Dengan Nama Allah..



Aku menulis untuk meluahkan rasa hati, menyampaikan pengetahuan, pengalaman dan pengajaran untuk dikongsi. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan. Aku menulis untuk mengasah ilmu ’aqli, memantapkan emosi, dan sebagai santapan rohani. Aku menulis berdasarkan ruang lingkup minda yang menaksir, akal yang berfikir dan jemari yang pantas menaip. Penulisanku adalah harapan kepada diri untuk menyalur INSPIRASI. Permulaan, pertengahan dan pengakhiranku adalah doa, untuk mendapat redha Illahi bagi meraih syurga firdaus yang abadi.


"Ya Allah, redhai aku kami, hamba-hambaMu".

Friday, December 30, 2011

Lembaran Kosong!.

Assalamualaikum semua yang membaca.. Moga rahmat dan redha Allah bersama kita semua.


Esok 31.12.2011 ~ penutup tahun 2011 Masihi.
Lusa 1.1.2012 ~ pembuka tahun baru 2012 Masihi.

Sekejap sungguh masa berlalu!.

Apabila tiba penutup tahun masihi... bermakna permulaan kepada Ulangtahun Kelahiran di umur baru!. Pasti juga ucap Selamat Ulangtahun Kelahiran akan diucap!.

Namun, ucapan daripada dua makhluk Allah ini yang sangat menggusarkan hati!.

Ucapan 1:
"Selamat Pertambahan Umur dan selamat Pengurangan Hayat!. Sudah-sudahlah tidur di tilam yang empuk itu!. Cukup2lah laqa depan tv yang menyajikan hiburan yang melalaikan!. Solatlah setepat waktu!. Bangun malam untuk Qiyamullail!. Terangi aku ini dengan alunan ayat suci Al-Quran dan zikrullah serta cahayai dengan bacaan hadis Rasulullah!. KERANA.... Tak berapa hari ja lagi kau di sini, untuk menghuni di dalam aku!! Semakin dekat masa untuk meninggalkan aku!!".. ~ Ucap SELAMAT daripada RUMAH!.

Ucapan 2:
“Sanah Helwah Ya Ukhti. Ahlan Wa Sahlan!. Sudah cukupkah amal ibadahmu?. Solatmu?. Auratmu?. Hubungan persaudaraanmu ada yang terputuskah?. Hutang-piutangmu sudah dijelaskankah?. Sedekah jariahmu? Ilmu dan amalanmu, sudah penuhkah lembaran yang akan kau bawa nanti?.. KERANA.... Tak berapa hari lagi kau akan menghuni di dalamku!. Semakin dekat masa untuk kau menghampiriku!! Jangan datang dengan LEMBARAN KOSONG – kerana siksaan ini tidak akan mampu kau tanggung!!”.. Ucap SELAMAT daripada KUBUR!.

Astaghfirullahal ’azhiim.

LEMBARAN KOSONG!. AKU TERKESIMA!!.

Aku teringat sepulangnya abang dari Kuliah Subuh minggu lalu, terus disampaikan apa yang didengarinya dari Ustaz Penceramah (Jazakallahu khair kepada abang dan kepada Ustaz Penceramah, moga penyampaian kalian mendapat rahmat dan redha Allah dan akan menjadi syafaat di akhirat kelak… ameen).

Abang menyampaikan perihal LEMBARAN KOSONG!.

Mendengar penuh khusyuk apa yang abang sampaikan akhirnya membuatkan aku sebak dan menangis!. TAKUT!!..

Takut lembaranku yang selama hari ini aku ingat sudah terisi dengan ibadah wajib rupanya hanya sia-sia dan kosong apabila dihadap di hadapan Allah kelak!!..

Kenapa begitu?.. Mengapa begitu?.

SOLAT!. Ya! Jawapannya ada pada solat!.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:"Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya. Sekiranya baik solatnya maka dia telah berjaya. Sekiranya rosak solatnya maka kecewa dan rugilah dia. Sekiranya ada kekurangan pada solat fardunya maka Allah s.w.t akan berkata: "Lihatlah adakah hambaku mempunyai solat sunat? Maka jika ada; ia akan menampung kekurangan fardunya. Begitulah cara hisab bagi seluruh amalannya yang lain. (Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

Solat adalah merupakan amalan pertama yang akan dihitung Allah diakhirat kelak.
Bagi yang lembaran solatnya penuh, maka akan dibariskan di satu bahagian, manakala yang tidak penuh atau yang kosong diasak ke sudut yang lain!.

Tapi, alangkah terkejutnya kita kelak jika lembaran yang selama ini kita sangka PENUH (kerana begitu YAKIN tidak pernah meninggalkan solat kecuali uzur syarie), rupanya TETAP KOSONG??!..

Kenapa begitu?.. Mengapa begitu?.

Kerana... kita solat bukan kerana ibadah.. tetapi kerana nafsu!.

SOLAT?.. Tetapi kerana nafsu??.. ada ke macam tu?..

YA!. ADA!.

Kita solat kerana kita YAKIN bahawa sebagai umat Islam, SOLAT ITU WAJIB – kerana ia adalah PERINTAH ALLAH SUBHANAHU WATAALA!. Itu adalah IBADAH!. Barangsiapa yang melaksanakannya dengan nawaitu LILLAHI TA’ALA, maka lembarannya akan tercatat ganjaran mata penuh untuk solat!.

TETAPI!. AWAS!. Kita sering tertipu dengan nafsu!.

Kita solat!. Ya.. tetapi mengikut NAFSU!.

Bagaimana solat mengikut nafsu?.

Ia adalah jika KITA GAGAL SOLAT DI AWAL WAKTU – TANPA UZUR SYARIE (uzur yang dibenarkan!.. di dalam mesyuarat, menyertai acara, menghadiri jemputan, kenduri kahwin, majlis bertandang, majlis anugerah, dll ~ TIDAK TERMASUK DI DALAM UZUR SYARIE – ia termasuk di dalam "NAFSU"!)

KITA SOLAT HANYA KERANA KITA 'PERASAN' KITA KENA SOLAT!.
PERASAAN 'PERASAN' ITU ADALAH NAFSU!.

Contohnya:-

Kita pulang dari rehat pada jam 1.00 petang dan terpaksa menghadiri mesyuarat pada jam 2.00petang. Masa satu jam itu diperuntukkan untuk check email, check slide presentation, check kertas kerja untuk perbentangan dan sebagainya. Setibanya jam 2.00 petang kita belum menunaikan solat zohor dan telahpun dipanggil masuk ke bilik mesyuarat. Mesyuarat berlangsung. Pada jam 4.10petang kita tergopoh-gapah keluar dari bilik mesyuarat untuk solat zohor dan masuk semula ke bilik mesyuarat pada jam 4.20petang. Mesyuarat usai jam 5.30petang dan kita solat asar pada jam 6.00petang.

Meskipun kita dilihat ~ TELAH BERSOLAT ~ tetapi sayangnya LEMBARAN SOLAT UNTUK WAKTU ZOHOR DAN ASAR KITA KOSONG!. Kerana kita tidak solat di awal waktu – tanpa uzur syarie.

ADUHHH!!! (masa ni rasa nak menitis air mata!.. kerap benar ’perangai’ itu yang dibuat!.. Astaghfirullahal ’azhiim... Astaghfirullahal ’azhiim... Astaghfirullahal ’azhiim... Moga Allah mengampuni kekhilafan aku dan kita semua.. Ameen).

ALASAN! ALASAN! ALASAN!..

Berilah berapa jua banyak alasan yang kita mahu!. Berikanlah.. YAKINKANLAH HATI SENDIRI!. SEDAPKANLAH NAFSU SENDIRI!. Nyatakanlah hukum logik beserta dalil-dalil, bukti-bukti kukuh bahawa SOLAT KITA LAYAK DITERIMA..

Jangan lupa:- PENILAI SEBENAR BUKANLAH DIRI KITA.. ALLAH YANG MAHA MENILAI.. tidak perlu beri alasan kepada sesiapa jua kerana tiada siapa yang mampu mempertikaikan alasan kita.. sebaliknya amalan kita kelak bakal dinilai Allah dan tatkala itu, TIADA DAKWA-DAKWI LAGI!.

Justeru, aku sangat bimbang akan diriku!. Bimbang membawa "pulang" lembaran kosong!.

Aku mengingati diriku sendiri.. juga kalian wahai kaum keluargaku.. juga kepada sahabat handaiku, jiran tetanggaku, rakau taulanku, orang sekelilingku dan seluruh umat Islam..
AYUH, JAGA SOLAT!. SOLAT DI AWAL WAKTU!. JAGA AMALAN WAJIB YANG LAINNYA!!. BERSAMA KITA DALAM AMAL MAARUF NAHI MUNGKAR!. Kelak kita akan kembali ke “sana”.. tempat yang dibahagikan kita kepada beberapa puak.. Puak Muqarrabin, Puak Kanan dan Puak Kiri.. mana satu pilihan amal kita?.

Firman Allah:
“... Kesudahannya: jika ia (yang mati itu) dari orang-orang ”Muqarrabiin”, Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. Dan jika ia dari puak kanan, Maka (akan dikatakan kepadanya):” Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan”. Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat, maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, serta bakaran api neraka. Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini. Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar” (A-Quran Surah Al-Waqiah 56 : Ayat 88-96).


Mahukah pulang dengan LEMBARAN KOSONG? Mahukah menjadi anggota puak kiri?. Nauzubillahi mindzaalik!.

“Ya Rabb!. Ya Hayyu, Ya Qoyyum. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah setiap urusanku. Jangan Kau serahkan aku kepada diriku walau sekelip mata!. Ya Allah.. perhatikan aku.. pimpin dan bimbinglah aku.. Tetapkan iman dan takwaku. Sempurnakan amal dan ibadahku. Jangan Kau bolak-balikkan hatiku setelah Kau luruskannya. Jika kotor hatiku, Kau gantikanlah ia dengan hati yang baru, yang bersih, yang Kau redhai. Bantu aku untuk menjaganya agar kuperolehi redha-Mu!. Ameen.”

Aku yang mengingatkan ini tidak setangga lebih baik dari kalian!. Aku yang menulis ini tidak terlepas dari khilaf dan dosa yang sama!. Aku yang menyampaikan ini masih jahil, masih hina, masih tetap digoda iblis laknatullah dan masih juga menurut nafsu yang berleluasa!.

Justeru, Ingatkan aku jika kalian lihat aku yang terleka, terlupa dan lalai. Tolong!.

“Ya Allah.. pilihlah kami dan izinkan kami berada di puak kanan itu!. Ameen.. ameen.. Ya Rabbul ‘alaamin”.

Ya Rabb.. redhai kami. Ameen.



Thursday, November 10, 2011

Kerana saya sayang semuanya..


Sepagi bersama Dr. Rose @ Klinik Mediviron!.. hihihihi.


Doctor : I’ll give you 2 days MC. U need a true rest!.

Aku : Alaaa Doctor, tak boleh la lama2, kesian Boss saya. Banyak pending work nanti.

Doctor : Ke, U nak 2 weeks warded?. "Bed Rest" at Hospital?

Aku : Errrkkk… tak nak la camtu doctor.

Doctor : U ni workaholic sangat la!.

Aku : Tak lah doctor. Bukannya workaholic pun. Saya bukannya banyak kerja sangat kat ofis tu. Cumanya bila time Boss saya ada, saya tak gamak untuk tak pergi kerja!. Boss saya jarang masuk ofis, boleh kira dengan jari berapa kali dia ada. Sebab tu setiap kali dia datang ofis, saya tak gamak untuk cuti atau MC kecuali kalau betul2 emergency!!.

Doctor : Ni kira emergency la ni.

Aku : Takla ‘parah’ sangat kan doctor?!. Still under control right?!.. hihihi.. Kesian la kat Boss saya kalau saya tak de. Kesian jugak kat kawan-kawan ofis nak pick up call and take message utk saya.

Doctor : U banyak sangat kesian kat orang sampai lupa kesian kat diri sendiri!.

Aku : Aaaaaaaa?????!!!!...

....................................................................................................................................

Pagi-pagi dan dapat satu 'das' daripada doktor!. huhuhu..

Takdelah macam tu doktor, saya sayang juga diri saya kerana ‘inilah’ anugerah terbesar Allah kepada saya – yakni DIRI SAYA SENDIRI!. Allah begitu Pengasih dan Penyayang telah memberi nikmat kehidupan yang sangat baik kepada DIRI saya. Mana mungkin saya mensia-siakan anugerah yang Allah berikan ini.

Firman Allah:
“Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani; Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah". (Surah As-Sajadah 32 : Ayat 6-7).


Sebenarnya.. Aku sayang semuanya..

Aku sayang keluarga aku sebab tu aku tak pilih kerjaya yang memerlukan waktu dan tekanan yang banyak. Mereka ini amanah Allah kepadaku.

Aku nak luang masa lebih dgn suami, anak2, mak ayah adik beradik, mertua ipar duai, sanak saudara.. Kekeluargaan ini adalah amanah Allah kepadaku.

Aku juga sayang kerjaya aku sebab inilah kerjaya yang Allah anugerahkan kepadaku setelah ‘ujian demi ujian’ pada kerjaya dahulu. Aku sayang Boss aku sebab bagi aku Boss ciptaan Allah seperti Boss aku hanya wujud 1 dalam 250,000 Boss di muka bumi ini.. (hahahaha)... Beliau sangat baik dan sangat prihatin. Mungkin Boss orang lain pun baik, tapi selama aku pernah ada BOSS, inilah Boss terbaik yang aku ada!!. Kerjaya ini adalah amanah Allah kepadaku.

Aku sayang kelas pengajian aku sebab dengannya aku sangat ‘enjoy’ menikmati kalam-kalam ilmu. Makin banyak yang aku pelajari, makin terasa kerdil diri ini. Dan semakin aku ingin mengkaji dan mengaji dengan lebih banyak. Ilmu-ilmu ini adalah amanah Allah kepadaku.

Aku sayang persekitaran yang Allah berikan kepadaku, sahabat handai rakan taulan serta kehidupan yang serba sederhana. Sangat indah. Ada pasang surut, ada mentari ada hujan ada pelangi.. Serba menarik. Ianya juga adalah amanah Allah kepadaku.

Aku sayangkan umur, ilmu, kesihatan, juga setiap inci kehidupan yang Allah aturkan kepadaku. Ini semua adalah amanah Allah kepadaku.

Firman Allah:
"Dia lah yang telah menciptakan manusia; Dia lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?". (Surah Ar-Rahman 55 : Ayat 3-4, dan 13)


Aku sangat bersyukur dengan setiap yang Allah hadirkan dalam hidupku. Sangat-sangat bersyukur. Meski ada ketikanya aku di uji dengan ribut taufan banjir bah, tetapi benar seperti kata falsafah:

"We enjoy warmth because we have been cold...
We appreciate light because we have been in darkness...
By the same token, we love sweetness because we experienced bitterness"

Benar. Setiap ujian derita musibah itu adalah anugerah yang amat bernilai apabila berjaya membawa diri keluar dari alam ngeri itu! Ia kemudiannya bertukar menjadi satu pengalaman dan pengajaran yang sangat bermakna!... dan BAHAGIA.. apabila merasakan bahawa Allah memerhati dan bersama kita dengan setiap anugerah musibah dan anugerah nikmat itu!. Subhanallah...

................................................

Jadi.. untuk Doktor Rose ku sayang.. (hihihihihi)

Saya sayang keluarga saya, saya sayang kerjaya saya, saya sayang ilmu pengajian saya, saya sayang persekitaran saya... untuk semua itu, pastinya SAYA SAYANG DIRI SAYA.. kerana.. yang paling utama, yang teratas dari itu semua, ------> "SAYA SANGAT SAYANGKAN ALLAH.." Yang menjadikan saya dari tiada kepada ada.. dari kosong pengalaman kepada banyak pengajaran, dari berseorangan kepada ramai mengelilingi, dari jahil ilmu dapat mempelajari iman dan takwa.. dari tiada jiwa kepada sempurna roh dan anggota.. semua anugerah Allah itu sangat saya syukuri, hargai, dan sayangi.

KERANA SEMUA ITU ADALAH NIKMAT ANUGERAH ALLAH YANG PALING BERNILAI DALAM KEHIDUPAN SAYA!.

.. Maka itu, saya ingin menjaga dan mentadbir amanah-amanah Allah itu semua.. sebaik mungkin... meskipun adakalanya seperti melebihkan satu perkara dari perkara lainnya.. tapi untuk satu tempoh yang lain, perkara lain pula yang menjadi keutamaan berbanding perkara tadi....

Firman Allah:
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): 'Segala puji tertentu bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak terhitung), Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas nyata)'; dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah An-Naml 27 : Ayat 93).


Saya sayangkan semuanya.. semua ini adalah AMANAH Allah kepada saya... (moga untuk amanah-amanah ini, saya dapat menjawabnya dengan baik apabila di soal di akhirat kelak!!.... kerana banyak lagi jawapan lain yang tidak bisa saya jawab dengan sempurna.. banyak khilaf saya berbanding kebaikan.. banyak kejahilan berbanding ilmu.. banyak picang berbanding amal.... banyak yang terabai dari yang terkawal!!!.... ngeri memikirkannya!! Allahu)


Ya Rabb. Ampuni hamba-hambaMu.. Redhai kami semua. Ameen.












.

Friday, November 04, 2011

Zulhijjah dan Aidil Adha

Esok, 9 Zulhijjah..

Ayuh semua, yang tidak berkesempatan menjejakkan kaki di Tanah Haram - Tanah Suci Kita Mekah, AYUH KITA BERPUASA..... satu hari yang penuh barakah hendaknya..

Mohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa lalu kita dan dosa-dosa yang akan datang.. Dan.. puasa itu semata-mata untuk mencari dan meraih redha Allah..

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Tiada dari hari dalam setahun aku berpuasa lebih aku gemari daripada hari Arafah. (Hadis isnad sohih oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)


Kemudian.. tanggal 10 Zulhijjah.. kita bersama menyambut Hari Raya Aidil Adha.

Bagi yang berkorban, Alhamdulillah.. bagi yang tiada rezeki berkorban tahun ini, tanamkan azam untuk berkorban di tahun-tahun akan datang..

Begitu juga bagi yang tiada rezeki ke Kota Mekah untuk menunaikan Ibadah Haji pada tahun ini, moga-moga Allah jemput di tahun hadapan atau tahun-tahun ke hadapan.. Ameen.




SALAM AIDILADHA!..




Monday, October 24, 2011

Peringatan dari pemergian!.


Firman Allah:
Tiap-tiap umat memiliki ajal (batas waktu); maka apabila telah datang waktunya, mereka tidak akan dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak dapat pula didahulukannya. (Al-Quran Surah Al-A’raaf 7 : Ayat 34)


Berlaku lagi satu kematian di dalam kelompok kekeluargaan aku.
PAK ADAM ~ Bapa kepada abang ipar aku @ bapa mertua kakakku.

Ahad, 23 Oktober 2011 ~ Jam 5.32 pagi, aku menerima panggilan telefon daripada kakakku – disusuli pula panggilan daripada Ibu. Menyampaikan berita bahawa Pak Adam telah meninggal dunia. Innalillahi Wainnailaihi Raji’un.

Usai solat subuh, terus aku dan cik abang bergegas ke rumah Mertua Kakak ~ yang tidak jauh dari kawasan rumahku.

Aku sampai seawal jam 6.30pagi. Rumah mertua kakak penuh dengan anak menantu cucu cicit Pak Adam. Selepas menghadiahkan bacaan Yaasin, mataku agak liar memerhati gelagat sekeliling. Dihati terbit kata-kata:

“Untungnya Pak Adam mempunyai anak menantu cucu cicit yang ramai”.

Ini kerana, belumpun penuh dengan jiran tetangga sanak saudara, rumahnya telah terlebih dahulu dilimpahi dengan anak-anak menantu-menantu cucu-cucu cicit-cicit yang ramai.

9 orang anak (hasil perkongsian hidup dengan Mak Melah - satu-satunya isteri yang dikahwini berpuluh tahun yang lalu) – 5 lelaki, 4 perempuan anak-anaknya dengan 5 menantu perempuan dan 3 menantu lelaki bersambut pula dengan cucu-cucu yang sudah besar panjang serta cucu menantu yang sangat prihatin, mereka semua lincah melaksanakan segala persiapan – TANPA ARAHAN ATAU PAKSAAN – masing2 seakan tahu tugasan masing-masing.. tahu apa yang perlu dilakukan!.

Masa aku sampai, jenazah telahpun kemas diletakkan di atas tilam di ruang tamu.

Yang anak menantu serta cucu2 lelaki sibuk memacak khemah, mengambil cadar untuk dibuat penghadang, menyediakan kawasan untuk mandikan jenazah, menyusun kerusi di laman…
Yang anak menantu serta cucu2 perempuan pula sibuk menyediakan bekas air, kain itu ini, potong daun pandan, sedia peralatan untuk memandikan jenazah….
Pengesahan doktor juga sangat cepat (kerana salah seorang daripada anak perempuan Pak Adam adalah Doktor!!).
Pengesahan polis juga sangat mudah..
Orang masjid, orang yang hendak mandikan jenazah, van jenazah.. semua SIAP!.

"Itu untungnya anak ramai kan!!".. (di sini hatiku berbicara lagi.. sambil mengkagumi anugerah Allah kepada keluarga Pak Adam + Mak Melah).

Dalam anak menantu cucu sibuk tugasan di dapur dan di luar rumah.. yang mengelilingi arwah Pak Adam juga tidak kurang ramainya.. bacaan Yaasin tidak putus dari seorang ke seorang.. Subhanallah.

SANGAT CEKAP!!!.

Jam 8.30am – aku mengambil anak-anak kakak yang kecil (Nur Dini, Qistina dan Aleesha) dari rumah Pak Adam untuk dibawa ke rumahku (kakak sibuk menguruskan peralatan mandi untuk jenazah, maka aku ringankan sikit bebanan kakak dengan membawa anak-anak kecilnya pulang ke rumahku – agar kakak tidak perlu bimbang masa mandi dan makan mereka – itu sahaja yang terdaya aku lakukan untuk memberi bantuan semampuku..)

Kira-kira Jam 9.30pagi – siap Pak Adam dimandikan dan disolatkan. (Solat jenazah dilakukan sebanyak 2 kali kerana terlalu ramai yang ingin menyembahyangkan jenazah – penuh ruang tamu rumah Pak Adam dengan jemaah lelaki).

Kira-kira Jam 10.00pagi – dibawa ke tanah perkuburan.. (telah siap lubang kubur digali dan mudahnya jenazah di usung ke tanah perkuburan).

Kira-kira Jam 11.15pagi – siap segala talkin doa dibacakan.

Sungguh cepat urusan pengebumian Pak Adam. LANCAR!.

Cuaca juga sangat baik, tidak terlalu panas, tidak mendung dan tidak juga hujan. Subhanallah – Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Melancarkan urusan hamba-hambaNya.

Kawasan perkuburan Islam Jalan Cheras dikerumuni dengan ramaaaaaiii orang.. penuh anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu, cucu-cucu menantu, sanak saudara jiran tetangga serta sahabat dan kenalan yang menghantar serta mengaminkan doa untuk jenazah Pak Adam.

Tiba di rumah pula sekitar jam 12.00tengahari:
Sudah siap tersedia makan tengahari untuk sekalian yang hadir. Bungkusan Nasi Ayam tersedia – malah ada pula Nasi Putih yang masih panas serta lauk Asam Pedas ikan kembung, sayur kobis goreng, ikan masin, ulam-ulam dan sambal belacan sedia kemas terhidang di bawah khemah di depan laman. Ada juga tersedia 2 periuk mee goreng sebagai pilihan!. Tidak putus air demi air, berkotak mineral water, teh o panas dan air oren serta sirap ais, pinggan dan cawan berganti tanpa menyusahkan tetamu melilau mencari meminta. Tuan Rumah menjamu makan tengahari. Allahu Akhbar (sempat juga mereka menyediakannya!! sedangkan ia tidak menjadi kewajipan kepada mereka!!!...).


AKU TERHARU DENGAN SUASANA ITU!. SUNGGUH!.

Ketika dalam perjalanan pulang dari Tanah Perkuburan, aku dan cik abang bersoal sesama sendiri.
~ Jika kita mati nanti, di manakah kita hendak ditanamkan? Bawa balik kampungkah? Tanam di tanah perkuburan kawasan rumah kitakah?
~ Jika berlaku kematian dalam keluarga kita, siapa yang kita hendak hubungi?. Ada simpan tak nombor telefon doktor, polis, van jenazah, imam dan sebagainya?
~ Khairat kematian sudah dijelaskan belum?. Tahukah siapa pihak yang boleh membantu untuk menguruskan jenazah?.
~ Jika Emak dan ayah dikampung (kulim) ~ InsyaAllah, aku tahu siapa yang perlu dihubungi kerana ayah ada senarai semuanya.
~ Teringat pula mertua di kampung (muar), yang baru pindah di kejiranan baru, kenalkah kita siapayang harus dihubungi jika berlaku kematian kepada salah seorangnya?

Ketika kematian Najmiyah, aku mengambil iktibar bahawa umur bukan jaminan!.
"BERSEDIALAH – KERANA DATANGNYA PADA BILA-BILA MASA!!.." (bagi kita yang masih hidup ini yang akan turut menemui kematian itu sendiri!!).

Kematian Pak Adam pula memberi pengajaran yang sedikit berbeza.
Kali ini pengajaran yang aku dan cik abang perolehi adalah :-
“PERSIAPAN SEMASA KEMATIAN ITU PERLU DIKETAHUI!" (bagi kita yang masih hidup yang akan meguruskan mayat orang yang meninggal!!).

Ya Allah...

Sekali lagi, komen ckLah menerpa otak fikirku:
“Kematian seseorang, untuk yang hidup mengingati mati...”

Maka, sungguhlah...

"KEMATIAN ITU SATU PENGAJARAN – BAGI YANG MAHU DAN TAHU DAN MAMPU MENGAMBIL IKTIBAR".
Firman Allah:
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (akan ditanya tentang apa yang dilakukannya)." (Al-Quran Surah Al-Israa’ 17 : Ayat 36)

"Ya Allah.. Sesungguhnya Kau Maha Pelindung.. maka, cukuplah Allah bagiku.
Ya Allah.. Sesungguhnya Kau jadikan Rasulullah itu sebaik-baik teladan.. maka cukuplah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai idolaku.
Ya Allah.. Sesungguhnya kau jadikan Al-Quran itu sebaik-baik rujukan.. maka cukuplah Al-Quran itu pedomanku..
Ya Allah.. Kau jadikan kematian itu sebagai peringatan.. maka, cukuplah kematian sebagai pengajaran kepadaku!!!.
Ya Allah.. Kau jadikan syurga itu sebagai balasan kepada hamba-Mu yang beriman.. maka cukuplah syurga itu nikmat yang aku dambakan.
Ya Allah.. Kau jadikan neraka itu seburuk-buruk tempat menerima azab... maka cukuplah neraka itu untuk aku jauhi.
Ya Allah.. Jika semua itu masih tidak cukup bagiku untuk menginsafi diri ini, maka gantikanlah hatiku yang keras, dangkal, dungu dan jahil ini dengan hati yang baru.. yang bersih.. yang Kau redhai, yang Kau rahmati... yang Kau salurkan iman dan takwa di dalamnya.. agar solatku, ibadahku, seluruh kehidupanku dan kematianku HANYA UNTUKMU – untuk mencari redha-Mu Ya Rabb.. Wahai Khaliq yang Agung!. Ameen."
Sabda Nabi Muhammad SAW:
"Perbanyakkanlah mengingati perkara yang membinasakan kelazatan (iaitulah MAUT)" (Hadith Hasan riwayat al-Tirmidhi)

Ya Allah. Redhailah kami semua.. Ameen.






Thursday, October 13, 2011

Orang Tua-Tua..


Seronok berbaik dengan orang tua-tua.. @ orang yang lebih tua dari kita.. (setakat tua 2-3 tahun, tu macam geng..) tapi ni tua yang 10 tahun ke atas.. nak pulak yang melebihi 20 tahun ke atas dari umur kita.. huish.. mmg satu anugerah yang sangat EMAS!.. (teringat tokma – jiranku sayang.. lamanya tak lepak berbual dengan tokma.. huhuhu).

Banyak perkara yang menarik untuk diperbualkan.. banyak pengalaman yang dapat dikongsi.. ilmu yang dapat diraih.. petua-petua yang boleh diambil pakai serta celoteh-celoteh yang sangat halus di halwa telinga.. merdu..

Aku suka bersama orang orang yang berusia.. nak pulak berusia emas.. sungguh bahagia dan tenang bersama mereka.

Terkini, yang sangat aku rapat adalah dengan Bonda Boss aku.. Melihat raut wajahnya mengingatkanku kepada arwah nenek aku.. (ibu kepada arwah tok). Kedut-kedut di wajah putih mulusnya.. owh.. sangat aku rindui..

Aku panggil Bonda Boss dengan panggilan OPAH. Ye, opah orang perak. Ipoh kampung lamannya. Suke bebenor ngajak aku pegi ke ghomahnye. Baung masak tempoyok campur toge beso.. huish.. bertambah nasik 3 penggaaan!!.. hahaha.. (tetiba slanga aku ke laut.... tak kena langsung gaya rhope lenggok perok nyer.. burhok bebenor care nulihnye!!... huhuhu.. ampuuunn... hehehe).

Bila aku jumpa Opah, aku paling suka pegang kedua-dua pipinya dan mencium pipi dan dahinya.. lembut, sejuk dan wangi (bau bedak sejuk sungguh harum kan..).

Paling mutakhir aku jumpa dan bersembang dengan Opah adalah pada hari minggu awal bulan ini, JEMPUTAN RAYA katanya.. hihihi... Lauk istimewa adalah Siakap masak tempoyak sama taugeh besar (ada orang panggil taugeh kasar – sebenarnya aku tak lalu taugeh kasar ni, tapi Opah masak membuatkan aku kutip taugeh2 ni sampai licin.. kuikuikui.. dasar makan tak pandang org mak buyung ni tau!!)..

(ada gak gambar ala-ala masakan opah... jumpa dalam google.. hihihi)

Mula kisah masak tempoyak tu, aku gurau je cakap kat Opah masa raya kat umah Boss bulan lepas. Aku kata, "Mengidamla nak makan masak tempoyak Opah nih!.. hihihi" – tapi Opah tak perasan yang aku mengandung, sampai la Kak Lily (adik Boss) tanya, "KAMU NGANDUNG KE?".. Bila aku mengiyakan baru Opah kata.. "La... patut kamu sebut ngidam, rhopenye ada isi!".. hahaha..

Terus-terus hari minggu tu Opah telefon suruh datang makan malam kat umah dia. Katanya ada 'Siakap Masak Tempoyak'!. ADUUUHHH!!!... Berdesup aku gegar cik abang ajak pegi.. terbayang-bayang dah weih!!.

Tengok je masak tempoyak opah, terus perut yang kenyang dek tengahari tadi, jadi lapar balik!... hihihi.. sedar tak sedar aku tambah nasi sampai 3 kali!!.. (tu pon cik abang yg tolong kirakan ’jumlah’nya sebab dia yang menghulur pinggan nasi.. hihihi)

Pastu pulak, masa kat rumah Opah, dijamu juga pecal (gado-gado). Yang ni pon 'speciality' Opah jugak. Kuah kacang pecal itu memang resepi turun-temurun.. Walaupun kenyang makan nasi yang bertambah-tambah tu, sempat jugak aku mencedok sepinggan pecal Opah.. (tak makan nanti, teringat termimpi terliur pulak.. hehehe.. ALASAN!! Dh dasar kaki makan!!)..

Memang sedap.. sangat sedap. Dalam kenyang pun boleh makan lagi ni. Kuah kacang Opah memang special lah..

Sesekali teringat jugakla sambal pecal Opah tu. Rupa-rupanya Opah ada ’instinc’ agaknya. Semalam, dikirim 2 paket sambal pecal tu ke driver Boss suh bagi kat aku.. aduhaiiii Opah..

(gambar sambal pecal yang dikirim dek Opah).

...........................

Tapi, berita yang ku dengar hari ini tidak enak di jiwaku!. Baru semalam Opah kirim sambal pecal, hari ini, driver Boss bagitau yang Opah masuk hospital (rebah tak sedarkan diri). Allahu Akhbar!.

Opah rebah tatkala usai solat subuh.. ketika hendak berwirid, katanya terlupa apa yang hendak dibaca... matanya kabur.. sempat telefon salah seorang anaknya.. dan kemudian, ambulance datang membawa Opah ke wad emergency.

Di wad, sudah lebih jam 2 petang usai pemeriksaan doktor, kata Opah, beliau belum solat zohor.. tapi doktor tidak membenarkan kerana ubat bius masih di badannya... Subhanallah.

Ya Allah.. berikan kesihatan kepada Opah agar beliau dapat menambahkan lebih ibadahnya kepada-Mu Ya Rabb.

Firman Allah:
"....Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, -" (Al-Quran Surah Maryam 19 : Ayat 60).


Tetiba airmata menitis laju.. Alangkah bahagianya masih punya Opah.. masih punya Tok.. masih punya Nenek.. aku sekadar menumpang kasih nenek orang..



Ni, gambar Opah yang diambil daripada fb cucunya.. (kata mereka Opah suruh upload gambar ni dalam facebook.. sporting kan Opah.. hihihi... gambar beliau tengah layan lobster).


... Jauh di sudut hati, aku sangat merindui arwah tok dan wan (Hajjah Chik dan Haji Hashim).. terutamanya apabila pulang ke kampung.. tambahan lagi apabila Gathering Raya (setiap 2 tahun sekali) yang akan dipenuhi kesemua susur galur HCFC.... huhuhuhu..



Walaubagaimanapun, aku bersyukur masih punya Emak.. punya Ayah.. punya mertua, adik beradik ipar duai dan sedara mara.. juga jiran tetangga dan sahabat handai serta ada juga orang orang luar yang sudi menghulurkan silaturahim sesama saudara Islam denganku... persaudaraan yang tulus, dengan Nawaitu – kerana Allah.. SUBHANALLAH... SYUKUR YA ALLAH..




Ya Rabb.. redhai hamba-hamba-Mu ini. Ameen.


Friday, October 07, 2011

Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor


Seminggu berlalu..

Seminggu yang lepas (Jumaat : 30 September 2011 bersamaan 2 Dzulkaedah 1432) - Pemergian abadi seorang yang bernama Najmiyah Binti Norma!..
(nama yang ditalkinkan..)

Airmata tak dapat ku tahan. Panas terik mentari yang baru mula merangkak hendak berdiri tegak di atas kepala ku abaikan. Melihat tanah yang masih basah dan dua pokok kemboja yang ditanam sebagai tanda itu adalah kubur arwah, membuatkan hatiku sangat pilu.. (Namun, jauh di sudut hati aku, serasa bagai ada satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.. mungkinkah arwah selesa di situ?.. Wallahu ’alam)..

Firman Allah:
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. (Al-Quran Surah Al-Mulk 67 : Ayat 1-2)

Najmiyah Binti Mohd Nor.

Orangnya manis. Tuturnya lembut. Satu masa dulu, semasa zaman persekolahan, aku dan sepupu-sepupu perempuan lain pernah ’mengumpat’ pasal Miyah – kata kami :- ”Malu pulak kalau nak bersembang depan Miyah. Dia cakap perlahan, kita cakap berdegar-degar. Budi bahasa miyah lembut, kita ni ’kasaq kedegaq’, tak padan ngan pompuan – anak dara mulut bising!! Kalau cakap ngan Miyah, automatik volume turun dari 5.0 ke 1.2”.

Ya. Kalau dibandingkan KESEMUA sepupu-sepupu perempuan aku dalam keluarga adik-beradik ayah aku, memang takkan mampu terlawan dengan kelembutan dan kesopanan budi bahasa Najmiyah dan Nazirah (anak-anak perempuan Pak Su + Mak Su). Sangat lembut, sangat sopan, sangat berbudi bahasa. Kami akur dengan didikan dan asuhan Maksu Norma kepada anak-anaknya.. Sesopan dan selembut maksu Norma.. (tidak pernah hayat aku dengar maksu menjerit melaung memanggil anak-anaknya, hatta ketika menyuruh anak-anaknya buatkan air kepada kami yang datang berkunjung.. panggilnya seakan berbisik.. tiba-tiba air dan makanan sampai.. KAGUM!)

Dan, aku pasti, semua saudara-mara mengakuinya.

Najmiyah!. Pernah sepupu-sepupu yang lelaki dalam family ayah aku ’nak tackle’ Miyah. Tapi, ayah aku kata :- "HANGPA BOLEH JADI WALI DIA!!.".. hehehe.

Tapi, aku agak sedih kerana jodohnya sangat berat, sedangkan adiknya Nazirah telahpun melangsungkan perkahwinan sebelum dirinya.. (Aku pernah terlibat dalam satu kemalangan bersama miyah ketika kami dalam perjalanan balik ke kampung – meskipun kemalangan sangat dasyat jika dilihat keadaan keretanya, namun syukur kami semua terselamat - 2003).

Antara kenangan aku dgn miyah... selain kami adalah sepupu.. dia merupakan pengapit aku masa kenduri di Muar.. dan dia juga pernah bekerja satu syarikat dengan aku masa dia mula habis belajar dulu.. maka itu, kawan2 kerja lama dia merupakan kawan-kawan aku jugak.. pemergiannya mengejutkan mereka semua.. PASTINYA!.


Cerita Mak Su, Pak Su dan Nazirah (adik Miyah).

Sejurus selepas selesai membaca Yaa Siin di kubur, kami ingin segera ke rumah paksu. Tetapi terserempak pula dengan Mak Su Norma (mak miyah). Ucapan salam diiringi pelukan yang tidak mampu aku leraikan. Begitu kuat dan lama maksu memelukku. Ya.. akur. Maksu sangat sedih. SIAPA TIDAK???.. Anak perempuan yang sering menjadi tempat mencurah isi cerita.. yang sering membantu dikala susah.. yang menghiburkan di saat derita.. dialah orangnya.. Najmiyah Binti Mohd Nor. Maksu sempat bercerita hal-hal PELIK miyah dalam sebulan dua ini.


Cerita Maksu :

Miyah banyak meninggalkan 'kenangan' di saat-saat akhir hayatnya.

Miyahlah yang bertungkus lumus menyediakan segala persediaan untuk maksu dan paksu berangkat menunaikan Ibadah Haji pada 15 Oktober ini. Dia orang yang paling tak sabar nak packing beg baju utk ayah ibunya!. Dan dia ada berniat, katanya, tahun depan dia nak pergi umrah dengan maksu!.

Semasa raya Aidilfitri yang lalu, Miyah hendak sangat beli barang rumah. Nak tukar sofa. Nak belikan perabot kayu jati yang berharga ribuan ringgit. Tetapi maksu melarangnya. Maksu suruh Miyah simpan untuk kegunaan sendiri. Tetapi arwah nak juga beli. Dia order satu set sofa – tetapi warna yang maksu berkenan tak ada stok pada hari raya, selepas raya baru ada. Tetap miyah beli juga meskipun sampainya selepas raya!..
(aku merasa duduk di sofa yang baru dibelinya).

Miyah juga sempat beli almari dan katil baru. Maksu mulanya tak bagi. Kata maksu, yang lama pun elok lagi. Miyah kata, katil lama tu boleh jual kepada orang yang datang tolak barang tu. Masa kami pergi melawat maksu, memang birai katil tu terletak elok dihujung pintu, menanti masa nak ’let go’ pada lori yang tolak barang tu!.

Segala buku-buku, barang-barangnya, habis dikemas dan disimpan ke dalam kotak. Katanya tak payah nak susah-susah berkemas ’nanti’. Dan memang!. Maksu tak perlu susun lagi barang2 lamanya kerana dia DAH SUSUN DAN SIMPAN SENDIRI!.


Cerita Nazirah:

Nazirah (adik bongsu @ satu-satunya adik perempuan Miyah) tidak dapat menahan sebak sepanjang bercerita kepada kami ’kelainan’ sikap kakaknya.

Kata Nazirah, Miyah kerap lesu dan letih. Pernah sekali miyah sebut sakit sangat dadanya, berat seakan ditindih. Nazirah meyuruhnya bangun untuk solat tetapi miyah kata nak rehat sekejap, sebab sangat tak larat. Miyah adalah seorang yang tidak pernah culas dalam solatnya. Di situ Nazirah menjadi tidak sedap hati. Dipaksa jugak kakaknya menggagahkan diri untuk solat!.

Pada satu hari minggu, Miyah beriya-iya hendak buatkan kek untuk Hakim (anak Nazirah), dipesannya Nazirah bawa pulang Oven (tetapi Nazirah terlupa bawa bersama Mixer). Najmiyah bangun seawal pagi untuk buatkan kek untuk Hakim. Tanpa mixer, dikacaunya adunan dengan tangan. Kanan berganti kiri sehingga selesai kek harilahir untuk Hakim. Bersungguh miyah ingin menghadiahkan KEK TERAKHIR hasil air tangan MAKNGAH Hakim!. Allahu.

Pada hari raya tempohari, beriya Miyah ajak Nazirah beli baju raya corak dan warna yang sama (seperti masa bujang2 dahulu). Dibeli 3 pasang baju yang sama tetapi kata Nazirah :"Macam mana cheq nak pakai, cheq mengandung 8 bulan ni, tak muat". Sudahnya baju bergantung kemas di dalam almari – menunggu sehingga Nazirah selamat melahirkan untuk dipakai bersama-sama.. tetapi.. ALANGKAH!!!.......!.


Cerita Paksu :

Menurut Paksu, Miyah sakit dah lama. Tetapi sakitnya sangat misteri. Pernah Miyah terlantar sebulan di hospital, tetapi tidak diketahui punca penyakit!. Ada juga pak su cuba pergi berubat secara tradisional, kata ustaz yang mengubatinya itu, Miyah 'TERKENA BUATAN ORANG' – ada orang yang berniat jahat untuk 'mengenakannya' sehingga menemui ajal! (nauzubillah)!.. Wallahu ’alam bisawab. Aku sendiri tidak tahu sejauhmana kebenaran kisah tersebut. Sekadar menyampaikan yang disampaikan oleh Pak Su.

Menurut Pak Su lagi, tiga orang menyatakan perkara yang sama. Dan mereka pernah berpakat untuk 'menghantarnya' semula, tetapi belum berbuat demikian.

Ketika ini ayah menyampuk cerita Pak Su. Kata ayah :- "Jangan dibalas apa-apapun, Miyah dahpun pergi dengan selamat, andai perginya dianiaya sedemikian, Alhamdulillah, moga segala dosa miyah dikendong dek orang yang menganiaya dia. Jangan kita yang hidup ni pulak yang menambah dosa kita dan jadi seburuk sikap mereka." Dan Pak Su akur dengan nasihat abang sulungnya itu.

Firman Allah:
"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata." (Al-Quran Surah Al-An’am 6 : Ayat 59).

Dan lagi, perkataan ayah yang membuatkan kami seisi rumah sebak dan menangis adalah apabila ayah kata kepada Pak su dan Mak su agar halalkan segalanya. Ampunkan salah silap arwah dan hiduplah dalam keadaan yang harmoni seperti yang arwah inginkan.

Paksu menangis sambil berkata :- "Tak.. tak.. takdak dosa dia dengan kami. Dia baik. Dia anak yang baik. Kalau adapun salah silap dia, kami dah ampunkan. Kami dah halalkan".

... dan tangisan bersahutan!.

Allahu Akhbar. Wahai Dzat yang Maha Agung.. Sungguh Kau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Untungnya Najmiyah – dihalalkan segala perihal dan diampunkan segala dosa oleh ibu dan ayahnya. Kita ni.. MAMPUKAH PEROLEHINYA?????..


Cerita di hari-hari terakhirnya.

Hari Rabu 28.09.2011
– Miyah mengadu sakit dada. Selepas muntah, dia terasa penat sangat. Miyah meminta untuk dihantar ke klinik. Oleh kerana miyah pernah ada rekod di GH Penang, maka terus doktor rujuk ke GH Penang. Melihat rekod lamanya, doktor kemudian menahan miyah ke dalam wad untuk pemeriksaan lanjut.

Hari Khamis 29.09.2011 – Tiba-tiba bacaan jantung miyah turun mendadak. Doktor memasukkannya ke dalam ICU. Petangnya masa mak pergi melawat miyah, nampak sangat keletihan di wajahnya. Menurut mak, Miyah tidak seceria selalu, tiada lagi senyuman seperti selalu. Miyah mengenakan oksigen utk pernafasannya. Dia sempat membuka corong oksigen dan bercakap pada ayah ‘Miyah penat” kemudian menutupnya kembali.

Pada tengah malamnya, reader jantung miyah dan lain-lainnya dalam keadaan yang tidak normal, doktor menelefon paksu dan menyuruh seluruh ahli keluarga datang untuk membaca YaaSiin.

Maksu memang sentiasa di hospital. Paksu dan Nazihah bergegas ke hospital. Najib juga. Cuma Nafis yg tidak sempat. Nazihah tidak putus memberi semangat kepada Miyah untuk “LAWAN” kesakitan itu. Sesekali bacaan jantungnya kembali normal, tetapi lain masanya jatuh naik tak menentu.

Sehingga pada pagi Hari Jumaat 30.09.2011 – Jam 9.00pagi, Doktor menyatakan Miyah KRITIKAL DAN SUDAH NAZAK!. Maksu memangku kepala Miyah di lengannya, sambil mengucapkan kalimah syahadah di telinga miyah. Manakala Paksu dan Nazihah tidak berhenti membaca surah Yaa Siin. Ketika itu bacaan jantungnya jatuh dan terus jatuh!. Maksu tidak putus2 mengalunkan kalimah tauhid ditelinga Miyah. Dada miyah berombak biasa, seakan tengah tidur. Sehingga jururawat memberitahu maksu bahawa "DIA DAH TAKDAK"!.

ALLAHU!. Jantungku pula berdegup laju di sini.
Firman Allah:
"Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir yang telah ditentukan." (Al-Quran Surah Al-Qamar 54 : Ayat 49)
Belasungkawa Najmiyah Mohd Nor.

Bagiku, kematian Najmiyah sesuatu yang begitu bertuah untuk dirinya.

ANDAI!. Andainya benar seperti yang dikhabarkan – yakni Miyah meninggal kerana 'perbuatan orang' (wallahu ’alam), pastinya ini adalah rezeki yang sangat bernilai – darjatnya di angkat Allah ke tempat orang-orang yang salihin (ameen).

Ibu dan ayah serta adik beradiknya memberi restu, memberi maaf, mengampunkan segala dosa dan menghalalkan segala makan minumnya. Owh. Bertuahnya.. (mampukah kita mendapat keistimewaan sedemikian, bila kali terakhir mohon maaf dengan mak ayah adik beradik???.. selepas raya hari tu, ada tak terkecil hati atau termarah mak ayah adik beradik?)

Miyah belum berkahwin, justeru, tiada dosanya dengan suami, mertua, ipar duai dan sanak saudara sebelah suami.. jadi, tiada tercalit dosa padanya dalam hal ’perkahwinan’!. (kita ini?.. yang saban hari mengumpat mengeji mengata bercerita perihal mertua ipar duai, saudara mara-sahabat handai.... merajuk marah bergaduh menjerit pada suami.. telah mohon ampunkah???)

Subhanallah.. Beruntungnya kamu wahai adikku Najmiyah Mohd Nor..

.. dan lagi.. menurut kata Nazirah, ketika selesai dimandikan, wajah Najmiyah sangat lembut, bibirnya terbuka menampakkan gigi seakan sedang tersenyum!.. SUBHANALLAH!.. Benarkah begitu?.. Allahu...

Meninggal pada hari Jumaat, penghulu segala hari, di pangkuan Ibu tercinta yang mendengarkan kalimah agung 'syahadah' - LA ILLAHA ILLALLAH!.. disaat-saat terakhir hayatnya. Pemergian diiringi dengan alunan bacaan Yaa Siin oleh ayahanda dan adik-beradik tersayang.. telah diampunkan dosa oleh ibu dan ayah..

SIAPA YANG MAMPU MEMPEROLEHI KEMATIAN SEDEMIKIAN??..

Subhanallah. Maha Suci Allah yang mengaturkan kejadian.
Firman Allah:
"Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Quran Surah Al-Hadid 57 : Ayat 21).

Ya.. Pemergian Najmiyah Binti Mohd Nor telah pun termaktub sedemikian.

Kita yang masih tinggal ini, apakah persediaan kita ke arah syurga Allah?. Mampukah hayat kita berakhir dengan Husnul-Khatimah?. Di hujung nafas kita, mampukah mendengar serta melafaz kalimah tauhid "Laa Illaha Illallah" – yakni KUNCI SYURGA!.

Benar seperti komen cklah:
“Kematian seseorang, untuk yang hidup mengingati mati...”


Semoga kita beringat!.

SEMOGA AKU BERINGAT DAN MENGAMBIL PERINGATAN!.


Penutup bicara:

"Miyah.. semoga Allah Ya Rahman Ya Rahim, Ya Dzaljala lil Wal ikram meredhaimu dik, sebagaimana ibu ayahmu meredhai hidupmu dan meredhai pemergianmu. Ameen."

Innalillahi Wainnailaihi Raajiuun.
Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali.


AL-FATIHAH!.




Ya Rabb, redhai kami semua. Ameen.




Friday, September 30, 2011

.. telah sampai takdirnya..

Firman Allah :
"Setiap yang bernyawa itu akan merasai mati" (Al-Quran Surah Ali-Imran 3 : Ayat 185)


Aku masih lagi dalam keadaan "TERKEJUT" dengan perkhabaran yang ku dengar dari corong telefon. Seakan TIDAK PERCAYA apabila mak beritahu yang "MIA", sepupu aku, anak kepada adik ayah aku @ paksu di sebelah ayah aku - MENINGGAL DUNIA PAGI INI!.

Innalillahi wainnailaihi raajiuun - Sesungguhnya, dari Allah kita datang, kepada Allah jualah kita kembali.

Tidak kira usia, pangkat, jantina, status, warna kulit, bangsa atau di mana sahaja berdirinya kita.. apabila telah tiba seperti yang termaktub di Luh Mahfuz, apabila telah sampai perjanjian kita dengan Allah tentang ajal kita.. NAH!. ITULAH MASANYA!.

Firman Allah:
"Katakanlah : Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian itu kamu dikembalikan kepada Tuhan" ( Al-Quran Surah As-Sajdah 32 : Ayat 11)


Menurut emak.. adik saudaraku itu dimasukkan ke hospital dan terus berada di ICU. Sehingga semalam, doktor mengambil darahnya untuk pemeriksaan tetapi tidak dapat mengesan sebarang penyakit yang serius yang dihidapinya!. Pagi tadi keadaannya kritikal dan doktor menyatakan beliau NAZAK!. Sejurus selepas perkhabaran nazak, mak telefon aku menyatakan "MIA DAH TAKDAK"!!.. HAH???!!... Mak biaq betui!!!... Ianya satu berita yang tidak masuk dek akal (menurut akal jahilku!!).

Akalku tiba-tiba cuba menidakkan kewarasannya untuk menerima berita itu dengan hati yang terbuka..

~ Mia masih muda..
~ Mia tak ada penyakit
~ Mia budak baik
~ Mia tak pernah sakit teruk pon
~ Mia tak sakit apa-apa
~ Mia gadis paling lembut dalam golongan gadis seusianya..

MUSTAHIL!!.. Nafsuku cuba menghasut akal agar menolak keimanan yang sepatutnya REDHA ianya ketentuan ILLAHI.

Laju air mataku mengalir tatkala menelefon kakak mengajak pulang ke kampung!. YA!. Malam ini kita bertolak pulang!!. (khabarnya jenazah dikebumikan sebelah petang selepas asar ini). Meskipun sampaiku nanti segala urusan menguruskan jenazah telah selesai, tetapi kehadiranku untuk melawat yang masih tinggal.. MAKSU sekeluarga!.

Ya, pasti maksu amat memerlukan sokongan seluruh saudara mara. Anak perempuannya itu yang sering menjadi tempat meluah segala cerita derita bahagia telah pergi selama-lamanya. Bagaimanakah maksu sekarang??.. Semoga Allah anugerahkan ketabahan kepada wanita TABAH yang amat aku kagumi itu!.

Mia.. belumpun mencecah 30.. tiada penyakit bahaya.. tidak tahu punca penyakitnya.. MUDA! SIHAT! CERIA!.. tiba-tiba terlantar di ICU!. Dan pagi ini.. tiba-tiba dikejutkan dengan KEMBALI KE RAHMATULLAH!.

Benarlah.. Jangan disangka muda hidupnya kan lama.. Jangan disangka sihat kan cerdas sentiasa, APABILA SUDAH SAMPAI JANJINYA DENGAN YANG MAHA PENCIPTA, MAKA MALAIKAT MAUT DATANG TANPA DUGA, TANPA PINTA, IA MENJALANKAN AMANAHNYA.. dan, hanya itu sahaja hayat kita di dunia FANA ini..

Untuk diriku dan kita yang masih alpa dengan kematian yang semakin hampir.. yang saban hari malakatul maut melintas di hadapan kita tanpa kita sedar, BERINGATLAH!.

~ Berapa banyak amalan kebaikan yang telah lakukan?
~ Solat 5 waktu - terpeliharakah?
~ Puasa - sudah berbayarkah?
~ Zakat - sudah tertunaikah?
~ Sedekah jariah - berapa banyak yang kita belanjakan?
~ Sudahkah meminta maaf dengan orang yang kita sakiti hatinya?
~ Hutang piutang kita, masih ada yang tertangguhkah?
~ Adakah ibu bapa kecil hati dengan kita?
~ Amalan kebaikan yang ditinggalkan - banyakkah?
~ masih egokah kita untuk berdendam dan tidak memberi maaf kepada sesama saudara Islam?
~ Masih adakah kesal di hati kita terhadap segala duka yang kita tanggung dahulu kala?
~ masih adakah riak dan sombong yang sedang bermaharajalela menyekat iman kita?.

Firman Allah:
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan" (Al-Quran Surah Al-Anbiya 21 : Ayat 35).

Kematian! - Ya kita sedar ia akan datang pada bila-bila masa.. tetapi sejauh mana kita benar-benar sedar YANG IANYA AKAN MENJEMPUT KITA PADA BILA-BILA MASA???..

....berputar segala kelemahan dan dosa diri satu persatu...
~ mengenangkan hutang piutang yang masih berbaki..
~ apa masih adakah salahku pada cik abang yang beliau tidak redha...
~ terbayang rakan taulan yang mungkin masih ada yang terasa hati.. yang masih tidak dapat memaafkan diri ini..
~ terbayang wajah emak ayah serta mertua adik beradik ipar duai jiran tetangga yang ketika raya itu sahaja kata ampun dan mohon halal didengari dari bibirku...
~ teringatkan janji-janji yang belum tertunai..
~ puasa yang belum berganti..
~ amalan harian yang entah menjadi kebaikan atau kejian...
~ solat fardhu dan solat sunat yang entah cukup entah tidak, entah diterima atau dipangkah!..
~ Al-Quran yang hanya berapa kali aku mengulang baca!!.
~ kelemahan hati yang sering mengeluh dan LUPA BERSYUKUR!!... Nauzubillah!.

YA ALLAH.. terasa tersekat nafasku!!

ADUH!. Mia, pemergianmu benar-benar mengetuk dinding sedar kaktiny!. Sangat2! Terasa begitu gentar mengingatkan bahawa kematian itu adalah PADA BILA-BILA MASA!. Kaktiny sangat bimbang dik!. Pemergianmu terkesan dengan sangat mendalam di jiwa ini.. YA RABB.. AMPUNI HAMBA2-MU INI..

Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosamu dik.. Semoga Allah menempatkanmu bersama hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Ameen.


Al-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAMMAH NAJMIAH MOHD NOR..


YA ALLAH... REDHAILAH KAMI SEMUA YA RABB.. REDHAI KAMI!. AMEEN.

Wednesday, September 28, 2011

.... Mengidam!


Firman Allah:
Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan" (Al-Quran Surah Maryam 19 : Ayat 40).

Ya, sesungguhnya.. setiap ciptaan di bumi di langit di seluruh jagat raya adalah dengan kehendak Allah.. kita diberi izin menumpangnya secara sementara.. selama diizinkan-Nya.. selama hayat yang dianugerahkan oleh Rabb yang Agung..

.. dan anugerah ini - mengandung - amat aku syukuri kerana Allah menganugerahkannya kepadaku untuk yang kesekian kali. TERIMA KASIH ALLAH..

............................

Hari tu masa first check up, Doktor kata, bulan depan (October) baru buka BUKU MERAH!. Hmm.. oklah..

Acid Folic!. Yerrrkkk.. ubat yang aku paling malas nk LAYAN!!.. (kekadang buat-buat lupa jer..).. Org yang paling rajin memantau tak lain tak bukan cik abang ler!.. hehehe.. (huhuhu)

Tapi, yang paling excited menunggu 'kehadiran orang baru' ni tak lain tak bukan adalah Nureen dan Zaqwan. Lucu sungguh pertanyaan demi pertanyaan bebudak ni.

Antara soalan yang pening nak layan:-

~ Ibu, bila baby nak keluar?
~ Ibu, baby tengah makan ke?
~ Ibu, baby dah tidur ke belum?
~ Ibu, boleh ajak baby main tak sekarang?
~ Ibu, baby boleh keluar sekejap tak?.

hadoiilllaaaarrr... seribu satu soalan yang adakalanya aku tak tau nak pusing jawapannya.. jawapan paling senang ~ "baby nak rehat dulu dalam perut ibu, macam kakak dgn adik dulu laaa...."~

tapi, satu yang paling aku terharu adalah..
Nureen tetiap malam nak bacakan kat baby Surah Al-Quran.. (Kakak, Ibu coretkan ini supaya nanti kakak tahu sikap baik kakak yang ini.. Ibu sangat hargainya.. sangat-sangat..)

Bila sahaja aku tengah baring nak baca surah atau baca buku atau dlm keadaan berbaring.. Nureen akan datang bertanya:

"Ibu, boleh kakak BACAKAN untuk baby"?

... dan bila aku mengangguk je, dia akan mula pegang perut aku dan bacakan 4 surah bermula dengan Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas kemudian Al-Fatihah.. (sering bacaannya buat aku hampir menitiskan air mata.. terharu yang sangat.. terima kasih Allah.. Jazakillahu khair anakku..)

Sejak dari hari gambar scan tu aku tunjuk pada dia, sampai hari ni, tak pernah miss dia nak BACAKAN untuk baby..

Sekarang, si Zaqwan jugakberebut tempat nak BACAKAN untuk baby..

Tapi, bila suruh baca, ini jawabnya.. "Adik tak tau baca macam kakak, takpelah adik baca ni je"..

Dan.. dia baca :-

"BISMIKALLAH HUMMA AHYA WA AMUUT"..

eerrrrkkkk... Doa TIDUR???... (kalau nanti baby rajin tidur, ni semua punca dari abang dia si Zaqwan la nih.. hahahahaha).

Takpe lah dik, janji ada niat murni tuh..


~ ni le keadaan berdua tu sedang sibuk nak BACAKAN AYAT QUDSI kat adik diaorg nih.. sejuk perut tengok anak-anak Ibu nih.. Syukur Alhamdulillah.


OWH YE..

Berkaitan tajuk entri.. YA YA.. aku mula memasuki fasa MENGIDAM!. Bukan nak ikut sangat kehendak hati.. tapi yang peliknya, bila aku teringin sesuatu tu, BAUNYA terus singgah di hidung!. dan dan perut aku berkeroncong... selagi tak dapat, mula terbayang dalam mimpi!. huish.. itu sangat melampau kan!! huhuhuhu..

DAAANNN!!.. yang lagi PARAHNYA adalah, apabila CIK ABANG AKU PON TURUT MENGALAMI "BEBAN" NIH!..

Dia pon MENGIDAM GAK!!..

Dulu dia tak kisah aku masak apapun, tapi skrg, dah siap request itu ini.. dan tak boleh TUKAR YANG LAIN!.. (kalau tidak, mmg tgk muka monyok je.. hahahahaha).

Macam semalam.. katanya, tekaknya terasa-rasa nak makan tomyam.. dah terbau-bau kuah tomyam!.. aduhaaaiiii... menyising lengan le aku masuk dapur buatkan tomyam utk dia.. bertambah 3 pinggan!.. haish.. NI MENGIDAM KE MEROYAN???!!... hahahaha...

Aku cukup risau bila tengok gambar makanan skrg ni.. cepat RASA tu sampai!.. Tapi, kalau benda yang aku tak nak, mmg tak terasa nak pon!... tapi, kalau dah NAK tu.. YA RASUL, terbayang, terbau dan terasa di tekak!!... aduhaaaaiiiii....

(... dan skrg, aku terbayang dan terbau NASI GORENG KAMPUNG!.. hah sudah!!... Tapi, nasi goreng kampung ni aku 'tak pernah try lagik.. dan bukan yang jual di kedai dan bukan jugak yang aku goreng sendiri.... camner tu.. ~rasa-rasanya, ada org TERASA tak?????? kuikuikuikui...)


.....




Ya Allah.. aku mohon redha-Mu dalam setiap tindak tanduk dan tingkah laku.. ampuni kekhilafan dan kejahilan kami... Redhai kami.. Ameen.




Thursday, September 15, 2011

Wahai Anak ~ Jadilah kalian begitu…..


Wahai putera (puteraku)…
Jadilah kalian seteguh Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sejujur Saidina Ali dengan meneladani keunggulan sifat Rasulullahi Sallallahu alaihi wassalam di sepanjang hidupmu.

Wahai puteri (puteriku)…
Jadilah kalian sesetia Khadijah, setulus Maryam, selembut Fatimah, seyakin Asiah dan sebijak Aishah dengan meneladani pekerti Rasulullahi Sallallahu alaihi wassalam di sepanjang hidupmu.

Jadilah kalian mujaheed dan mujaheedah Allah.. Peruntukkan hidupmu untuk membantu sesama insan... persiapkan dirimu demi mengembangkan syiar islam… pertaruhkan kehidupanmu kerana Allah, bagi mendapatkan redhaNya..

Jadilah kalian begitu… wahai Anak-anak Ibu..

Firman Allah:
"Wahai anak-anakku. Dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri". (Al-Quran Surah Al-Luqman 31 : Ayat 17-18).


Ibu mengingatkan diri ibu dan diri kalian wahai anak-anak Ibu, akan kalam Allah yang itu!.

SOLAT!. SABAR!. RENDAH DIRI!

Jadilah kalian begitu.. wahai anak-anak Ibu.. dan Ibu juga akan berusaha gigih mendidik diri Ibu dan diri kalian ~ menjadi sebegitu!.

Wahai Anak-anak ibu..
Ibu ingin sekali mengkhabarkan kalimah Fuqaha yang pernah Ibu dengar ini kepada kalian…

"Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhada'."

Ibu tidak mampu menjadi seperti itu.... Namun, doa Ibu, harapan Ibu, impian Ibu.... ~ Jadilah Kalian Begitu!.

Kalian adalah 'saham' yang Ibu sangat dambakan untuk bisa menempatkan Ibu di Firdaus-Nya. Doa kalian Ibu mohon dan harapkan, sepanjang masa, waima di kala nyawa Ibu sudah tidak bersama jasad.. Doa kalian tetap Ibu dambakan.. sehingga ke syurga Allah kelak..

Jadilah kalian anak yang soleh solehah – mujaheed dan mujaheedah Allah yang beriman dan bertakwa.. Umat Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang berpegang utuh dengan Al-Quran dan Sunnah Baginda....


IBU MOHON!. JADILAH KALIAN BEGITU!!..


.........................................................................................................

Surah Al-Luqman.. Surah An-Nisa.. Surah Mariam... Surah Yusuf.. Kini menjadi antara agenda dan bahan bacaan utamaku.. (di radio IKIM pagi tadi, pesanan Ustazah, katanya, Ulama’ berpesan agar khatam Al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali setahun.. OWWWHHH.. sedang berusaha mempraktikkannya.. ayuh bersama berusaha!.. teringin sangat nak mendaftar kelas Bahasa Arab, bilakah berkesempatan?.. huhuhuhu.....)


Note : MakBonda... titipkan lagi pesanan demi pesanan, peringatan, panduan, pedoman, serta petua untuk si ibu muda ini.. Tolong.... <3



Ya Allah... redhai kami. Ameen.











.

Wednesday, September 14, 2011

11w1d???


BIAR BENAR??..

Buntang bijik mata aku memandang screen scan di sebelah doktor!.

Cik abang senyum senyum je.

Firman Allah:
"Dia yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, dalam enam hari, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dialah Yang Maha Pemurah!. Tanyakan perkara itu kepada yang tahu!". (Al-Quran Surah Al-Furqan 25 : Ayat 59).

… dan, manusia yang paling bahagia dan gembira mendengar berita ini tak lain tak bukan adalah si kakak (Nureen) tu ler.

Nureen : Alhamdulillah. Ibu. Kakak happy sangat. Ya Allah, terima kasih sebab dengar doa kakak. Ibu, kakak tak sabar nak puasa lagi. Sebab Allah makbulkan doa kakak yang kakak doa masa kakak puasa. Hihihihi...
(hambooiii... suka benar budak ni. Penuh yakin dia bahawa doanya di ramadhan yang lalu dimakbulkan Allah. Siap menadah tangan dengan penuh khusyuk memuji kebesaran Allah.. comelnya reaksi anak Ibu nih.. huhuhu.... Subhanallah)..

Zaqwan : Nanti adik jadi abang!.
(waaahhh... semangatnya si zaqwan ni. Dah perasan nak jadi abang).

Zaqwan : Adik nak adik boy.. Boleh geng dengan adik!..

Nureen : Taaaaaakkk... Ibu dapat baby girl.. boleh main dengan kakak. Kan Ibu kan.. baby girl kan..

Zaqwan : Taaaaaaaaaaaaaaaakkkkkkk... Baby boy.. Kan Ibu kan kan.. Boy kan?

Ibu : Mana kita tahu baby ni girl ke boy... apapun, kita kena redha.. bersyukur sebab doa kakak dimakbulkan Allah.. Alhamdulillah.. (tersipu-sipu Nureen tersenyum bangga.. hihihihi)

Abah : Takpa, siapa yang dapat geng kali ni, next time turn yang lain plak dpt geng!.

Ibu : Mak haaaaiiii... cepatnya FAMILY PLANNING!!!.. yang ni pon tak keluar lagik!!!..

...................................................................

Sungguh aku tak percaya. Tak sangka dan tak pernah duga akan rezeki yang satu ini, secepat ini!!!.


11w1d??.. Maknanya minggu depan 12 minggu. 3 BULAN???... HAAAAHHHH????????!!!!!.

Alah?. Muntah?. Pening?.

Entah. Aku tak perasan masa mana. Agaknya masa yang aku dok bising pasal gastrik tu, ini puncanya barangkali. Muntah pening masa puasa yang aku sangka berpunca dari gastrik itu, ini jugaklah puncanya barangkali. Tapi, fokus masa tu lebih berat kepada gastrik yang aku alami awal bulan 7 tempohari (siap kena masuk wad segala bagai!..).

Apapun, sungguh aku bersyukur dengan rezeki yang Allah anugerahkan ini.
(hmm...merasa cuti panjang le tahun depan... hahahahaha).

Maha Suci Allah. Mudahnya Allah menjadikan segala sesuatu. Mudah sungguh bagi-Nya mentakdirkan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Subhanallah.

Ya Rabb.. Sesungguhnya Kau sangat pemurah. Sangat Pengasih dan Sangat Penyayang. Ya Khaliq yang Agung.... Aku sangat menyintai-Mu. Allahu Akhbar.

Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar". (Al-Quran Surah Al-Luqman 31 : Ayat 12 dan 13)


'Wahai anak-anak Ibu.. Ingatlah nasihat-nasihat Luqman Al-Hakim sebagaimana Ibu juga menasihati diri Ibu dengan kalam-kalam Allah yang mulia yang terkandung di dalam Al-Quranul Karim. Ameen.'




Ya Allah. Redhailah kami semua. Ameen.











.

Friday, September 09, 2011

MASA MUDA!.


Alhamdulillah.

Ramadhan telahpun dilalui.. Syawal telahpun dinikmati..

Firman Allah:
"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang hendak kamu dustakan?. Maha suci nama Tuhanmu yang penuh keagungan dan kemuliaan." (Al-Quran Surah Ar-Rahman 55 : Ayat 77-78).

(Tidak.. aku tidak berani mendustakan nikmat yang Allah anugerahkan kepadaku.. Sungguh aku sangat bersyukur.. dengan sesungguhnya..)

Terlalu banyak!.. Terlalu banyak nikmat yang Allah anugerahkan kepadaku.. nikmat tubuh badan dan pancaindera yang sihat.. Nikmat umur yang masih merasai kasih sayang kedua orang tua dan mertua.. juga menikmati kehidupan berkeluarga, bergelar isteri dan ibu.. serta pekerja dan ahli masyarakat… Nikmat kehidupan yang penuh asam garam ceritanya... TERLALU UNGGUL ANUGERAH NIKMATNYA!. ALLAHU AKHBAR!.

Malah.. ada lagi nikmat yang ditambahnya kepadaku.. nikmat yang sangat aku impikan.. menyambung pengajian di peringkat tertinggi dalam ‘Carta Pendidikan Pelajar’ – yakni peringkat Doktor Falsafah.. Subhanallah.. Pujian hanya untuk Allah yang mengizinkannya terlaksana. Alhamdulillah.

Bangga?.. LANGSUNG TIDAK!. Hanya syukur yang ku panjatkan kepada Yang Esa.

Sejujurnya, ketika ini hatiku diselubungi BIMBANG, TAKUT DAN GUSAR!. SUNGGUH..

Bukan kerana takut tidak mampu menyempurnakan pengajian, bukan risaukan tempoh pengajian yang tidak cukup atau seumpamanya... bukan juga kerana bimbang tidak dapat bergelar "Dr".. BUKAN!. TIDAK LANGSUNG!!.. (aku menyambung pengajian bukan untuk mengejar nama, pangkat, gaji atau kedudukan.. LANGSUNG TIDAK.. jawatanku sekarang tidak memerlukan GELARAN tersebut.. jika adapun, IA TIDAK AKAN DAPAT MERUBAH NAMA JAWATAN YANG AKU SANDANG INI.. NAN ADOLAH!!! – jadi, pengajianku ini langsung tiada kaitan dengan kerjaya dan pangkat).

Namun, yang aku BIMBANGKAN.. TAKUTKAN... dan GUSARKAN adalah...

Merenung dalam maksud tersirat di sebalik yang tersurat di hadis ini (membaca yang tersirat sahaja dah rasa mendidih dada.. apatah lagi jika benar-benar mengetahui makna tersirat.. mahu pecah meruap otak kepala!!).

Sabda Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam.
"Sentiasalah kaki anak Adam itu berdiri di hari kiamat dihadapan TUHANnya sehingga dia ditanya empat perkara: Umurnya kemana dihabiskannya. Masa mudanya dimana dipergunakan. Hartanya dari mana ia peroleh dan kemana dibelanjakannya serta ilmunya sejauh mana dia mengamalkannya." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi).

Berapa 'umur' USIA MUDA itu?.
Andai ditanya kepada yang berumur 40 tahun, mungkin umur 20-an itu dikatakan masa mudanya.. Jika ditanya pada yang berumur 70 tahun, mungkin umur 40-an itu dikatakan usia mudanya.. begitu juga jika ditanya pada yang baru pencen, mungkin usia 30-an itu dikatakan zaman muda belianya.

Adakah usia 30-an itu di dalam kategori usia MUDA BELIA?...
Andai 'YA', maka, aku masih dalam kategori "MUDA" lah ye.. (kerana belumpun mencecah angka 40-an...hihihihi).

Bukan ANGKA yang aku ingin ketengahkan... BUKAN!... tetapi ini adalah peringatan untuk diriku sendiri ~ yang sangat berkait rapat dengan Hadis di atas!.

Aku bimbang takut dan gusar akan perkara yang akan Allah tanyakan kepadaku kelak ~
1) UMUR! ~ ke mana dihabiskan???
2) MASA MUDA! ~ di mana dipergunakan?
3) HARTA! ~ bagaimana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan?
4) ILMU! ~ sejauh mana diamalkan? disebarkan? disampaikan?

Allahu!. Apa jawapanku kepada Allah kelak??

APA YANG SEDANG AKU LAKUKAN SEKARANG, SAAT INI, DI USIA INI????

Mampukah aku sampaikan kepada Allah bahawa UMUR MUDAKU ini aku masih mencari ILMU-Nya dan ingin mengumpulnya sebagai HARTA!. Ilmu itulah hartaku yang aku ingin belanjakan di jalan-NYA ~ demi mendapatkan redha-NYA.

Pengajian PhD dan Pengajian Fardhu Ain ~ kini berjalan serentak (moga Allah permudahkan.. Ameen). Apakah pengajian-pengajian ini bisa aku nyatakan sebagai ILMU yang aku cari di USIA MUDAKU???.. Bolehkah begitu?.. atau.... apakah Malaikat-Nya nanti akan menjerit PENIPU.. PENIPU.. PENIPU... kepadaku kelak kerana jawapanku tidak SELAYAK PERLAKSANAANKU??..

Bimbang, takut dan gusar andai ditanyakan:
~ BENARKAH AKU MENUNTUT ILMU-ILMU INI KERANA ALLAH?.
~ ADAKAH AKU MENGAMALKAN ILMU YANG DIANUGERAHKAN INI?..
~ SEJAUH MANA AKU MEMANFAATKAN ILMU ITU KEPADA DIRIKU DAN KEPADA MANUSIA SEKELILINGKU SERTA KEPADA AGAMAKU, DEMI ALLAH DAN RASUL-NYA?.

Firman Allah:
"Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu mengembalikan rezeki yang dikurniakan kepadanya itu kepada orang yang menjadi kekuasaan tangan kanannya (yang membantunya dalam kehidupannya), supaya orang-orang itu dapat sama menikmati rezeki itu. Mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu?" (Al-Quran Surah An-Nahl 16 : Ayat 71).

Mendengar ini, gentar seluruh tubuhku!.

Ilmu yang aku tuntut ini, bagaimana amalanku terhadapnya?.. Apakah sudah aku kembalikan rezeki yang Allah anugerahkan ini kepada yang berhak menerimanya?. Amanah Allah yang bernama ilmu ini, bagaimana aku menggalasnya di jalan Allah??.. Aduhaaaiiii!!!... sungguh mengerikan!.
Firman Allah:

"Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka tergamak mengingkarinya; dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang tidak berterima kasih". (Al-Quran Surah An-Nahl 16 : Ayat 83).

Nah!. Ayat ini semakin membuatkan aku bimbang sebenarnya.. lagi banyak ilmu yang dituntut, bererti lagi banyak nikmat yang Allah anugerahkan.. lebih banyak yang kita perolehi tetapi tidak diamalkan, tidak disebarkan dan tidak dikongsi bersama... maknanya.. MAKIN BANYAK DOSA PEMBAZIRAN DAN KEKUFURAN NIKMAT YANG DILAKUKAN!!.. Secara sedar atau tanpa sedar... secara sengaja atau tanpa sengaja!!!... Ianya mengundang dosa dan akan ditanya Allah di akhirat kelak!!!... Astaghfirullahal ’azhiim. SUNGGUH GERUN!.

Justeru, aku mohon sesungguhnya...

Firman Allah:
"Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-Quran Surah Al-’Asr 103 : Ayat 1-3)

Tolong ingatkan diriku..
Berpesan-pesanlah kepadaku..
Jangan pernah jemu menasihati aku.. yang sering tersasar dan terkeliru..
Demi Allah serta Rasul, para malaikat dan sekalian makhluk-Nya, tolong BERPESAN-PESAN KEPADAKU.. apa sahaja kelemahan dan kekurangan atau kebongkakan dan kekufuran yang ada pada diriku, penulisanku, perbualan dan perbuatanku..

Jangan dipuji jika aku dilihat mendaki puncak yang atas... teruslah menegur dan menegur dan menegurku.... kerana yang di atas tidak selamanya di atas.. yang di atas tidak semestinya tahu segala perihal di bawah.. yang di atas tidak setentunya melebihi yang dibawah.. yang di atas bisa tergolek tersungkur rebah jika tiada sokongan dari yang di bawah!.

Sesungguhnya aku tidak layak menerima waima sekelumit pujian... PUJIAN ITU BISA MENJADI UJIAN YANG PALING MERBAHAYA KEPADA HATI.. PUJIAN ITU BISA MENJADI JAMBATAN KUKUH SYAITAN TERHADAP NAFSU!!!. - dan Nafsu itu LEBIH JAHAT daripada SYAITAN DAN IBLIS!!...

SEGALA PUJIAN HANYA BAGI ALLAH..

Nikmat Allah ini sebenarnya adalah ujian kepadaku..
Aku bimbang, takut dan gusar..

"Ya Rabb.. Jauhkan aku dari sikap sombong, bongkak, riak dan takbur.. Nauzubillah.. Bukan hak aku untuk 'memakai kalungan' itu.. semuanya HAK ALLAH, PENGUASA ALAM SEMESTA!. Aku hanya menumpang ehsan dan rahmat Allah.. Nikmat yang bisa diberi kepada siapa yang dikehendaki-Nya.. dan bisa ditarik daripada sesiapa yang dikehendaki-Nya... OWH DIRI.. JANGAN LUPA DIRI!!... OWH DIRI... INSAFI DIRIMU..."

Ya Allah... redhai kami semua. Ameen.

Friday, August 26, 2011

SALAM AIDILFITRI 1432

Salam Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin.

Semoga Lebaran di sambut dengan penuh kesyukuran.

Kepada warga HashimChik Family Club (HCFC):

SILA INGAT PERJUMPAAN KITA!.

ATURCARA PROGRAM TELAH TERSEDIA DI SINI!.

TAK SABAR NAK BALIK KAMPUNG!..

Terdengar-dengar nyanyian Sudirman "BALIK KAMPUNG".. hihihihi...



KEPADA SEMUA..

SALAM AIDILFITRI.

MOHON MAAF ZAHIR BATIN DARI TINY, RIZAL, NUREEN DAN ZAQWAN.


RAYA NI, SAYA CUTI BERKERJA SELAMA 2 MINGGU!. yeehaaaaa...


hihihi...



Sunday, August 21, 2011

Untuk Ayah!.

(Auto-Published)

Masa sambutan Father’s Day 2 bulan lepas.. tiada apa yang aku nukilkan untuk ayah.

Sibuk?. Tidak juga.

Rasanya, terlalu banyak yang ingin aku ucapkan..
Tetapi, tatkala mengangkat ganggang telefon dan mendail nombor emak, sekadar ucapan "SELAMAT HARI BAPA, SEMOGA AYAH SENTIASA DALAM RAHMAT DAN REDHA ALLAH.. AMEEN". Beberapa patah perkataan sahaja, dan disambut dengan doa dan ucapan terima kasih dari ayah yang membuatkan aku menangis di subuh yang bening.

Ya, ini harinya!. Dan hari ini aku nukilkan suara rasa.. Untuk Ayah!.
Tahun ini, ayah berusia 69 tahun. (Tahun depan, InsyaAllah, 70 tahun!..) Aku tidak percaya tatkala emak menyampaikannya kepadaku.
Bagi aku, ayah baru 50 tahun!. Selamanya 50 tahun!. Hahaha.. (dan esok, emak akan menginjak ke usia 58 tahun!. Pon aku tak percaya, aku anggarkan emak baru 45 tahun!. Selamanya 45 tahun.. hihihihi).
Cepat sungguh masa berlalu. Tapi, rasanya, aku masih belum dapat menerima hakikat, IBU DAN AYAHKU SUDAH TUA!. Sebab aku sentiasa merasakan bahawa aku masih ANAK KECIL mereka!. Setahun umurku bertambah, setahun juga usia mereka bertambah!. Justeru, aku sering merasakan bahawa aku masih di umur bayi utk mereka!!!..

Namun, tatkala berjalan dengan ayah ketika aku keluar wad bulan lalu, baru aku sedari, OWH, ayah tidak segagah dulu lagi!. Ayah berjalan di belakang aku, ketika aku memegang emak untuk melintas jalan.. Ayah berjalan sendiri.. tersedar itu, aku mengawal langkah. Ku aturkan langkah kami agar selari!.

Dahulu, masa aku di umur sekolah rendah, aku selalu merasakan jalan ayah terlalu laju. Aku sering mengejar langkah ayah yang aku rasakan sangat BESAR!. Satu langkah ayah bersamaan 3 langkah kecilku... Untuk mengejar ayah, adakalanya aku berlari kecil untuk menyamakan jarakku dengan langkah ayah!. Hasilnya, aku berjalan sangat pantas, siapa yang ala-ala model cat walk, dinasihatkan jangan berjalan dengan aku.. hahaha... (menoonoong je.. bak kata org utara!.. hihihi). Tapi... bila dah ada anak kecil ni, tak buleh dah nak laju-laju... ’otomatik’ kena slow skit, kalau tidak, anak terlepas ke belakang!!.. hahaha...

Masa aku di sekolah menengah, ayah sentiasa ceritakan pengalaman masa kecilnya, keinginannya dan cita-citanya. Banyak ayat-ayat ayah yang MENUSUK KEMAS di tangkai jantung hatiku, di minda dan azamku.. Berikut adalah di antara kenangan2 aku dengan ayah..

Antara kata-kata ayah yang aku pegang:
1) "Ayah tak ada harta. Pelajaran itulah harta peninggalan ayah kepada semua anak-anak. Nak lebih, cari lebih, belajar pandai-pandai. Duit Ringgit boleh habis walau berjuta ditinggalkan. Orang boleh ambil, boleh curi, boleh khianat. Tapi, harta ilmu, sendiri cari, sendiri dapat, sendiri pegang. Tak siapa boleh curi, tak siapa boleh ambil, tak siapa boleh rampas!".. kata ayah bersahaja sewaktu menceritakan detik dirinya yang tidak ditinggalkan sebarang harta pusaka oleh ayahnya, meskipun beliau waris sulung dlm keluarga berada!. Sekadar sehelai kain pelikat yang lusuh warna.

~ Ya!. Atas nasihat ayah yang itulah, aku mengejar ilmu sehingga ke peringkat PhD. Mengambil kelas Fadhu Ain Asas untuk lebih menajamkan ilmu demi jihad menegakkan Islam di dalam diri (aku masih tidak kuat melaung takbir di luar rumah, cukup aku mengajar diriku, mentarbiyah suami dan anak-anakku di dalam rumah kami..). ... dan kerana nasihat itu juga, aku menggugurkan namaku untuk wasiat rumah mak dan ayah!. Aku tidak mahu mengejar pusaka dunia!. Aku redhakan pembahagian harta emak ayah yang sekangkang kera itu sepenuhnya diberikan kepada kedua-dua adik lelakiku kerana mereka bakal menyara anak orang apabila bergelar suami!. Cukuplah aku disara oleh anak orang lain sebagai isteri. Hihihi..
2) "Ayah hantar tiny belajar di British Council ni supaya tiny dapat jadi orang yang berilmu. Tiny belajar sungguh-sungguh, dapat kerja elok, boleh bawak mak dan ayah naik kapal tu..", tukas ayah bergurau mungkin, sambil jarinya menunjuk ke arah satu kapal yang berlabuh di Pelabuhan Penang Port. Kata-kata itu dituturkan pada tahun 1993.
- selalunya lepas kelas British Council, ayah akan menjemput aku, dan bawak ronda + pekena sotong kangkung @ pasembor di Padang Kota Lama, Penang dgn motor honda cup 60cc ayah tu.. Kerapnya ayah akan bawak menyelusuri sepanjang tembok Padang Kota sebelum menaiki feri utk pulang ke rumah.
- Kerap perkataan itu yang disebutnya... dan impiannya untuk menaiki Kapal Mewah itu diucapkannya tatkala itu. Aku selidiki nama kapal itu. Owh.. STAR CRUISE rupanya..
- Hukum pengulangan perkataan ayah itu menjadi hukum pengulangan di minda bawah sedar aku.. dan SUNGGUH!. Setelah 15 tahun!, pada 25 APRIL 2008 ~ BENAR-BENAR ALLAH PERKENANKAN DOA ITU!. MAK DAN AYAH DAPAT NAIK STAR CRUISE – hasil duit kerja yang ku peruntukkan untuk mereka!. ALHAMDULILLAH.

3) "Ayah tahu pedihnya ada mak tiri. Sebab tu ayah tak mau anak-anak ayah beribu tiri. Bila kahwin dengan mak, hari tok kadi kata 'sah', ayah berjanji dalam diri, 'INILAH SATU-SATUNYA ISTERI AKU DAN IBU KEPADA ANAK-ANAK AKU SAMPAI AKU MATI'!.", ayah akan penuh emosi apabila bercerita perkara ini!.
- melalui kisah ayah ini, apabila 'berperang' dgn abang, cepat2 aku 'cool'kan perasaan aku. TIDAK MAHU MENGIKUT HASUTAN SYAITAN YANG MENIUP RASA EGO DAN BISIKAN YANG BISA MENGHANCURKAN!. (nasihat emak aku pegang!. "PUJUK HATI SENDIRI!. TENGOK MATA ANAK!!"). - aku katakan kepada diriku, selama umur aku ini, aku kecapi nikmat bahagia kerana aku ada emak dan ayah dalam rumahtangga yang sempurna!. Jadi, aku tidak mahu merosakkan masa depan anak-anakku kerana menurutkan EGO dan AMARAHKU yang berusia sehari berbanding kemanisan hidup yang Allah berikan bertahun lamanya kepadaku!. ITU JANJIKU!... (Syukur, kuasa talak itu bukan di tanganku.. kalau tidak, mesti Allah bagi 3000 kali talak.. Sebabnya, asal period je, mesti abang kena talak dengan aku!.. asal lambat jemput dari pejabat, mesti abang kena talak dengan aku!!.. Asal lambat balas sms je, pon sure jatuh talak le dek aku nih!!!.. Hahahaha…. Betapa kurang sabar betul aku nih!!!. Syukur laki cheq penyabar orangnya!.. hahaha…).
Ayah seorang yang tidak lokek bercerita.. dalam bercerita ada terselit nasihat dan kata-kata.. impian dan harapan.. (RUNGUTAN DAN BEBELAN TIDAK TERKECUALI!!!... kehkehkeh).
Ayah seorang yang kuat berjenaka!. Sangat2. Adakalanya hanya emak dan ayah di rumah, kasut hanya 2 pasang di luar, tetapi riuhya umpama 3 keluarga datang bertandang!. Ayah si tukang cerita, emak si tukang gelak!. SERASI BERSAMA! PASANGAN YANG SUNGGUH SEMPURNA!. Hahahahaha... dan kami, anak-anak, adalah penadah telinga, si pendengar setia... (untuk gurauan juga leteran!!!.. arghkahkahkah).

Apa lagi?.. BANYAAAAKKK.. sangat banyaaakkkk..

~ Meskipun ayah bukan seorang alim ulama.. bukan Dato’ Seri Tan Sri... bukan CEO atau Tuan Pengerusi... tetapi, aku sangat mensyukuri anugerah Allah yang menjadikan aku zuriat seorang lelaki yang bernama YAHAYA BIN MARZUKI!.

~ kerana ayah bukan seorang ulama’, maka hari ini aku bertungkus lumus mencari ilmu Fardhu Ain untuk memantapkan agama dalam diri... andai ayah adlh Tok Imam, mungkin aku rasa aku tidak perlu lagi mencari ilmu agama itu, kerana 'sudah tersedia', tetapi entah iya entah tidak aku gunakan untuk ke jalan agama dan menjaga maruah diri!... (wallahu ’alam)
~ kerana ayah bukan berpangkat Dato’ Seri Tan Sri, maka aku tahu makna budi bahasa dan rendah diri, kalau tidak, mungkin aku berjalan menongkat langit!... (wallahu ’alam)
~ kerana ayah bukan CEO Tuan Pengerusi, maka aku gigih mencari jalan memperbaiki hidup dengan usaha, jika tidak mungkin aku senang goyang kaki, jawatan bapak yang bagi, bisa membuatkan aku HIDUNG TINGGI dan LUPA DIRI.. Nauzubillah.. (wallahu ’alam).

..... kerana sedikit kekurangan ayah itulah yang menjadikan dia mempunyai seribu kelebihan ~ HE IS THE GREAT WARRIOR ~ for his own family!. FOR ME, ESPECIALLY!!.

Dan lagi?.. lagi?.. dan lagi?.. wah… terlalu banyak.. sangat banyaaaakkk.. untuk aku tintakan di entri kecil ini..

Ayah... SELAMAT ULANGTAHUN KELAHIRAN!.
Doa tiny untuk ayah tidak pernah putus agar Allah sentiasa melapangkan perjalanan hidup ayah, di dunia, di alam barzakh, di padang masyar serta di akhirat kelak..
Semoga Allah memberikan kebahagiaan abadi kepada ayah di SYURGA-NYA nanti.. Nikmat dunia banyak yang Allah 'simpan'.. tidak diberi semua kepada ayah... Semoga di akhirat nanti, Allah akan hadiahkan kembali semua kebaikan dan kenikmatan yang berlipat kali ganda atas apa yang tidak diberinya pada ayah di dunia ini.. dan berbahagialah ayah di SYURGA FIRDAUS-NYA.. Ameen.

Ya Allah... redhai ayahku dan Ibuku.. dunia dan akhirat.. Ameen.




رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ "Rabbanaghfir Lii Wa Li Waalidayya Wa Lil Mu'miniina Yauma Yaquumul-hisaab"

"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)” (Surah Ibrahim 14: Ayat 41).



.. dan Al-Fatihah di setiap pagi, tidak pernah luput utk mereka.. saban hari.






Ya Allah... Redhai kami.. Ameen.

Friday, August 05, 2011

Wahai Anak : Doa yang dimakbulkan Allah.


Semalam ketika sedang ’berehat’ di ruang tamu sementara menunggu kuah sup mendidih di dapur, Nureen menghampiri dengan bertanya soalan 'BIASA'... Soalan BIASA yang ditanya ketika jam melewati 6.45pm adalah : "Ibu, dah boleh minum ke?".. hihihihi

Ya, itulah soalan yang sgt kerap ditanya Nureen.. Tahun ini semoga Nureen dapat berpuasa penuh hendaknya... (tahun lepas asyik terkantoi kat sekolah je!!.. Katanya, CIKGU SURUH MAKAN!.. haishhh!!...) – Tapi, Alhamdulillah, setakat hari ni dia selesa di'kuarantinkan' di bilik "pelajar berpuasa" semasa waktu rehatnya!.

Bagi 'mempercepatkan' perjalanan masa utk Nureen, aku melayannya berbual (supaya dia tak asyik nak tgk jam dan tanya 'dah boleh minum ke'!!... nak pulak bila ada iklan menayangkan jus minuman.. errrrkkkk... ngan aku2 pon terliur weih!... hahahaha).

Ibu : Kakak tau tak. Di antara doa orang yang dimakbulkan Allah adalah doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka. Jadinya, kakak patut bersyukur bila puasa itu masih panjang waktunya sebab kakak ada banyaaaaaak masa untuk berdoa kepada Allah.

Anak : Doa apa-apapun ke Ibu?

Ibu : Ya, apa pun doa. Yang Allah izinkan, yang Allah kehendaki ia dimakbulkan. Jadinya, kakak berdoalah semoga doa-doa kakak tu Allah makbulkan. Tapi, ingat!. Kakak kena doa yang baik-baik je. Doa yang tak baik akan dimurkai Allah.

Anak : Ooooo... kakak tak boleh doa biar adik jatuh la ye Ibu sebab adik nak naik basikal kakak.

Ibu : HAH!. Doa macam tu tak boleh!!.. Nanti, kakak yang Allah jatuhkan dari basikal!... (dah agak dah, mesti yang tu terlintas dalam kepala dia, sebab petang tu dia berebut basikal dengan adik dia!!...huhuhuu).

Anak : Hmm... Kalau macam tu, kakal nak doa mintak kat Allah supaya Ibu mengandung dan beranak. Kakak nak adik!.

Ibu : Allahu!... (Itu lagi doanya!!..)...

Hadis At-Tirmidzi dan Ibn Majah meriwayatkan:
Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: "Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka iaitu doa seorang yang berpuasa sehingga ia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi."
Untuk berdoa ketika menjadi pemimpin yang adil – entah bilanya dapat menjadi pemimpin, dan entah iya tidak dapat berlaku adil.

Untuk berdoa ketika dizalimi – bukan mudah-mudah hendak menyuruh orang menzalimi diri kita.. kita yang banyak menzalimi diri sendiri!.

Maka, ayuh rebut peluang berdoa ketika di dalam bulan mulia ini.. Berdoa dengan doa yang baik-baik.. yang mulus-mulus.. yang tulus ikhlas.. ketika sedang menjalani ibadah puasa ini.. Moga Allah makbulkan. Moga Allah perkenankan.

"Ya Allah.. hamba-Mu ini memohon keampunan kepada-Mu. Ampuni dosa-dosa kami. Tetapkan diri kami dalam agama suci Islam ini. Bersihkan hati kami dan pimpinlah ia ke jalan Iman dan Takwa. Berikan hati kami rasa cinta yang tinggi kepada-Mu Ya Allah. Jadikan kami umat Islam yang sentiasa merindui, mengasihi dan meneladani Rasul Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Ya Allah.. Pilihlah dan izinkanlah kami menikmati syurga-Mu yang telah Kau tetapkan kepada para Rasul, para Anbiya’, para Solihin, para mujahidin, para mukminin yang Kau redhai.. agar dapat kami merasai nikmatnya bersama menyambut dan menjawab salam-Mu di akhirat kelak Ya Rabb. Ya Allah.. yang kami mohon setulus jiwa, setulus raga, dengan seluruh kehidupan ini.... ADALAH REDHA-MU ALLAH.. REDHAI KAMI DUNIA DAN AKHIRAT. Ameen."

Izinkanlah. Perkenankanlah. Makbulkanlah Wahai Dzat yang Agung. Allahu Ya Kareem. Ameen Ya Rabbul ’Alamiin.


Ya Allah. Redhailah hamba-hamba-Mu ini. Ameen.




YA. INILAH KAKTINY

My photo
Happy with my status as a daughter, wife, mother, sister, in-law, staff, friend, cousin, relative, umat Muhammad, as muslim and as Hamba Allah... Alhamdulillah.