Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Wednesday, May 14, 2014

Mengalih Emosi

“Suka sangat tulis panjang-panjang. Meleret-leret. Straight to the point sudahlah”
“Panjang sangat komentarnya. Malas mahu baca.”
“Cuba make itu short and simple.”
“Rajinnya tulis panjang-panjang. Tak penat ke taip?”

*********************
Itu antara sebahagian komentar yang diterima bagi yang membaca entri aku samada di blog (oh, sekarang agak kurang menulis di sini) atau di Facebook (kebanyakan masa sudah beralih di sini).

Kenapa ya?

Kenapa aku suka tulis panjang-panjang?

Entah!

Yang aku tahu, aku suka menulis.
Ada keseronokan ketika bait huruf dicantum menjadi perkataan.

Lebih panjang, lebih seronok.

*********************
Mengalih emosi.


Menulis buat aku bahagia.
Dan bahagia itu aku nukilkan dalam bentuk tulisan.

Menulis adalah hobi, adalah kesukaan, adalah ruang dan peluang mengalih emosi.
Menulis adalah keterujaanku, kenikmatanku, kebahagiaanku.

Apabila lapang – aku menulis.
Apabila sibuk – aku menulis.
Apabila gembira – aku menulis.
Apabila sedih – aku menulis.
Apabila suka - aku menulis.
Apabila marah – aku menulis.
Apabila benci – aku menulis.
Apabila gusar – aku menulis.
Apabila keliru – aku menulis.
Apabila tertekan - aku menulis.
Apabila mengharap – aku menulis.
Apabila sunyi – aku menulis.
Apabila teringat – aku menulis.
Apabila rindu – aku menulis.
(Apabila tidur dan mati sahaja, pasti aku tidak menulis).

Apa sahaja emosi yang sedang aku lalui, aku senang membaitkannya dalam bentuk tulisan.

Menulis menjadi satu luahan yang melegakan hati aku.

Apabila segala rasa bercampur-baur, menulis buat aku rasa lega dan lega dan lega.

Pendek kata, menulis buat aku rasa PUAS! 

*********************

Bahagia dengan memberi.

”Jika begitu, tulis sahaja di buku nota sendiri. Mengapa perlu diwar-warkan?”

Andai soalan itu yang ditanya, jawapanku mudah.

Kerana, kita tidak pernah tahu hati siapa yang ikhlas meraikan emosi kita, melalui tulisan yang kita baitkan. 

Kerana, kita tidak pernah tahu, mungkin ada insan yang membaca, sedang mengirimkan doa untuk kita. Doa dalam diam, dengan mulus, dan doanya itu diaminkan para penduduk langit dan sampai kepada Allah, tanpa hijab. Doa untuk kebaikan dan kebahagiaan kita.

Aku yakin ada mata yang sedang ralit membaca tulisanku. 
Walaupun seorang, aku tahu dia ada di situ. 
Membaca setiap bait, dengan penuh semangat dan cinta. 
Dengan penuh faham akan segala rasa dan makna.  
Dia sudi merai emosiku.
Dia sedang mendoakanku.
Memohon Allah lindungi dan permudahkan segala urusanku.  
Aku yakin itu!

Bukankah hidup ini indah dengan memberi?
Aku memberi insan membaca tulisanku.
Dan ada insan yang sudi memberi doa kepadaku.
Dan memberi bahagia, dengan membaca tulisanku.

Bahagiakan, dapat memberi?

*********************

Azam dan semangat.

Apa juga bentuk penulisan yang aku tulis, yang baik itu adalah ilham dari Allah.
Yang jelek, yang beremosi, jiwa kacau, dan tidak patuh syariah itu, pastilah datang daripada nafsu hati aku yang ketika itu sedang berjalan di depan akal, mengatasi iman tatkala mengalunkan bait kata.

Aku tidak tahu apakah akan didatangkan hikmah atau musibah atas penulisanku ini.

Tapi, aku percaya, Allah berikan ilham menulis kepada aku bukan sia-sia dan tidak datang secara percuma. Pasti ada amanah yang dipertanggungjawabkan-Nya melalui ilham dan kemahiran ini. Allah tahu ini yang terbaik untuk aku.

Aku sentiasa berdoa supaya ada tulisanku, walau sebaris ayat yang mampu memberi manfaat kepada yang membaca.

Sungguh! Aku teringin mahu berkongsi syafaat di akhirat nanti bersama yang mendapat kebaikan daripada penulisanku.

Tulisanku ini mungkin tidak disukai oleh segelintir pihak, tetapi aku terus berdoa supaya Allah izinkan tulisan ini menjadi asbab kebaikan kepada insan-insan yang sudi memahami.

Hanya apabila aku mati, pasti tiada lagi tulisan yang akan aku coretkan.

Ketika itu nanti, pasti ada yang merindui tulisanku.
Pasti ada yang mencari semula apa yang telah aku nukilkan.
Pasti ada yang membaca setiap bait tulisanku dengan penuh emosi.
Pasti ada yang mahu membaca tulisanku lagi dan lagi dan lagi.

Sekiranya orang itu bukan dia, dia atau dia, pastinya mereka itu adalah – anak-anakku, kaum keluargaku dan keturunanku.

Untuk itu, aku akan terus menulis dan menulis.
Dengan apa juga cara, lenggok dan nada bahasaku.

Azam penulisanku adalah – sebagai jambatan meraih redha dan menuju SYURGA-Nya.

*********************

Menjadi Guru, menyebar ilmu.

Hadith Riwayat Muslim menyebut:-
Apabila seorang itu mati, putus segala amalan dunianya kecuali tiga perkara:
i- Sedekah jariah;
ii- Ilmu yang dimanfaatkan;
iii- Doa anak yang soleh.

Setelah berguru, maka aku juga ingin menjadi guru.
Guru yang menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

Apabila ada satu perkataanku yang mendapat tempat dihati seorang insan yang membaca, bukankah au sudah menjadi gurunya? Dan apabila dia menggunakan perkataan dan ayat itu dengan perkara kebaikan, mudah-mudahan Allah izinkan ia menjadi penghapus dosaku yang lalu dan yang akan datang serta menjadi syafaat untukku melalui jambatan syurga. Ameen.

Kata Prof. Kamil, setiap kita adalah guru, dalam kapasiti yang berbeza.

*********************

Membunga rindu.

Sejujurnya, setiap kali menulis, aku menjadi semakin rindukan Allah dan Rasulullah.

Kerana, apabila aku menulis, aku sering berdoa.
Aku mohon ada mana-mana tulisanku yang Allah angkat sebagai amalan kebaikan yang bermanfaat.
Yang Allah izinkan ia menjadi asbab membantuku dalam meniti perjalanan mencari Rasulullah, bagi mendapatkan syafaat Baginda.
Seterusnya, bersama Baginda, menuju syurga firdaus, yang abadi.  
Bersama-sama mereka yang tulus menyintai aku, kerana Illahi.
Ameen Ya Rabbul Alamiin.

DEMI IQRA’ DAN NUUN: AKU TERUS MENULIS.

DEMI ALLAH, DEMI RASUL, DEMI ISLAM DAN DEMI UMMAH.

AKU MAHU MENJADI PENULIS YANG DISAYANG TUHAN.

.

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.