Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Wednesday, June 30, 2021

Setengah tahun pertama 2021

 Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini 30 Jun, sudah setengah tahun kita di tahun 2021.

Sepanjang tahun 2020 dan 2021, kita diuji dengan kes pandemic Covid19. Musibah paling besar yang serentak melanda dunia keseluruhannya.

Namun begitu, untuk diri aku sendiri, sungguh, tak lepas aku melafaz syukur pada Allah pada setiap ujian dan anugerahnya yang diberi berturut-turut, malah lebih baik daripada apa yang saya hajatkan.

Tahun 2019, adalah tahun yang bahagia namun pada masa yang sama, ia dilitupi dengan kanvas duka.

Arwah ayah dalam ingatan. Al-Fatihah kepada ayah Yahaya bin Marzuki.


Allah ambil separuh jiwaku yakni pemergian Almarhum ayahanda tercinta pada 18 Oktober 2019, sebulan sebelum aku konvo PhD pada 16 November 2019.



Arwah ayah tak sempat pakai jubah konvo PhD dengan topi tudor bonet seperti yang arwah idamkan (mohon Allah beri ganti pakaian baldu sutera yang indah di akhirat nanti, amin).

***

Tahun 2020 dan 2021, pada waktu Malaysia diuji dengan pandemik Covid19, Allah Al Fattah Al Wahhab Ar Razzaq bukakan pintu rezeki dan kurniakan satu persatu keindahan dalam meneroka dunia ilmu melalui pintu yang seterusnya.

Jika sepanjang tahun 2007 sehingga 2019, hidup aku dan ilmu berkisar kepada mencari - membaca - menulis, tetapi tahun 2020, Allah Al Fattah bukakan rezeki ramadanku dengan menjadi Panel penceramah kuliah penulisan buku umum dalam Virtual Summit Sekolah Penulisan Ramadan (SPR).

Peluang menjadi panel penceramah dengan tajuk "Mengatasi Ketakutan Menulis Kali Pertama."


Subhanallah MasyaAllah Tabarakallah.

Satu perkara yang pernah aku mohon tapi tak pernah dijangka cara ini yang Allah beri.

Berada dalam satu 'pentas' bersama guru-guru penulisan aku dan paling penting, aku dijemput oleh Tuan Guru Penulisan pertama saya iaitu Tuan Zamri Mohamad. Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Berasbabkan ilham VSSPR, Allah Al Alim ilhamkan untuk aku anjurkan Virtual Summit Sekolah Penulisan Tesis untuk pelajar pascasiswazah. 30 Panel, 33 hari dengan 33 tajuk khusus menyentuh hal dunia pengajian tinggi.

30 Panel yang terdiri daripada pelbagai pakar bidang akademik menjadi Panel penceramah.
Dan mereka itu semua Allah izinkan aku pilih dan approach setiap seorangnya.



Syukur Alhamdulillah, kesemua mereka bersetuju menyumbang bakti dengan infak ilmu secara PERCUMA tanpa perlu membayar upah sebagai Panel. Allahu Allah.

Seramai lebih kurang 1300 peserta yang akses daripada 10 Negara menyertai program ini. Masya-Allah Tabarakallah.

Sungguh, sangat bahagia dengan kejayaan program ini. Allah juga yang memberi izin dengan penuh kebaikan.

***

Dalam bidang penulisan pula, selain menjadi panel penulisan, aku juga diizinkan Allah menjadi GURU PENULISAN dengan mengadakan Bengkel Inspiwriter Tulis dan Sebar.




Meskipun tak ramai, tetapi sangat berbaloi perasaan itu.

Namun, aku memilih untuk tidak meneruskannya kerana ramai lagi guru penulisan yang berkaliber dan untuk memberi tumpuan kepada dua hal besar, aku tak mampu. Biarlah aku tumpu kepada program bimbingan penulisan tesis Master/PhD, itu lebih menjurus kepada janji jihadku.

Maha Suci Allah yang mengizinkan semua ini berlaku.
Haza min fadli Rabbi.

Sungguh, aku bersyukur, sangat-sangat bersyukur.
Tidak sekelumit pun aku tidak mensyukuri nikmat yang Allah Al Baari Al Wahhab Ar Razzaq rencanakan dan kuriakan ini.

Malah, aku malu dan takut sebenarnya.
Dia beri terlalu banyak nikmat dan kebaikan, apakah aku mampu jalankan amanah ini dengan sebaiknya? Adakah aku sudah menjalankan tanggungjawab sebaiknya? Atau aku yang culas dan malas.

Allahuakhbar Kabira.

Mohon Allah Al Muhaimin An Nafi' selalu pelihara hati ini, iman ini dan kurniakan ketabahan untuk terus berkongsi dan sebarkan manfaat ilmu pengajian tinggi dan dapat aku manfaatkan sebaiknya. Amin. 


Wa U Fauwidu amri Ilallah
Innallahabasirunmbil ibaad.

La hau la wala quwwata illa billah.




Salam takzim,
KakTiny







 









Friday, June 04, 2021

2021- Meneruskan jihad ilmu

Masya-Allah Tabarakallah.
Sudah masuk tahun 2021.

Lama sungguh membiarkan blog ini bersarang.
Entah ada atau tidak lagi yang mengikuti blog ini.

Diri aku sepanjang kurangnya aktiviti di blog ini?
Allahuakbar Kabira.
Banyak perkara yang berlaku.

16 November 2019, aku dan sahabatku, Maiza, berjaya graduasi PhD.
Kepada mereka yang ikuti kisah kami berdua, pasti tahu bahawa pada tahun 2012, kami bersama mendaftar PhD dengan penuh semangat juang mahu paku puncak pengajian tertinggi ini.


Akhirnya "jubah kepak belang tiga dan topi tudor bonnet" itu berjaya aku sarungkan dan pakai pada hari kejayaan kami dalam dunia pengajian PhD ini.


Namun, ada sesuatu yang berlaku sebulan sebelum hari bersejarah aku itu.

Pada 18 Oktober 2019, ayahku kembali ke rahmatullah. 
Pergi meninggalkan dunia fana ini.
Pergi meninggalkan aku dan rasa teruja mahu sarungkan jubah kepak itu dan pakai topi tudor bonnet itu kepadanya.

Sebulan sahaja lagi. 
Sebulan lagi, aku akan graduasi tetapi Allah ambil ayah sebulan sebelum tarikh konvo PhD aku.

Innalillahi wainnailaihi raajiun.

Sedih, pastinya!

Tapi aku bersyukur, kerana Allah beri peluang aku simpan doa yang tak kesampaian itu untuk aku mohon diperkenankan di akhirat kelak.

Semoga sahaja arwah ayah dipakaikan pakaian kebesaran di syurga kelak menggantikan baju konvo PhD yang tidak sempat beliau sarungkan. Insya-Allah. Biiznillah.


Catatan perjalanan sepanjang pengajian PhD, aku catatkan dalam naskhah solo Dr. Secretary - Mendaki Puncak PhD.

Begitu juga dengan sahabatku, Maiza. Beliau catatkan kisahnya dalam MyTimeline - Kerani ke PhD.

Tahun 2020, aku dan sahabatku, Datin Dr. Maiza berazam untuk sebarkan dan kongsikan ilmu PhD kami ini kepada pelajar pascasiswazah yang memerlukan di luar sana.

Bersama Tuan Suami dan seorang adik bijak, Suriani a.k.a Sue, kami bergerak di bawah Inspiwriter Academy, melaksanakan pelbagai program untuk pelajar pascasiswazah.




Jadinya, bermula tahun lepas, tahun 2020 dan tahun ini, tahun 2021, di celah-celah kekalutan dunia dengan kes Virus Covid19 ini, aku terus mahu meneruskan jihad perjuangan bagi menyebarkan manfaat dan berkongsi ilmu yang dalam kapasiti tahu dan mampu diriku kepada dunia pascasiswazah.

Semoga sahaja impian kami untuk membuka sebuah Universiti Penulisan dan Penyelidikan Antarabangsa (UPPA) menjadi nyata. Allahumma Amin Allah Al-Mujib.


Haza min fadli Rabbi. 

La hau la wala qu wata illa billah. 
Alhamdulillah. 
Terima kasih Allah. 
.

Kaktiny. 

 

Friday, October 09, 2020

2020 - Tahun Pemula - Mudahnya Tulis Tesis

Subhanallah.

MasyaAllah Tabarakallah.

Sudah setahun demi setahun berlalu. 

Tahun 2019, hanya satu post sahaja. 

Tahun 2020 ni pun, dah nak habis tahun, baru nak menjengah ke sini. 


Allahu Allah.

Perkembangan terkini?

Alhamdulillah, kisah PhD oh PhD telah menemui titik jaya. 


Alhamdulillah, aku sudah bergelar Dr. Tiny Azleen Yahaya. 


Kisah yang banyak aku catatkan di sini seawal pengajian. 

Syukur, setelah pelbagai badai dan gelora dalam menempuh lautan dalam, destinasi kejayaan itu berjaya juga dilabuhkan sauh. 

Syukur Ya Rabbul Karim.

***

Terkini, usai pengajian PhD ini, aku beralih kepada jihad seterusnya yakni menyebarkan ilmu.

.

Sebagaimana yang Allah firmankan dalam surah As-Syarh 94 : Ayat 7-8, sesudah lakukan satu perkara (jihad), lakukan perkara baik yang lain. 
Itu yang saya pegang. 
Usai berhasil peroleh kejayaan dalam jihad ilmu (PhD), sekarang masa untuk menyebarkan manfaat ilmu kepada orang ramai pula. 
Usaha untuk memartabatkan ilmu dan memandaikan bangsa atas tiket PhD. 
Impian yang saya doakan pada tahun 2012,dn yang saya berteleku menyiapkan ya pada tahun 2015, kini Allah Al Baari sedang rencanakan dengan indah. 

PRESTART MC DAN START MC akan menemui pelajar pascasiswazah yang memerlukannya. Biiznillah. 
Mohon doa semua, usaha ini dalam rahmat restu, izin dan reda Allah. Amin. 
Besar angan dan impian saya untuk melihat setiap pelajar pascasiswazah mendapatkan naskah ini dan berkata, "MUDAHNYA TULIS TESIS DENGAN START MC". 
😍😍😍
Haza min fadli Rabbi. 

La hau la wala qu wata illa billah. 
Alhamdulillah. 
Terima kasih Allah. 

Kaktiny. 




Friday, May 03, 2019

Selang tahun - 2019

BismillahirRahmaanirRahiim.

Allahu Allah Ya Karim.

Sejak entri yang lepas, rupanya menjangkau setahun saya menyepi langsung dari dunia media sosial.

Sudah masuk ke bulan Mei 2019 setelah tahun baharu 2019 berlalu dengan pantasnya.


Lagi dua hari, dunia akan menyambut bulan ramadan, bulan keberkatan, bulan yang dinanti oleh seluruh umat Islam.


Banyak yang mahu dinukilkan, banyak juga yang perlu disimpan terlebih dahulu.

Semoga blog ini kembali mendapat sentuhan pemiliknya yang baru mula mahu menjengah dunia setelah sekian lama bertapa berhibernasi dengan begitu lama, membawa diri menyantuni pengajian yang begitu panjang kisah dan pengkisahannya.

Mohon ada ruang dan peluang untuk jari jemari ini rancak menari di sini, untuk kesekian kalinya, seperti suatu waktu dahulu... Mohonnya begitu.


.

.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr Yang Maha Mengatur Yang Maha Baik, yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hambaNya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-

Sunday, February 25, 2018

Azam, kecintaan dan cita-cita baharu

BismillahirRahmaanirRahiim.


Masuk tahun 2018, umur sudah melepasi angka 40. 
Sudah mula berjalan ke angka 41.
.
Umur 40 adalah umur yang paling saya takuti. 

Umur ini adalah umur di mana Allah telah sebut dalam kalam sucinya, pada Al-Quran, Surah Al-Ahqaf (46) : Ayat 15.

Dan antara yang paling saya doakan untuk diri dan keluarga adalah, menjadi hamba-Nya yang menjaga solat seperti yang didoakan oleh Nabi Ibrahim seperti yang tercatat dalam Al-Quran, Surah Ibrahim (14) : Ayat 40. 


Saat ini, cita-cita dunia yang utama adalah mahu ubah, perbaiki, menambah baik dan jaga perilaku.
.
1- Mahu jaga solat. 
Solat di awal waktu. 
Solat penuh khusyuk dan menghayati setiap ayat dan makna dengan penuh tawaduk.
.
2- Mahu doa sepenuh tulus. 
Dengan seluruh asma' wal husna Allah dengan jitu dan teguh hati.
.
3- Mahu bersahabat dengan Al-Quran. 
Setiap hari 'berbual' bicara dan memahami makna. Hafal dan tadabur serta boleh mengajar dan menyampaikan. 
.

Azam yang sangat mahu berulang kali saya ingatkan kepada diri. 
.
 Bersahabat dengan Al-Quran.
- Baca Al-Quran;
- Faham Al-Quran;
- Hafal Al-Quran;
- Tadabbur Al-Quran;
- Mengajar Al-Quran.

Sementelah mendengar ustaz penceramah sering sebut, hadis yang sering dibacakan berkaitan keutamaan mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya, keutamaan membaca Al-Quran, dan kewajipan mencari ilmu, terasa sebak hati ini kerana tidak berusaha menjadi penghafal dan penyebar Al-Quran.


Subhanallah, seronoknya dapat menjadi pencinta Al-Quran dan bersahabat dengan Al-Quran.

(Sahabat dan kecintaan baharu)

Dan sungguh, saya cemburu pada hafazan Quran dan mereka yang Allah pilih untuk menjadi 'PEMELIHARA DAN PENYEBAR AL-QURAN'. Dan sungguh benar, aku mohon benar-benar, Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Baari dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, rencanakan saya menjadi salah seorang hamba-Nya yang menghafal Al-Quran, tidak kisahlah pada tangga berapa juga umur saya, mohon saya kembali kepada Allah kelak, dengan 114 surah menjadi peneman saya dalam alam barzakh dan di akhirat kelak.

Mohon Allah berkati dan rahmati niat dan usaha ini. 
Allahumma ameen Ya Mujib.

.
Hal dunia lain.

Apabila masuk tahun baharu, antara aktiviti yang saya kurangkan (atau mungkin senyap terus) adalah perkongsian penulisan di Facebook dan Instagram. 

Banyak perkara yang berlaku selepas kisah PhD oh Phd - VIVA dan RE-VIVA.
Perkara-perkara yang membuatkan saya muhasabah diri dengan sangat dalam dan panjang.

'Kemurungan' yang berlaku tanpa sedar membuatkan saya banyak berfikir dan mula kembali kepada nawaitu diri dalam mengejar pengajian PhD. 
.
Dan, apabila ditanya kenapa saya mendiam diri, inilah jawapan saya.  


Bukan mudah, untuk melalui hari-hari yang mendekati tarikh kematian (semakin usia bertambah, semakin hayat berkurangan, semakin dekat dengan kematian - itu pasti!)
Bukan mudah, melalui detik waktu setelah umur 40 itu dilangkahi.
Bukan mudah, untuk meningkatkan tahap iman, apabila hati ini sering berbolak balik dan nafsu ini selalu terburu-buru mahu mengambil tempat di hadapan aqal dan iman.
Bukan mudah, untuk meningkatkan tahap iman dan taqwa dengan menjauhkan rasa cemburu, riak, takabur, sombong yang berada pada garis kelabu tanpa sedar dan hanya senipis kulit bawang sahaja pemisahnya. 
Bukan mudah, mahu terus kekal, mengadu kepada Tuhan dan terus menghambakan diri sebagai hamba-Nya.

Allahu Rabbi.
Mohon Allah Ya Hafidz Ya Waaliy pelihara dan lindungi hati ini daripada hasad dengki fitnah manusia serta kerakusan nafsu sendiri. 

Saya mahu bentuk diri untuk tenang dalam melewati usia-usia yang masih berbaki ini supaya tidak terlalu terjebak dengan perkara laqa dan perkara yang membolak-balikkan keyakinan dan keimanan kepada Allah. 

Rindu, ya rindu. Pada sekalian teman dan kenalan, juga pada segala aktiviti yang pernah dilewati bersama lewat kisah dan cerita di media sosial, namun, biarlah, ia menjadi kenangan dan tinggalan pengajaran kepada diri. Mungkin selepas ini beraksi kembali atau mungkin cukuplah sekadar usia 40 itu menjadi status akhir. 

Dan di sini, tangan ini lincah menari kembali. Sesekali keluar mencatat, supaya ada cerita dan kenangan pada anak-anak dan mereka yang sudi mengingati diri ini. 

.
.
.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hambaNya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-


Tahun Baharu 2018 yang mula berlalu - Astaghfirullahal azhiim.


BismillahirRahmaanirRahiim.

Sudahpun berada di tahun 2018, dan bulan February juga sudah mula bergerak pergi.


Sejak post terakhir pada September 2017, pelbagai situasi berlaku pada diri dan pada situasi sekitar.

Alhamdulillah, pelbagai ujian dan anugerah kurniaan Allah yang berlaku dalam takdir saya, amat saya syukuri dan reda menerimanya. 

Ujian susah, sedih, perit, pahit, saya syukuri kerana Allah izinkan saya menikmati saat dan perasaan itu. Begitu juga dengan kurniaan bahagia, gembira, suka dan ceria, juga saya syukuri kerana Allah masih memberi rasa-rasa itu untuk saya jalani dengan tenang.

Azam tahun ini, mahu lebih banyak syukur, sabar, ikhlas dan reda.

Benar, kedengaran seperti mudah, namun untuk melaluinya dan mempraktikkannya, MasyaAllah, terasa benar payahnya.

Namun, sebagai manusia yang penuh sifat lupa dan alpa, saya mahu terus berusaha menjadi hamba-Nya yang diredai-Nya dan yang mendapat pengampunan serta rahmat kasih-sayang-Nya yang melimpah ruah.

Ujian demi ujian itu, adalah tanda kasih Tuhan kepada hamba-Nya, saya berpegang dengan keyakinan itu. 

Kurniaan-Nya boleh datang dalam bentuk kesenangan juga kesusahan. 

Firman Allah:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan tambah nikmat kepadamu..." (Al-Quran, Surah Ibrahim (14): Ayat 7.

Firman Allah lagi:
"Katakanlah (Wahai Muhammad), jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Al-Quran Surah Ali-Imran (3): Ayat 31.

Untuk menjadi hamba yang dicintai Allah, adalah hamba yang banyak bertaubat dan memohon pengampunan dosa dari Allah Ya Ghaffar Ya Ghaffur Ya Affuw. Makanya, demi mendapatkan pengampunan Allah, adalah dengan jalan ISTIGHFAR.

Sebanyak kita istighfar, sebanyak itu dosa dihapuskan. 
Apabila dosa-dosa dihapuskan, maka tiada hijab doa kita dengan langit Allah (untuk sampai ke Allah tanpa perantara dan tanpa hijab dosa). Dan mudah untuk doa dimakbulkan kerana orang yang banyak bertaubat dengan istighfar adalah orang yang mahu mencintai Allah. Orang yang mahu mencintai Allah pasti dirinya dicintai Allah, kerana selangkah sang hamba berjalan menuju kepada Tuhannya, seribu langkah Tuhan berlari mendapatkannya. Begitu tinggi kasih sayang dan kecintaan Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Wadud kepada hamba ciptaan-Nya yang paling sempurna.

Basahkan lidah dan siram hati dengan zikir dan istighfar, supaya Allah tahu kita selalu mencintai-Nya dan supaya kita tahu bahawa Allah sentiasa ada di hati dan pada setiap desah nafas dan derap langkah kita.




Astaghfirullah rabbal baraya
(Aku memohon ampunan Allah, Maha Penerima Taubat)
Astaghfirullah minal qhataya
(Aku memohon ampunan Allah, daripada segala dosa)
Rabbi zidnii ‘ilmanNaafi’a
(Tambahkan kepadaku ilmu yang bermanfaat)
Wa Waffighnii ‘amala(n)maghbuu La
(Dan berikanlah aku amalan yang dimakbulkan)
Waa hablii rizqanWaasi’a
(Dan kurniakan kepadaku, rezeki yang luas)
Watub ‘alaiya taubatannasuuha
(Dan perkenankanlah taubatku, dengan taubat nasuha) – 2x
.
.
Mohon pengampunan dan rahmat Allah.
.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hamba-Nya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-

Monday, September 18, 2017

PhD oh PhD: Part 28 ~ Kejayaan yang tertangguh (RE-VIVA).

BismillahirRahmaanirRahiim.

Rabu, 6 September 2017.
Tarikh sejarah, tarikh keramat.

Tarikh VIVA PhD seorang calon PhD bernama Tiny Azleen Binti Yahaya.

Tarikh yang diimpikan juga digeruni pelajar-pelajar PhD di seluruh Universiti di Malaysia ini.
.
Akhirnya, saya telah melalui tarikh itu.
Tarikh yang memang akan menjadi kenangan paling bersejarah dan terkesan lama.
.
Berhari-hari malah berminggu juga saya mengambil masa untuk bercerita tentang tarikh ini.
.
PENAT, LETIH, LESU.
Mungkin itu perkataan yang boleh menggambarkan rasa usai keluar daripada bilik VIVA.
.
KEPUTUSAN?
RE-VIVA.
.
Ya, saya akur, itulah keputusannya.
Namun, saya tahu, keputusan sebenarnya adalah RE-SUBMIT tetapi berkat kegigihan Penyelia saya, Dr. Kidin yang bertungkus-lumus membela, juga sifat kelembutan dan kasihan yang Allah Ya Latiff Ya Rahman Ya Rahim lemparkan ke dalam hati Chairman Viva, Prof. Azizan dan Dato' Hasni, serta doa-doa para penduduk bumi yang disebarkan dengan penuh tulus lagi penuh harap, dan mungkin ada penduduk langit juga yang kasihankan doa-doa para pengirim doa, maka keputusan keras pemeriksa-pemeriksa yang awalnya mahu memberi RE-SUBMIT, bertukar menjadi RE-VIVA. Alhamdulillah.
.
***
Rentetan peristiwa:

Seawal jam 8.00pagi saya sudah bersedia ke GSO UPM.
Sempat sarapan bersama Tuan Suami yang menemani sepanjang hari.
.

Jam 9.00pagi sudah bersiap sedia untuk dipanggil masuk ke bilik VIVA.



Dapat bilik Viva-3. Terpampang nama di depan pintu.


Terus cari bilik dan buat persiapan.

Alhamdulillah, sepanjang persediaan menanti waktu VIVA, tidak ada langsung rasa degupan jantung yang maha kencang. Tipulah kalau tak rasa bimbang, tapi Alhamdulillah, tidak ada rasa seperti mahu pitam atau gemuruh yang melampau.

Membaca doa daripada para pengirim doa dan ucapan segala ucapan daripada yang memberi komentar di ruangan Facebook benar-benar memberi ketenangan dan kelancaran pada hati dan lisan.

Pemerika-pemeriksa sampai dalam jam 9.45pagi.
Prof Azizan (Chairman VIVA) minta pastikan Penyelia hadir. 
Masa ini, ada rasa sedikit kebimbangan sebab Chairman VIVA beriya suruh pastikan penyelia hadir.

Menurut kata pemeriksa luar (sempat berbual dengan beliau sebelum pemeriksa-pemeriksa lain datang), kehadiran penyelia penting sekiranya keputusan tidak memuaskan (biasanya jika keputusan re-submit). 


Sementara menanti pemeriksa berbincang, duduk lepak di luar dengan Dr. Kidin (masa ni, sebenarnya Dr. Kidin dah tahu keputusan), tapi dia cuba berlagak cool supaya saya tak susah hati dan sedih.
.
Pada jam 10.00pagi, mula perbentangan. 
15 minit sahaja (mengikut skrip yang telah disediakan awal).
Alhamdulillah, lancar tanpa kebimbangan dan kekencangan jantung yang hebat.
Sangat tenang. 
.
Kemudian, sessi soal jawab.
ok. INI TERUK!
Memang kena bertalu-talu kiri kanan depan belakang.
Memang 'azab' jugaklah.

Yang sedihnya, isu-isu teknikal diambil kira sebanyaknya.

Contoh:
1- Soalan item sekian-sekian tidak mengukur maksud variable itu sendiri.
2- Formula pengiraan sampel saiz ini tidak habis, ada sambungan lagi cara pengiraannya.
3- Peratusan pengiraan sampel ni ambil daripada mana? Salah. Kiraannya sepatutnya sebegini.
4- Kenapa tajuk kaji organisasi yang tak aktif pakai media sosial tapi dapatan kajian melalui instrument kajian dapati pekerja aktif menggunakan media sosial?
5- Apa beza bab unit analisis dengan sampel kajian?
.
Tapi benar, saya belajar banyak perkara, bukan sahaja bab penulisan tesis, tapi juga sikap manusia. Watak setiap seorang pemeriksa, tutur kata dan cara fikir mereka, saya perhalusi dan ambil iktibar serta pengajaran daripadanya. 
.
Jam 12.15pm, baru selesai urusan soal-jawab.
Dekat 2 jam jugaklah.
Masa jam menunjukkan 12.15pm, baru saya terasa lama benar masa berlalu.
Saya mahu segera habis dan tidak daya lagi ditembak bertalu-talu.
Terasa bodoh yang amat buat PhD yang hanya untuk serah diri ditembak membabi buta tanpa keperluan yang hakiki! Itu perasaan saya pada detik jam 12.15pm, 6/9/2017!
.
Kemudian, pemeriksa suruh saya keluar.
Tinggal mereka bersama penyelia saya, Dr. Kidin.
'Lawan hujah' bersama penyelia mengambil masa sehingga jam 1.00pm (dekat satu jam jugaklah).



Saya menanti penuh sabar dan penuh debar.
Dalam hati sudah berkira-kira, dan sudah tinggi prasangka dan perasaan bahawa keputusan saya tidak seperti yang dibayangkan. Tidak seindah yang diimpikan. Saya cuba memujuk hati dan bersedia menerima berita buruk yang bakal keluar daripada 'bilik tersebut'.
.
Saya lihat Tuan Suami  yang menanti penuh setia di hujung sudut.
Ber'whatsaap' dengan Tuan Suami dari kejauhan yang sejengkal.
Menyatakan betapa kegusaran sedang memenuhi ruang fikir dan diri.
Sudah menduga kebarangkalian keputusan akan mengecewakan.
Tuan Suami masih positif dan menyuruh bersabar.


.



Kemudian penyelia keluar dan duduk bersama saya.
Saya tanya Dr. Kidin, terukkah keputusan saya?
.
Ayat Dr. Kidin yang saya ingat dan kenang sehingga hari ini adalah:

"Tiny, yang penting dapat PhD, kan?"
"Kalau kena collect data semula, boleh kan?"

Saya jawab;
"Dr., saya sudah buat semampu saya. Apa juga yang Allah takdirkan, saya belajar dan saya reda. Kalau itulah keputusannya, ya, saya setuju. And I do agree with you, yang penting, dapat PhD. No matter what."
.
Saya senyum dan sudah mula belajar menerima keputusan yang bakal saya dengar.

Kira-kira 15 minit kemudian, pada jam 1.15pm, pemeriksa selesai perbicangan akhir.
.

Kemudian saya dipanggil masuk. 

Chairman VIVA tanya satu soalan sebelum beri keputusan.
"Tiny, kamu kerja?"
"Ya Prof. Kerja."
"Lepas ini, boleh kamu ambil cuti seminggu dan berkampung di Fakulti untuk mula menulis?"
"Susah jugak Prof. Sebab saya kerja."
"Habis tu, bila masa kamu menulis?"
"Sabtu ahad atau di pejabat ketika Boss tak ada."
(Ketika ini sempat saya mengerling kepada salah seorang pemeriksa, tergambar anak matanya seperti sedang tertawa sinis kepada saya).
"Tak boleh. Tak boleh. Kamu kena ambil cuti seminggu untuk duduk berkampung dan menulis dengan betul!" (tegas Chairman VIVA bersungguh).
(Kali ini saya teringat pesanan Dr. Kidin dan pesanan penyelia-penyelia lain supaya jangan membantah keputusan pemeriksa).
"Baik Prof. Saya akan ambil cuti seminggu, duduk berkampung dan dapatkan nasihat penyelia dan perhap pemeriksa untukbantu tulis seperti yang sepatutnya."
"Baik." (Chairman VIVA mengangguk seperti puas hati).
.
Kemudiannya, Chairman VIVA tarik nafas dan sebut:
"Tahniah Puan Tiny Azleen Binti Yahaya. Kamu lulus VIVA dengan major correction DAN bersyarat. Kamu perlu buat rombakan semula dalam masa 60 hari seperti yang dalam laporan yang akan diberikan dan perlu RE-VIVA sekali lagi di hadapan kami, panel yang sama pada bila-bila masa yang kamu sudah bersedia."

"ALHAMDULILLAH. ALHAMDULILLAH. ALHAMDULILLAH.
Terima kasih Prof, terima kasih pemeriksa semua.
Terima kasih banyak-banyak.
Jazakumullahu  khairan khathira."

Itu sahaja yang termampu saya sebut dan lafazkan.
Saya sudah menerima keputusan untuk RE-SUBMIT.
Tetapi apabila dikatakan LULUS dan Re-VIVA, itu sudah memadai bagi mengurangkan kesedihan hati.
.
Sempat saya hadiahkan naskah Kerana Aku Hamba-Nya kepada kesemua jawatankuasa pemeriksa sebagai tanda cenderamata dan kenangan.
.

Sebelum berangkat pulang, ambil gambar kenangan dengan penyelia dan pemeriksa (lagi dua orang, sudah pulang! Hihihi). 




Meskipun LULUS dengan RE-VIVA, namun perasaan sedih itu tetap ada.
Rasa tidak seronok itu menerawang di sekitar minda dan jiwa.
Namun, saya kekal bertenang.
Pergi solat zohor dan makan tengahari bersama Tuan Suami yang setia.




Saya masih tenang ketika berbual-bual dengan Tuan suami sehinggalah menjelang waktu asar. Tuan suami tanya mahu pulang ke rumah atau ke Masjid? Saya pilih untuk berjemaah di Masjid.

Tuan Suami ke Masjid Hasanah, Bangi.
Sementara menanti azan, duduk sebentar dalam kereta.

Sebaik kalimah azan berkumandang menyebut "Allahu Akhbar, Allahu Akhbar"...
Empangan mata saya pecah dengan ari mata yang bertali arus turun dengan banyaknya dan sukar diberhentikan. Baru terasa sarat beratnya dada dengan keputusan yang diterima.

Tuan Suami tergamam namun diam tidak bersuara, memberi saya ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di dada dan bairkan saya dalam momen berinteraksi dengan Tuhan secara maya.

Usai azan, saya melangkah masuk ke masjid.
Usai dirikan solat asar, saya berteleku dan bertafakur sebentar.
JEDA!
.
.
******
Malamnya, kepala terasa berat dan sarat.
Seperti baru tersedar lenguhnya kaki yang memanjat gunung salji.
Kebas, beku dan sakit.
.
Saya menangis lagi.
Tiba-tiba malam itu saya terasa sangat bodoh.

Saya katakan kepada suami, saya manusia yang paling bodoh. Saya seorang yang gila yang membuat kerja gila. PhD bukan langsung keperluan dalam kehidupan saya, tetapi saya memilih untuk memasuki dunia yang tidak ada keperluan untuk saya. Untuk apa? UNTUK SIA-SIAKAN USIA?!
.
Malam itu saya sepertinya hilang jati diri dan semangat.
Saya menyalahkan diri yang membazirkan masa, tenaga, duit ringgit serta peluang untuk melangkah jauh dalam dunia kerjaya hanya semata-mata mengejar sijil bodoh  yang bernama PhD!
Ya, malam itu saya benar-benar 'masuk' ke dalam 'zon kecewa'. Saya biarkan diri saya mengikut rasa hati yang bercelaru. Saya layan nafsu saya yang menyumpah seranah kebodohan diri memilih untuk buat PhD tanpa keperluan yang hakiki!

Saya terus-terusan memarahi diri sendiri yang sedang menyiksa perasaan saya ketika ini.

Saya salahkan keputusan gila membuat keputusan 'MENDAKI GUNUNG PhD' dengan hanya berbekalkan semangat dan azam jihad mencari ilmu kononnya, dan akhirnya yang saya dapat adalah emosi yang tercedera parah! Saya marah betul! Marah kepada diri sendiri.
.
Tuan suami cuba memujuk dari pelbagai dimensi dan cuma menaikkan semula nyalarasa terhadap kecintaan saya dalam mengejar ilmu.

Namun, malam itu, semuanya saya pandang sepi. 
Semuanya terasa gelap dan akhirnya saya terlelap dengan urutan kaki oleh Tuan Suami yang menemani sepanjang hari. 
.
.
Esoknya, saya bangun dengan satu azam baharu!
.
.
Saya semat kembali semanga dalam diri.
Allah Ya Baari lebih tahu perancangan yang lebih baik.
Alhamdulillah.
.
.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hambaNya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-


YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.