Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Monday, September 18, 2017

PhD oh PhD: Part 28 ~ Kejayaan yang tertangguh (RE-VIVA).

BismillahirRahmaanirRahiim.

Rabu, 6 September 2017.
Tarikh sejarah, tarikh keramat.

Tarikh VIVA PhD seorang calon PhD bernama Tiny Azleen Binti Yahaya.

Tarikh yang diimpikan juga digeruni pelajar-pelajar PhD di seluruh Universiti di Malaysia ini.
.
Akhirnya, saya telah melalui tarikh itu.
Tarikh yang memang akan menjadi kenangan paling bersejarah dan terkesan lama.
.
Berhari-hari malah berminggu juga saya mengambil masa untuk bercerita tentang tarikh ini.
.
PENAT, LETIH, LESU.
Mungkin itu perkataan yang boleh menggambarkan rasa usai keluar daripada bilik VIVA.
.
KEPUTUSAN?
RE-VIVA.
.
Ya, saya akur, itulah keputusannya.
Namun, saya tahu, keputusan sebenarnya adalah RE-SUBMIT tetapi berkat kegigihan Penyelia saya, Dr. Kidin yang bertungkus-lumus membela, juga sifat kelembutan dan kasihan yang Allah Ya Latiff Ya Rahman Ya Rahim lemparkan ke dalam hati Chairman Viva, Prof. Azizan dan Dato' Hasni, serta doa-doa para penduduk bumi yang disebarkan dengan penuh tulus lagi penuh harap, dan mungkin ada penduduk langit juga yang kasihankan doa-doa para pengirim doa, maka keputusan keras pemeriksa-pemeriksa yang awalnya mahu memberi RE-SUBMIT, bertukar menjadi RE-VIVA. Alhamdulillah.
.
***
Rentetan peristiwa:

Seawal jam 8.00pagi saya sudah bersedia ke GSO UPM.
Sempat sarapan bersama Tuan Suami yang menemani sepanjang hari.
.

Jam 9.00pagi sudah bersiap sedia untuk dipanggil masuk ke bilik VIVA.



Dapat bilik Viva-3. Terpampang nama di depan pintu.


Terus cari bilik dan buat persiapan.

Alhamdulillah, sepanjang persediaan menanti waktu VIVA, tidak ada langsung rasa degupan jantung yang maha kencang. Tipulah kalau tak rasa bimbang, tapi Alhamdulillah, tidak ada rasa seperti mahu pitam atau gemuruh yang melampau.

Membaca doa daripada para pengirim doa dan ucapan segala ucapan daripada yang memberi komentar di ruangan Facebook benar-benar memberi ketenangan dan kelancaran pada hati dan lisan.

Pemerika-pemeriksa sampai dalam jam 9.45pagi.
Prof Azizan (Chairman VIVA) minta pastikan Penyelia hadir. 
Masa ini, ada rasa sedikit kebimbangan sebab Chairman VIVA beriya suruh pastikan penyelia hadir.

Menurut kata pemeriksa luar (sempat berbual dengan beliau sebelum pemeriksa-pemeriksa lain datang), kehadiran penyelia penting sekiranya keputusan tidak memuaskan (biasanya jika keputusan re-submit). 


Sementara menanti pemeriksa berbincang, duduk lepak di luar dengan Dr. Kidin (masa ni, sebenarnya Dr. Kidin dah tahu keputusan), tapi dia cuba berlagak cool supaya saya tak susah hati dan sedih.
.
Pada jam 10.00pagi, mula perbentangan. 
15 minit sahaja (mengikut skrip yang telah disediakan awal).
Alhamdulillah, lancar tanpa kebimbangan dan kekencangan jantung yang hebat.
Sangat tenang. 
.
Kemudian, sessi soal jawab.
ok. INI TERUK!
Memang kena bertalu-talu kiri kanan depan belakang.
Memang 'azab' jugaklah.

Yang sedihnya, isu-isu teknikal diambil kira sebanyaknya.

Contoh:
1- Soalan item sekian-sekian tidak mengukur maksud variable itu sendiri.
2- Formula pengiraan sampel saiz ini tidak habis, ada sambungan lagi cara pengiraannya.
3- Peratusan pengiraan sampel ni ambil daripada mana? Salah. Kiraannya sepatutnya sebegini.
4- Kenapa tajuk kaji organisasi yang tak aktif pakai media sosial tapi dapatan kajian melalui instrument kajian dapati pekerja aktif menggunakan media sosial?
5- Apa beza bab unit analisis dengan sampel kajian?
.
Tapi benar, saya belajar banyak perkara, bukan sahaja bab penulisan tesis, tapi juga sikap manusia. Watak setiap seorang pemeriksa, tutur kata dan cara fikir mereka, saya perhalusi dan ambil iktibar serta pengajaran daripadanya. 
.
Jam 12.15pm, baru selesai urusan soal-jawab.
Dekat 2 jam jugaklah.
Masa jam menunjukkan 12.15pm, baru saya terasa lama benar masa berlalu.
Saya mahu segera habis dan tidak daya lagi ditembak bertalu-talu.
Terasa bodoh yang amat buat PhD yang hanya untuk serah diri ditembak membabi buta tanpa keperluan yang hakiki! Itu perasaan saya pada detik jam 12.15pm, 6/9/2017!
.
Kemudian, pemeriksa suruh saya keluar.
Tinggal mereka bersama penyelia saya, Dr. Kidin.
'Lawan hujah' bersama penyelia mengambil masa sehingga jam 1.00pm (dekat satu jam jugaklah).



Saya menanti penuh sabar dan penuh debar.
Dalam hati sudah berkira-kira, dan sudah tinggi prasangka dan perasaan bahawa keputusan saya tidak seperti yang dibayangkan. Tidak seindah yang diimpikan. Saya cuba memujuk hati dan bersedia menerima berita buruk yang bakal keluar daripada 'bilik tersebut'.
.
Saya lihat Tuan Suami  yang menanti penuh setia di hujung sudut.
Ber'whatsaap' dengan Tuan Suami dari kejauhan yang sejengkal.
Menyatakan betapa kegusaran sedang memenuhi ruang fikir dan diri.
Sudah menduga kebarangkalian keputusan akan mengecewakan.
Tuan Suami masih positif dan menyuruh bersabar.


.



Kemudian penyelia keluar dan duduk bersama saya.
Saya tanya Dr. Kidin, terukkah keputusan saya?
.
Ayat Dr. Kidin yang saya ingat dan kenang sehingga hari ini adalah:

"Tiny, yang penting dapat PhD, kan?"
"Kalau kena collect data semula, boleh kan?"

Saya jawab;
"Dr., saya sudah buat semampu saya. Apa juga yang Allah takdirkan, saya belajar dan saya reda. Kalau itulah keputusannya, ya, saya setuju. And I do agree with you, yang penting, dapat PhD. No matter what."
.
Saya senyum dan sudah mula belajar menerima keputusan yang bakal saya dengar.

Kira-kira 15 minit kemudian, pada jam 1.15pm, pemeriksa selesai perbicangan akhir.
.

Kemudian saya dipanggil masuk. 

Chairman VIVA tanya satu soalan sebelum beri keputusan.
"Tiny, kamu kerja?"
"Ya Prof. Kerja."
"Lepas ini, boleh kamu ambil cuti seminggu dan berkampung di Fakulti untuk mula menulis?"
"Susah jugak Prof. Sebab saya kerja."
"Habis tu, bila masa kamu menulis?"
"Sabtu ahad atau di pejabat ketika Boss tak ada."
(Ketika ini sempat saya mengerling kepada salah seorang pemeriksa, tergambar anak matanya seperti sedang tertawa sinis kepada saya).
"Tak boleh. Tak boleh. Kamu kena ambil cuti seminggu untuk duduk berkampung dan menulis dengan betul!" (tegas Chairman VIVA bersungguh).
(Kali ini saya teringat pesanan Dr. Kidin dan pesanan penyelia-penyelia lain supaya jangan membantah keputusan pemeriksa).
"Baik Prof. Saya akan ambil cuti seminggu, duduk berkampung dan dapatkan nasihat penyelia dan perhap pemeriksa untukbantu tulis seperti yang sepatutnya."
"Baik." (Chairman VIVA mengangguk seperti puas hati).
.
Kemudiannya, Chairman VIVA tarik nafas dan sebut:
"Tahniah Puan Tiny Azleen Binti Yahaya. Kamu lulus VIVA dengan major correction DAN bersyarat. Kamu perlu buat rombakan semula dalam masa 60 hari seperti yang dalam laporan yang akan diberikan dan perlu RE-VIVA sekali lagi di hadapan kami, panel yang sama pada bila-bila masa yang kamu sudah bersedia."

"ALHAMDULILLAH. ALHAMDULILLAH. ALHAMDULILLAH.
Terima kasih Prof, terima kasih pemeriksa semua.
Terima kasih banyak-banyak.
Jazakumullahu  khairan khathira."

Itu sahaja yang termampu saya sebut dan lafazkan.
Saya sudah menerima keputusan untuk RE-SUBMIT.
Tetapi apabila dikatakan LULUS dan Re-VIVA, itu sudah memadai bagi mengurangkan kesedihan hati.
.
Sempat saya hadiahkan naskah Kerana Aku Hamba-Nya kepada kesemua jawatankuasa pemeriksa sebagai tanda cenderamata dan kenangan.
.

Sebelum berangkat pulang, ambil gambar kenangan dengan penyelia dan pemeriksa (lagi dua orang, sudah pulang! Hihihi). 




Meskipun LULUS dengan RE-VIVA, namun perasaan sedih itu tetap ada.
Rasa tidak seronok itu menerawang di sekitar minda dan jiwa.
Namun, saya kekal bertenang.
Pergi solat zohor dan makan tengahari bersama Tuan Suami yang setia.




Saya masih tenang ketika berbual-bual dengan Tuan suami sehinggalah menjelang waktu asar. Tuan suami tanya mahu pulang ke rumah atau ke Masjid? Saya pilih untuk berjemaah di Masjid.

Tuan Suami ke Masjid Hasanah, Bangi.
Sementara menanti azan, duduk sebentar dalam kereta.

Sebaik kalimah azan berkumandang menyebut "Allahu Akhbar, Allahu Akhbar"...
Empangan mata saya pecah dengan ari mata yang bertali arus turun dengan banyaknya dan sukar diberhentikan. Baru terasa sarat beratnya dada dengan keputusan yang diterima.

Tuan Suami tergamam namun diam tidak bersuara, memberi saya ruang untuk melepaskan apa yang terbuku di dada dan bairkan saya dalam momen berinteraksi dengan Tuhan secara maya.

Usai azan, saya melangkah masuk ke masjid.
Usai dirikan solat asar, saya berteleku dan bertafakur sebentar.
JEDA!
.
.
******
Malamnya, kepala terasa berat dan sarat.
Seperti baru tersedar lenguhnya kaki yang memanjat gunung salji.
Kebas, beku dan sakit.
.
Saya menangis lagi.
Tiba-tiba malam itu saya terasa sangat bodoh.

Saya katakan kepada suami, saya manusia yang paling bodoh. Saya seorang yang gila yang membuat kerja gila. PhD bukan langsung keperluan dalam kehidupan saya, tetapi saya memilih untuk memasuki dunia yang tidak ada keperluan untuk saya. Untuk apa? UNTUK SIA-SIAKAN USIA?!
.
Malam itu saya sepertinya hilang jati diri dan semangat.
Saya menyalahkan diri yang membazirkan masa, tenaga, duit ringgit serta peluang untuk melangkah jauh dalam dunia kerjaya hanya semata-mata mengejar sijil bodoh  yang bernama PhD!
Ya, malam itu saya benar-benar 'masuk' ke dalam 'zon kecewa'. Saya biarkan diri saya mengikut rasa hati yang bercelaru. Saya layan nafsu saya yang menyumpah seranah kebodohan diri memilih untuk buat PhD tanpa keperluan yang hakiki!

Saya terus-terusan memarahi diri sendiri yang sedang menyiksa perasaan saya ketika ini.

Saya salahkan keputusan gila membuat keputusan 'MENDAKI GUNUNG PhD' dengan hanya berbekalkan semangat dan azam jihad mencari ilmu kononnya, dan akhirnya yang saya dapat adalah emosi yang tercedera parah! Saya marah betul! Marah kepada diri sendiri.
.
Tuan suami cuba memujuk dari pelbagai dimensi dan cuma menaikkan semula nyalarasa terhadap kecintaan saya dalam mengejar ilmu.

Namun, malam itu, semuanya saya pandang sepi. 
Semuanya terasa gelap dan akhirnya saya terlelap dengan urutan kaki oleh Tuan Suami yang menemani sepanjang hari. 
.
.
Esoknya, saya bangun dengan satu azam baharu!
.
.
Saya semat kembali semanga dalam diri.
Allah Ya Baari lebih tahu perancangan yang lebih baik.
Alhamdulillah.
.
.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hambaNya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-


YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.