Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Friday, October 07, 2011

Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor


Seminggu berlalu..

Seminggu yang lepas (Jumaat : 30 September 2011 bersamaan 2 Dzulkaedah 1432) - Pemergian abadi seorang yang bernama Najmiyah Binti Norma!..
(nama yang ditalkinkan..)

Airmata tak dapat ku tahan. Panas terik mentari yang baru mula merangkak hendak berdiri tegak di atas kepala ku abaikan. Melihat tanah yang masih basah dan dua pokok kemboja yang ditanam sebagai tanda itu adalah kubur arwah, membuatkan hatiku sangat pilu.. (Namun, jauh di sudut hati aku, serasa bagai ada satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.. mungkinkah arwah selesa di situ?.. Wallahu ’alam)..

Firman Allah:
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-Quran Surah Al-Mulk 67 : Ayat 1-2)

Najmiyah Binti Mohd Nor.

Orangnya manis. Tuturnya lembut. Satu masa dulu, semasa zaman persekolahan, aku dan sepupu-sepupu perempuan lain pernah ’mengumpat’ pasal Miyah – kata kami :- ”Malu pulak kalau nak bersembang depan Miyah. Dia cakap perlahan, kita cakap berdegar-degar. Budi bahasa miyah lembut, kita ni ’kasaq kedegaq’, tak padan ngan pompuan – anak dara mulut bising!! Kalau cakap ngan Miyah, automatik volume turun dari 5.0 ke 1.2”.

Ya. Kalau dibandingkan KESEMUA sepupu-sepupu perempuan aku dalam keluarga adik-beradik ayah aku, memang takkan mampu terlawan dengan kelembutan dan kesopanan budi bahasa Najmiyah dan Nazirah (anak-anak perempuan Pak Su + Mak Su). Sangat lembut, sangat sopan, sangat berbudi bahasa. Kami akur dengan didikan dan asuhan Maksu Norma kepada anak-anaknya.. Sesopan dan selembut maksu Norma.. (tidak pernah hayat aku dengar maksu menjerit melaung memanggil anak-anaknya, hatta ketika menyuruh anak-anaknya buatkan air kepada kami yang datang berkunjung.. panggilnya seakan berbisik.. tiba-tiba air dan makanan sampai.. KAGUM!)

Dan, aku pasti, semua saudara-mara mengakuinya.

Najmiyah!. Pernah sepupu-sepupu yang lelaki dalam family ayah aku ’nak tackle’ Miyah. Tapi, ayah aku kata :- "HANGPA BOLEH JADI WALI DIA!!.".. hehehe.

Tapi, aku agak sedih kerana jodohnya sangat berat, sedangkan adiknya Nazirah telahpun melangsungkan perkahwinan sebelum dirinya.. (Aku pernah terlibat dalam satu kemalangan bersama miyah ketika kami dalam perjalanan balik ke kampung – meskipun kemalangan sangat dasyat jika dilihat keadaan keretanya, namun syukur kami semua terselamat - 2003).

Antara kenangan aku dgn miyah... selain kami adalah sepupu.. dia merupakan pengapit aku masa kenduri di Muar.. dan dia juga pernah bekerja satu syarikat dengan aku masa dia mula habis belajar dulu.. maka itu, kawan2 kerja lama dia merupakan kawan-kawan aku jugak.. pemergiannya mengejutkan mereka semua.. PASTINYA!.


Cerita Mak Su, Pak Su dan Nazirah (adik Miyah).

Sejurus selepas selesai membaca Yaa Siin di kubur, kami ingin segera ke rumah paksu. Tetapi terserempak pula dengan Mak Su Norma (mak miyah). Ucapan salam diiringi pelukan yang tidak mampu aku leraikan. Begitu kuat dan lama maksu memelukku. Ya.. akur. Maksu sangat sedih. SIAPA TIDAK???.. Anak perempuan yang sering menjadi tempat mencurah isi cerita.. yang sering membantu dikala susah.. yang menghiburkan di saat derita.. dialah orangnya.. Najmiyah Binti Mohd Nor. Maksu sempat bercerita hal-hal PELIK miyah dalam sebulan dua ini.


Cerita Maksu :

Miyah banyak meninggalkan 'kenangan' di saat-saat akhir hayatnya.

Miyahlah yang bertungkus lumus menyediakan segala persediaan untuk maksu dan paksu berangkat menunaikan Ibadah Haji pada 15 Oktober ini. Dia orang yang paling tak sabar nak packing beg baju utk ayah ibunya!. Dan dia ada berniat, katanya, tahun depan dia nak pergi umrah dengan maksu!.

Semasa raya Aidilfitri yang lalu, Miyah hendak sangat beli barang rumah. Nak tukar sofa. Nak belikan perabot kayu jati yang berharga ribuan ringgit. Tetapi maksu melarangnya. Maksu suruh Miyah simpan untuk kegunaan sendiri. Tetapi arwah nak juga beli. Dia order satu set sofa – tetapi warna yang maksu berkenan tak ada stok pada hari raya, selepas raya baru ada. Tetap miyah beli juga meskipun sampainya selepas raya!..
(aku merasa duduk di sofa yang baru dibelinya).

Miyah juga sempat beli almari dan katil baru. Maksu mulanya tak bagi. Kata maksu, yang lama pun elok lagi. Miyah kata, katil lama tu boleh jual kepada orang yang datang tolak barang tu. Masa kami pergi melawat maksu, memang birai katil tu terletak elok dihujung pintu, menanti masa nak ’let go’ pada lori yang tolak barang tu!.

Segala buku-buku, barang-barangnya, habis dikemas dan disimpan ke dalam kotak. Katanya tak payah nak susah-susah berkemas ’nanti’. Dan memang!. Maksu tak perlu susun lagi barang2 lamanya kerana dia DAH SUSUN DAN SIMPAN SENDIRI!.


Cerita Nazirah:

Nazirah (adik bongsu @ satu-satunya adik perempuan Miyah) tidak dapat menahan sebak sepanjang bercerita kepada kami ’kelainan’ sikap kakaknya.

Kata Nazirah, Miyah kerap lesu dan letih. Pernah sekali miyah sebut sakit sangat dadanya, berat seakan ditindih. Nazirah meyuruhnya bangun untuk solat tetapi miyah kata nak rehat sekejap, sebab sangat tak larat. Miyah adalah seorang yang tidak pernah culas dalam solatnya. Di situ Nazirah menjadi tidak sedap hati. Dipaksa jugak kakaknya menggagahkan diri untuk solat!.

Pada satu hari minggu, Miyah beriya-iya hendak buatkan kek untuk Hakim (anak Nazirah), dipesannya Nazirah bawa pulang Oven (tetapi Nazirah terlupa bawa bersama Mixer). Najmiyah bangun seawal pagi untuk buatkan kek untuk Hakim. Tanpa mixer, dikacaunya adunan dengan tangan. Kanan berganti kiri sehingga selesai kek harilahir untuk Hakim. Bersungguh miyah ingin menghadiahkan KEK TERAKHIR hasil air tangan MAKNGAH Hakim!. Allahu.

Pada hari raya tempohari, beriya Miyah ajak Nazirah beli baju raya corak dan warna yang sama (seperti masa bujang2 dahulu). Dibeli 3 pasang baju yang sama tetapi kata Nazirah :"Macam mana cheq nak pakai, cheq mengandung 8 bulan ni, tak muat". Sudahnya baju bergantung kemas di dalam almari – menunggu sehingga Nazirah selamat melahirkan untuk dipakai bersama-sama.. tetapi.. ALANGKAH!!!.......!.


Cerita Paksu :

Menurut Paksu, Miyah sakit dah lama. Tetapi sakitnya sangat misteri. Pernah Miyah terlantar sebulan di hospital, tetapi tidak diketahui punca penyakit!. Ada juga pak su cuba pergi berubat secara tradisional, kata ustaz yang mengubatinya itu, Miyah 'TERKENA BUATAN ORANG' – ada orang yang berniat jahat untuk 'mengenakannya' sehingga menemui ajal! (nauzubillah)!.. Wallahu ’alam bisawab. Aku sendiri tidak tahu sejauhmana kebenaran kisah tersebut. Sekadar menyampaikan yang disampaikan oleh Pak Su.

Menurut Pak Su lagi, tiga orang menyatakan perkara yang sama. Dan mereka pernah berpakat untuk 'menghantarnya' semula, tetapi belum berbuat demikian.

Ketika ini ayah menyampuk cerita Pak Su. Kata ayah :- "Jangan dibalas apa-apapun, Miyah dahpun pergi dengan selamat, andai perginya dianiaya sedemikian, Alhamdulillah, moga segala dosa miyah dikendong dek orang yang menganiaya dia. Jangan kita yang hidup ni pulak yang menambah dosa kita dan jadi seburuk sikap mereka." Dan Pak Su akur dengan nasihat abang sulungnya itu.

Firman Allah:
"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (Al-Quran Surah Al-An’am 6 : Ayat 59).

Dan lagi, perkataan ayah yang membuatkan kami seisi rumah sebak dan menangis adalah apabila ayah kata kepada Pak su dan Mak su agar halalkan segalanya. Ampunkan salah silap arwah dan hiduplah dalam keadaan yang harmoni seperti yang arwah inginkan.

Paksu menangis sambil berkata :- "Tak.. tak.. takdak dosa dia dengan kami. Dia baik. Dia anak yang baik. Kalau adapun salah silap dia, kami dah ampunkan. Kami dah halalkan".

... dan tangisan bersahutan!.

Allahu Akhbar. Wahai Dzat yang Maha Agung.. Sungguh Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Untungnya Najmiyah – dihalalkan segala perihal dan diampunkan segala dosa oleh ibu dan ayahnya. Kita ni.. MAMPUKAH PEROLEHINYA?????..


Cerita di hari-hari terakhirnya.

Hari Rabu 28.09.2011
– Miyah mengadu sakit dada. Selepas muntah, dia terasa penat sangat. Miyah meminta untuk dihantar ke klinik. Oleh kerana miyah pernah ada rekod di GH Penang, maka terus doktor rujuk ke GH Penang. Melihat rekod lamanya, doktor kemudian menahan miyah ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut.

Hari Khamis 29.09.2011 – Tiba-tiba bacaan jantung miyah turun mendadak. Doktor memasukkannya ke dalam ICU. Petangnya masa mak pergi melawat miyah, nampak sangat keletihan di wajahnya. Menurut mak, Miyah tidak seceria selalu, tiada lagi senyuman seperti selalu. Miyah mengenakan oksigen utk pernafasannya. Dia sempat membuka corong oksigen dan bercakap pada ayah ‘Miyah penat” kemudian menutupnya kembali.

Pada tengah malamnya, reader jantung miyah dan lain-lainnya dalam keadaan yang tidak normal, doktor menelefon paksu dan menyuruh seluruh ahli keluarga datang untuk membaca YaaSiin.

Maksu memang sentiasa di hospital. Paksu dan Nazihah bergegas ke hospital. Najib juga. Cuma Nafis yg tidak sempat. Nazihah tidak putus memberi semangat kepada Miyah untuk “LAWAN” kesakitan itu. Sesekali bacaan jantungnya kembali normal, tetapi lain masanya jatuh naik tak menentu.

Sehingga pada pagi Hari Jumaat 30.09.2011 – Jam 9.00pagi, Doktor menyatakan Miyah KRITIKAL DAN SUDAH NAZAK!. Maksu memangku kepala Miyah di lengannya, sambil mengucapkan kalimah syahadah di telinga miyah. Manakala Paksu dan Nazihah tidak berhenti membaca surah Yaa Siin. Ketika itu bacaan jantungnya jatuh dan terus jatuh!. Maksu tidak putus2 mengalunkan kalimah tauhid ditelinga Miyah. Dada miyah berombak biasa, seakan tengah tidur. Sehingga jururawat memberitahu maksu bahawa "DIA DAH TAKDAK"!.

ALLAHU!. Jantungku pula berdegup laju di sini.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan." (Al-Quran Surah Al-Qamar 54 : Ayat 49)
Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor.

Bagiku, kematian Najmiyah sesuatu yang begitu bertuah untuk dirinya.

ANDAI!. Andainya benar seperti yang dikhabarkan – yakni Miyah meninggal kerana 'perbuatan orang' (wallahu ’alam), pastinya ini adalah rezeki yang sangat bernilai – darjatnya di angkat Allah ke tempat orang-orang yang salihin (ameen).

Ibu dan ayah serta adik beradiknya memberi restu, memberi maaf, mengampunkan segala dosa dan menghalalkan segala makan minumnya. Owh. Bertuahnya.. (mampukah kita mendapat keistimewaan sedemikian, bila kali terakhir mohon maaf dengan mak ayah adik beradik???.. selepas raya hari tu, ada tak terkecil hati atau termarah mak ayah adik beradik?)

Miyah belum berkahwin, justeru, tiada dosanya dengan suami, mertua, ipar duai dan sanak saudara sebelah suami.. jadi, tiada tercalit dosa padanya dalam hal ’perkahwinan’!. (kita ini?.. yang saban hari mengumpat mengeji mengata bercerita perihal mertua ipar duai, saudara mara-sahabat handai.... merajuk marah bergaduh menjerit pada suami.. telah mohon ampunkah???)

Subhanallah.. Beruntungnya kamu wahai adikku Najmiyah Mohd Nor..

.. dan lagi.. menurut kata Nazirah, ketika selesai dimandikan, wajah Najmiyah sangat lembut, bibirnya terbuka menampakkan gigi seakan sedang tersenyum!.. SUBHANALLAH!.. Benarkah begitu?.. Allahu...

Meninggal pada hari Jumaat, penghulu segala hari, di pangkuan Ibu tercinta yang mendengarkan kalimah agung 'syahadah' - LA ILLAHA ILLALLAH!.. disaat-saat terakhir hayatnya. Pemergian diiringi dengan alunan bacaan Yaa Siin oleh ayahanda dan adik-beradik tersayang.. telah diampunkan dosa oleh ibu dan ayah..

SIAPA YANG MAMPU MEMPEROLEHI KEMATIAN SEDEMIKIAN??..

Subhanallah. Maha Suci Allah yang mengaturkan kejadian.
Firman Allah:
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Quran Surah Al-Hadid 57 : Ayat 21).

Ya.. Pemergian Najmiyah Binti Mohd Nor telah pun termaktub sedemikian.

Kita yang masih tinggal ini, apakah persediaan kita ke arah syurga Allah?. Mampukah hayat kita berakhir dengan Husnul-Khatimah?. Di hujung nafas kita, mampukah mendengar serta melafaz kalimah tauhid "Laa Illaha Illallah" – yakni KUNCI SYURGA!.

Benar seperti komen cklah:
“Kematian seseorang, untuk yang hidup mengingati mati...”


Semoga kita beringat!.

SEMOGA AKU BERINGAT DAN MENGAMBIL PERINGATAN!.


Penutup bicara:

"Miyah.. semoga Allah Ya Rahman Ya Rahim, Ya Dzaljala lil Wal ikram meredhaimu dik, sebagaimana ibu ayahmu meredhai hidupmu dan meredhai pemergianmu. Ameen."

Innalillahi Wainnailaihi Raajiuun.
Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.


AL-FATIHAH!.




Ya Rabb, redhai kami semua. Ameen.




25 comments:

Tijah said...

alfatihah!










aku nangis...

tasekM said...

alfatihah.


.

ibuintan said...

Alfatihah.... Amin


syurga menantimu Miyah... insyaAllah

sindiketsulit said...

al fatihah.

menitik ayaq mata aku yg mahal ni. sampai bergoyang-goyang pandangan bila aku tengok pc aku nih..

sebak.

Kaktiny said...

Tijah > seminggu aku draft entry ni.. tak dpt nak habiskan.. sebak dan tangis bersulam..

hari ni baru aku kuat utk upload!.

Semoga arwah tenang di sana. Amiin.

Kaktiny said...

Tasek > semoga Allah meredhai dirinya.. dan diri kita jugak..

Kaktiny said...

IbuINtan > semoga Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang melindungi kita juga ya kak.. dan menerima kita dengan redhaNya.. ameen.

Kaktiny said...

wos > semoga pemergiannya memberi peringatan dan pengajaran kepada kita.. semoga dia dan kita ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman dan yang diredhai-Nya.. ameen.

aNIe said...

Al-Fatihah...semoga rohmu dicucuri rahmat Najmiyah binti Norma...dan ditempatkan bersama orang2 yang disayangi...

Menitis air mata membaca catatan mu Tiny...

Bertuah sungguh Najmiyah...pemergiannya diiringi doa ibu dan ayah serta mereka yang mengasihinya...

Takziah dari akak buat seluruh keluarga yang kehilangan dan Tiny...

Kaktiny said...

Kak Anie > menitik lagi airmata tiny kak!. Ingatkan dh cukup kuat.. huhuhuhuhu...

Semoga arwah tenang di sana.. dan semoga kita yang amsih hidup ini diizinkan Allah melafazkan kalimah tauhid La Illaha Illallah di hujung nyawa nanti.. ameen.

Tukang Padam Papan Putih Cute (T3PCute) said...

Takziah untuk keluarganya.. Semoga Allah rahmati dia.. Kita yang tinggal nie kena teruskan hidup dan ambil ikhtibar dari itu

Acik Erna said...

AlFatihah..sungguh terharu..seolah merasai sama kehilangannya.walaupun tidak mengenali.

Adliff said...

Al-fatihah!

Makbonda61 said...

Almarhumah sangat disayangi Allah.

Al Fatihah.

Masy said...

jauh beza pangai sy dgn budak ni. moga2 tetaplah dalam hati mak sy bahawa sy anak dia yg baik. wpon dah tentu2lah bkn yg terbaik.

alfatihah utk miyah *kesat airmata*

Kaktiny said...

TCC > ya.. kita yg hidup ni, sgt2 penting utk mengambil peringatan kan.. entah bagaimana kesudahan kita kelak!. Allahu.

Kaktiny said...

Kak Erna > Jazakillahu khair atas doa dan ingatan.. semoga ianya memberi peringatan yg baik kpd kita.. ameen.

Kaktiny said...

Aliff > Jazakillahu Khair adikku..

Kaktiny said...

Mak Bonda > Sungguh kan kak.. semoga Allah memeliharanya di sana.. dan memudahkannya urusannya hingga menjejak syurga Firdaus-Nya.. ameen.

Kaktiny said...

Masy > Ya.. ko tu seangkatan ngan kaktiny je rasanya kalau dari segi perangai dan suara..
Tapi.. percayalah walau sebagaimana garang pon ibu pd kita, si hati tetap mendoakan yg terbaik utk setiap anaknya..

Mcm mak kaktiny cakap pd kami adik-beradik.. setiap kali dia marah kami (walaupun dh beranak pinak ni tetap la kena marah jugak ko tau!!.. huhuhu), di hatinya sentiasa memaafkan dan sentiasa menghalalkan air susunya juga segala titik peluh dan penat lelahnya.. dan.. mak kaktiny ingatkan pd kami, dh jadi mak ni, bila marah ke anak, JANGAN SIMPAN DALAM HATI... JGN DENDAM!... terus maafkan dan mohon Allah sedarkan anak agar kembali ke jalan yg sebenar.. Subhanallah..

Itulah nilai kasih seorang IBU!.... (tgh kesat airmata jugak!)

ckLah @xiiinam said...

Al Fatihah....

Ummi_N said...

al-fatihah buat arwah... gadis ayu yang lemah lembut budi bahasanya...

Anonymous said...

Terima kasih k.tini dgn blog utk arwah adk saya..terima kasih juga kepada semua yg membaca dan mendoakn utk arwah..semoga arwah ditempatkan dgn org2 yg beriman..Ameen...Dr abg arwah(najib).

Anonymous said...

Al Fatihah buat arwah semoga firdaus maustatin yg haqiqi amin

Anonymous said...

Arwah ini bekerja di mana ya kak? Jabatan pendidikan negeri pulau pinang ka??

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.