Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Wednesday, September 17, 2014

Musafir: Ke Perth – Pre-Entry

Bismillah.

-----------------------------
.
Trip dalam atau Luar Negara memang menjadi antara acara wajib bagi Kelab Sukan dan Kebajikan AHB (KESKAH) - ofis aku ini.

Setiap tahun (sejak penubuhan Kelab), aku sentiasa ‘melarikan’ diri daripada menyertai aktiviti sebegini. ’Kebetulannya’, setiap tahun itu juga aku punya alasan tersendiri untuk TIDAK MENYERTAI aktiviti ’office trip’. Alasan aku adalah, 'mengandung – beranak – anak menyusu' – dan ketiga-tiga alasan ini sangat relevan kerana... memang pun, aku kerap beranak je!!! Huhuhu.

Tahun ini, aku tiada pilihan apabila rancangan trip diselenggarakan seawal tahun. Tiada alasan munasabah atau sarawak apatah lagi semenanjung yang membolehkan aku ’menidakkan’ untuk bersama trip kali ini. Tambahan pula, ke Perth, Australia!

Hati memang berbelah bahagi. 85% - TIDAK MAHU PERGI! 

Alasan utama aku adalah – ANAK-ANAK! 

Sungguh, sebagai seorang isteri serta Ibu yang Allah amanahkan empat orang cahaya mata, itulah alasan UTAMA aku! 

Sehingga tahun lepas, aku tidak pernah berpisah malam dengan anak-anak, sejak hari pertama mereka dilahirkan! Biarlah aku kerugian untuk tidak ke mana-mana trip tetapi untuk meninggalkan anak bersama suami, tanpa aku di sisi – AKU TIDAK SANGGUP! TIDAK SESEKALI!

Tapi, tahun ini, Allah takdirkan aku untuk berjauhan sedikit dengan anak-anak dan meletakkan tanggungjawab kepada Tuan Suami untuk menjaga amanah-amanah itu tanpa aku, seketika! (Oh, sebenarnya ini yang ke-dua untuk tahun ini. Pertama kalinya adalah ketika PERKAMPUNGAN PENULISAN NOVEL - tetapi itu, sekadar di Melaka... hehehe. Ketika itu juga, aku masih punya pembantu rumah!).

Allahu Allah! 

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sementelah pula, dua minggu sebelum aku berangkat ke Perth, Australia, pembantu rumahku tidak pulang ke rumah setelah diberi cuti bulanan selama 2 hari! (yang ini yang baru aku ambil - pembantu rumah yang lama sudah pulang sebaik habis permit!),

Aduhai! Bagaimana ini?

Untuk meninggalkan suami bersama anak-anak sendirian di rumah, adalah perkara yang mustahil!

Untuk membatalkan percutian KESKAH, perlu membayar jumlah tiket dan penginapan yang telah dibayar oleh Kelab. Aduhai! Aduhai!

Keputusan yang diambil adalah:
1-     Anak-anak tidak bersekolah selama aku tiada (10-14 / 9 / 2014);
2-     Suami dan anak-anak tinggal bersama keluarga kakak aku, ditemani mak dan ayah aku di rumah kakak aku di Bangi;
3-     Suami juga tidur di rumah kakak aku untuk membantu menjaga anak-anak sehingga aku pulang pada hari Ahad, 14/9/2014.

Kering darah apabila pembantu rumah aku tidak pulang ke rumah pada 1/9/2014!

Pengalaman paling ’ngeri dan menyedihkan’ adalah apabila pada pagi Selasa, 2/9/2014 – aku terpaksa ’memontengkan’ persekolahan anak sulung (9 tahun) dan kedua (7 tahun) untuk menjaga adik-adiknya (anak ke-tiga, 2 tahun dan ke-empat, 1 tahun) – dan meninggalkan mereka berempat di rumah, SENDIRIAN! – sementara menanti suami pulang daripada menghantar aku ke pejabat! (kenapa perkara itu terjadi, biarlah kami suami isteri sahaja yang tahu – BENAR, pelabagai ’cara’ boleh dikatakan oleh orang untuk kami lakukan, tetapi, permasalahan KETIKA itu, hanya kami berdua, suami isteri ini yang sedia maklum!!!)

BERHENTI pada kisah pembantu rumah yang lari – InsyaAllah, ada hikmahnya yang kami tidak nampak hari ini. Aku mahu terus bersangka baik dengan takdir Allah.

Malam 9/9/2014 – Pada jam 8.00 malam, Tuan Suami menghantar aku ke KLIA2. 

Langkah yang sangat berat mengenangkan amanah-amanah kecil yang terpaksa aku tinggalkan itu. 


Sungguh! Aku serahkan mereka sepenuhnya pada jagaan dan peliharaan Allah, sebagaimana selalu dan setiap hari, aku menyerahkan diriku dan ahli keluargaku dalam genggaman dan takdir Yang Maha Berkuasa.

Sekuat daya, seteguh hati, aku melangkah dengan langkah seorang musafir. Yang mahu mengintai dan meneroka sebahagian lain ciptaan Tuhan yang Agung – menjejaki tanah di bumi asing yang tidak pernah aku jejak selama hayatku.

Tidak putus aku berdoa, permusafiranku ini memberi hikmah yang banyak. Ku mohon taufik dan hidayah-Nya, kepada si kerdil hina yang banyak dosa ini, untuk menikmati keagungan ciptaan-Nya di alam fana yang sementara ini. 

Dengan lafaz Bismillah dan Tawakaltu’Allallah, aku melangkah!


Perth, Australia – tanahmu ku jejak!

.

2 comments:

Masy said...

wooooooo

Kaktiny said...

Masy - weeeeeeeeheeeeee....
:-)

YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.