Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Friday, November 01, 2013

Menjemput Ilmu!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Allahu Allah. 

Sedayanya saya cuba merealisasikan azam untuk menulis dengan sekerapnya di Blog ini, namun harapan itu masih sekadar angan-angan yang belum terlaksana impiannya!!!..

Saya berimpian blog ini ingin saya jadikan medan berkongsi Ilmu tentang:

Topik 1- PhD dan cabarannya;
Topik 2- Aplikasi Teknik Hadith Nabi Muhammad dalam kehidupan;
Topik 3- Cerita anak-anak dengan teknik HOTs;
Topik 4- Kisah inspirasi diri dan motivasi jiwa.
Topik 5- Bengkel, Seminar dan Kelas : Belajar dan Mengajar

Doakan saya berhasil merealisasikannya.

Kekangan masa membuatkan saya tidak dapat berlamaan di Blog.

Saya masih bekerja makan gaji. Isnin - Jumaat, 8.30am - 5.30pm adalah waktu saya di pejabat.

Hari minggu Sabtu dan Ahad kini saya peruntukan untuk BELAJAR @ MENGAJAR.


Saya akan menyertai kelas, bengkel, training, seminar atau apa juga acara yang saya boleh MENJEMPUT ILMU dan BELAJAR banyak perkara - tidak terhad kepada subjek ilmiah sahaja, segala jenis ilmu yang bermanfaat kepada saya dan dapat saya manfaatkan dengan kemampuan saya akan saya terokai sebaiknya (mohon Allah permudahkan dengan izin-Nya).

Andai waktu terluang tidak saya penuhi dengan belajar, maka saya akan cuba mengurus waktu untuk MENGAJAR. Setakat hari ini, saya cuba membuat aktiviti mengajar:

1- Bengkel Asas Penyediaan Thesis PhD (meskipun saya masih belum habis buat PhD, tetapi saya mahu memanfaatkan waktu dengan mengajar - saya berpegang kepada kata-kata, 'dengan mengajar, kita lebih jelas dan faham apa yang telah atau sedang kita pelajari').
2- Teknik HOTs - aktiviti pembelajaran santai bersama anak-anak dan anak-anak buah.


Allah takdirkan saya memikul amanah sebagai isteri, ibu, anak, pekerja, anak, menantu, adik-beradik, ipar-duai, sahabat-handai, saudara-mara, jiran tetangga, rakan sekerja, rakan-taulan, juga sebagai pelajar dan pengajar dalam komuniti masyarakat, sememangnya ia satu tanggungjawab yang tidak mudah.

Tetapi saya rasa, tidak juga payah kerana ramai yang berjaya mengurus-tadbir takdir mereka dengan baik. Justeru itu, saya berazam untuk meraikan amanah-amanah ini dengan sebaik-baiknya. Semata-mata kerana Allah. Demi meraih reda Allah (mohon Allah permudahkan semudah-mudahnya dan Allah izinkan memperolehi reda-Nya).

***************************

Sejujurnya, saya lebih kerap berkongsi Ilmu dan cerita di Facebook. Antara faktor utamanya kerana ia mudah dan cepat (handphone pintar sentiasa di tangan - maka, laju sahaja jari menaip dan upload maklumat dan isi cerita yang ingin dikongsikan). 

Banyak catatan harian saya catatkan di Facebook : KakTiny

Di blog agak sukar saya 'update' setiap hari kerana saya terbawa dengan sikap suka menulis panjang serta mencari bahan yang kukuh untuk saya paparkan dalam blog. Ini membuatkan 'pergerakan' saya di sini agak terbatas. Sementelah pula, saya memang suka berlama-lamaan di blog!. hihihi... Makanya, ada waktu, satu entri mengambil masa satu hari untuk disiapkan.. :-p

Kepada teman-teman blog yang lama dan yang baru, saya memohon jutaan maaf sekiranya terdapat apa jua kata-kata, tulisan atau perbuatan saya yang melukakan hati kalian. Kita mungkin berbeza pendapat dan pandangan dalam banyak perkara, tetapi saya yakin, kita berkongsi matlamat yang sama yakni meraih cinta dan reda Allah walau dengan apa cara sekalipun.

Ada kekhuatiran di hati saya, dewasa ini, terlalu banyak perkara yang tidak betul menjadi biasa, yang menjadi kebiasaan itu adalah perkara yang tidak betul.

Kepada yang hadir dengan membawa bersama ilmu yang dapat dikongsikan, jazakumullahu khairan khathira saya ucapkan kepada anda semua. Sungguh, saya suka dan bahagia anda meminjamkan mata dan masa berharga anda untuk membaca setiap bait nukilan saya. Terima kasih ya. :-)

Tegur saya sekiranya saya silap, 
Ajar saya andainya saya salah,
Perbetulkan saya kalau saya keterlaluan;
Sesungguhnya saya ingin benar berkongsi dan menjemput ilmu yang bermanfaat,
Agar diizinkan Allah untuk berkongsi syafaat,
dan dipermudahkan laluan, di alam akhirat.

Firman Allah:
"Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran. (Surah Ali-Imran 3 : Ayat 7).

"Wahai Allah yang Agung, redailah kami. Sesungguhnya kami meminta dan memohon rahmat dan kasih-Mu Ya Rabb. Wahai Tuhan yang Pengasih lagi Maha Penyayang, berikan kebaikan yang banyak kepada kami. Izinkan kami berkongsi ilmu-ilmu-Mu dan memanfaatkannya di jalan yang Kau redai. Izinkan kami menerima kitab hisab kami dengan tangan kanan, asbab kebaikan daripada perkongsian ilmu yang Kau redai. Pilih kami menjadi hamba-Mu yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. Pilihlah setiap dari kami ini Ya Rabb, meski banyak dosa kami pada-Mu, pilihlah kami untuk bangkit di akhirat nanti sebagai orang yang Kau redai. Kami mohon izin dan rahmat-Mu agar kami mendapat syafaat Baginda Rasullullahi Sallallahu Alaihi Wassalam dan melangkah laju menuju syurga firdaus-Mu. Ameen Ya Rabbul 'alamiin'.

#kaktiny
#inspirasikaktiny

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.