.... merajuk marah bergaduh menjerit pada suami.. telah mohon ampunkah???)

Subhanallah.. Beruntungnya kamu wahai adikku Najmiyah Mohd Nor..

.. dan lagi.. menurut kata Nazirah, ketika selesai dimandikan, wajah Najmiyah sangat lembut, bibirnya terbuka menampakkan gigi seakan sedang tersenyum!.. SUBHANALLAH!.. Benarkah begitu?.. Allahu...

Meninggal pada hari Jumaat, penghulu segala hari, di pangkuan Ibu tercinta yang mendengarkan kalimah agung 'syahadah' - LA ILLAHA ILLALLAH!.. disaat-saat terakhir hayatnya. Pemergian diiringi dengan alunan bacaan Yaa Siin oleh ayahanda dan adik-beradik tersayang.. telah diampunkan dosa oleh ibu dan ayah..

SIAPA YANG MAMPU MEMPEROLEHI KEMATIAN SEDEMIKIAN??..

Subhanallah. Maha Suci Allah yang mengaturkan kejadian.
Firman Allah:
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Quran Surah Al-Hadid 57 : Ayat 21).

Ya.. Pemergian Najmiyah Binti Mohd Nor telah pun termaktub sedemikian.

Kita yang masih tinggal ini, apakah persediaan kita ke arah syurga Allah?. Mampukah hayat kita berakhir dengan Husnul-Khatimah?. Di hujung nafas kita, mampukah mendengar serta melafaz kalimah tauhid "Laa Illaha Illallah" – yakni KUNCI SYURGA!.

Benar seperti komen cklah:
“Kematian seseorang, untuk yang hidup mengingati mati...”


Semoga kita beringat!.

SEMOGA AKU BERINGAT DAN MENGAMBIL PERINGATAN!.


Penutup bicara:

"Miyah.. semoga Allah Ya Rahman Ya Rahim, Ya Dzaljala lil Wal ikram meredhaimu dik, sebagaimana ibu ayahmu meredhai hidupmu dan meredhai pemergianmu. Ameen."

Innalillahi Wainnailaihi Raajiuun.
Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.


AL-FATIHAH!.




Ya Rabb, redhai kami semua. Ameen.




YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.