Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Sunday, February 25, 2018

Azam, kecintaan dan cita-cita baharu

BismillahirRahmaanirRahiim.


Masuk tahun 2018, umur sudah melepasi angka 40. 
Sudah mula berjalan ke angka 41.
.
Umur 40 adalah umur yang paling saya takuti. 

Umur ini adalah umur di mana Allah telah sebut dalam kalam sucinya, pada Al-Quran, Surah Al-Ahqaf (46) : Ayat 15.

Dan antara yang paling saya doakan untuk diri dan keluarga adalah, menjadi hamba-Nya yang menjaga solat seperti yang didoakan oleh Nabi Ibrahim seperti yang tercatat dalam Al-Quran, Surah Ibrahim (14) : Ayat 40. 


Saat ini, cita-cita dunia yang utama adalah mahu ubah, perbaiki, menambah baik dan jaga perilaku.
.
1- Mahu jaga solat. 
Solat di awal waktu. 
Solat penuh khusyuk dan menghayati setiap ayat dan makna dengan penuh tawaduk.
.
2- Mahu doa sepenuh tulus. 
Dengan seluruh asma' wal husna Allah dengan jitu dan teguh hati.
.
3- Mahu bersahabat dengan Al-Quran. 
Setiap hari 'berbual' bicara dan memahami makna. Hafal dan tadabur serta boleh mengajar dan menyampaikan. 
.

Azam yang sangat mahu berulang kali saya ingatkan kepada diri. 
.
 Bersahabat dengan Al-Quran.
- Baca Al-Quran;
- Faham Al-Quran;
- Hafal Al-Quran;
- Tadabbur Al-Quran;
- Mengajar Al-Quran.

Sementelah mendengar ustaz penceramah sering sebut, hadis yang sering dibacakan berkaitan keutamaan mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya, keutamaan membaca Al-Quran, dan kewajipan mencari ilmu, terasa sebak hati ini kerana tidak berusaha menjadi penghafal dan penyebar Al-Quran.


Subhanallah, seronoknya dapat menjadi pencinta Al-Quran dan bersahabat dengan Al-Quran.

(Sahabat dan kecintaan baharu)

Dan sungguh, saya cemburu pada hafazan Quran dan mereka yang Allah pilih untuk menjadi 'PEMELIHARA DAN PENYEBAR AL-QURAN'. Dan sungguh benar, aku mohon benar-benar, Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Baari dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, rencanakan saya menjadi salah seorang hamba-Nya yang menghafal Al-Quran, tidak kisahlah pada tangga berapa juga umur saya, mohon saya kembali kepada Allah kelak, dengan 114 surah menjadi peneman saya dalam alam barzakh dan di akhirat kelak.

Mohon Allah berkati dan rahmati niat dan usaha ini. 
Allahumma ameen Ya Mujib.

.
Hal dunia lain.

Apabila masuk tahun baharu, antara aktiviti yang saya kurangkan (atau mungkin senyap terus) adalah perkongsian penulisan di Facebook dan Instagram. 

Banyak perkara yang berlaku selepas kisah PhD oh Phd - VIVA dan RE-VIVA.
Perkara-perkara yang membuatkan saya muhasabah diri dengan sangat dalam dan panjang.

'Kemurungan' yang berlaku tanpa sedar membuatkan saya banyak berfikir dan mula kembali kepada nawaitu diri dalam mengejar pengajian PhD. 
.
Dan, apabila ditanya kenapa saya mendiam diri, inilah jawapan saya.  


Bukan mudah, untuk melalui hari-hari yang mendekati tarikh kematian (semakin usia bertambah, semakin hayat berkurangan, semakin dekat dengan kematian - itu pasti!)
Bukan mudah, melalui detik waktu setelah umur 40 itu dilangkahi.
Bukan mudah, untuk meningkatkan tahap iman, apabila hati ini sering berbolak balik dan nafsu ini selalu terburu-buru mahu mengambil tempat di hadapan aqal dan iman.
Bukan mudah, untuk meningkatkan tahap iman dan taqwa dengan menjauhkan rasa cemburu, riak, takabur, sombong yang berada pada garis kelabu tanpa sedar dan hanya senipis kulit bawang sahaja pemisahnya. 
Bukan mudah, mahu terus kekal, mengadu kepada Tuhan dan terus menghambakan diri sebagai hamba-Nya.

Allahu Rabbi.
Mohon Allah Ya Hafidz Ya Waaliy pelihara dan lindungi hati ini daripada hasad dengki fitnah manusia serta kerakusan nafsu sendiri. 

Saya mahu bentuk diri untuk tenang dalam melewati usia-usia yang masih berbaki ini supaya tidak terlalu terjebak dengan perkara laqa dan perkara yang membolak-balikkan keyakinan dan keimanan kepada Allah. 

Rindu, ya rindu. Pada sekalian teman dan kenalan, juga pada segala aktiviti yang pernah dilewati bersama lewat kisah dan cerita di media sosial, namun, biarlah, ia menjadi kenangan dan tinggalan pengajaran kepada diri. Mungkin selepas ini beraksi kembali atau mungkin cukuplah sekadar usia 40 itu menjadi status akhir. 

Dan di sini, tangan ini lincah menari kembali. Sesekali keluar mencatat, supaya ada cerita dan kenangan pada anak-anak dan mereka yang sudi mengingati diri ini. 

.
.
.
Allahummassolli Ala Muhammad
Wa'ala alihi wasohbihi wabarik wassallim.

.
.
Segala pujian kembali kepada Allah Ya Baari Ya Barr yang merencanakan yang baik-baik dalam hidup hambaNya ini. Alhamdulillah Allah Ya Syakur. 
.

Salam takzim
-Kaktiny-


No comments:

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.